Friday, November 23, 2007

Saintis UPM temui bahan ganti petrol, diesel

SERDANG: Seorang saintis Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menemui bahan api alternatif daripada biji buah `Egusi Melon’ yang berpotensi menghasilkan minyak petrol dan diesel.

Ketua Makmal Kajian Tenaga (AREL) dari Institut Tenaga Maju UPM Prof Madya Dr Nor Mariah Adam yang membuat penemuan itu berkata bahan tenaga berkenaan menggunakan minyak dihasilkan daripada biji buah egusi berasal dari Afrika.

Katanya penemuan kali pertama di dunia itu dijangka dapat mengurangkan kos petrol sebanyak 20 peratus dan diesel 10 peratus, malah jurangnya lebih ketara jika harga bahan api berkenaan meningkat.



“Minyak ini berpotensi untuk dijadikan minyak petrol dan diesel kerana sifatnya lebih ringan, proses penuaian minyak mudah dan ekonomik berbanding minyak sawit dan jathropa yang telah dijadikan bio-diesel,” katanya ketika menunjukkan hasil kajiannya.

Beliau berkata kajiannya mendapati lemak tepu dalam minyak egusi adalah rendah, selain bersifat mudah cair dan boleh meningkatkan pembakaran.

Katanya sebelum minyak itu dijadikan petrol dan diesel, ia perlu dicampur dengan beberapa pemangkin sesuai untuk mendapatkan stabilitinya.

Beliau berkata potensi kajiannya mempunyai masa depan cerah kerana spesies tanaman melon mudah ditanam di negara ini dan boleh mencapai tahap kematangan dalam tempoh tiga bulan.

Kajian yang dimulakannya bulan lalu melalui geran penyelidikan UPM didorong oleh inisiatif untuk mencari sumber tenaga alternatif bahan buangan setelah menyedari kos bahan api dunia semakin meningkat.

“Segalanya bermula apabila saya terbaca dalam Internet bagaimana penduduk Afrika menghasilkan minyak berkenaan untuk memasak. Dari situ timbul idea saya untuk kitar semula bagi kegunaan jentera,” kata Mariah yang banyak dibantu oleh Dr Lokman Chua dari Jabatan Kejuruteraan Kimia.

Beliau mengajukan proposal kajiannya kepada syarikat petroleum tempatan untuk kerjasama lanjutan tetapi pihak syarikat itu masih belum memberi jawapan sehingga kini.

“Bagaimanapun, jika minyak ini dijadikan petrol, saiz karburator kenderaan perlu diubahsuai terlebih dahulu manakala diesel tidak memerlukan transformasi enjin,” katanya.

Mariah berkata kajiannya adalah langkah awal dan akan memakan masa antara setahun dan dua tahun untuk disaring dalam beberapa ujian saintifik di makmal sebelum boleh dikomersialkan.

Saintis itu berkata kajiannya menjurus kepada diesel dahulu kerana tenaga itu digunakan dengan meluas dalam sektor pertanian, sementara penghasilan petrol akan dibuat kemudian kerana eksperimennya lebih rumit.

Egusi atau nama saintifiknya `Colocynthis Citrullus Lanatus’ adalah satu daripada 300 spesies keluarga Melon terdapat di kawasan tropika Afrika dan mempunyai fizikal biji sama seperti biji Labu. — Bernama

Saturday, September 29, 2007

Krisis cuaca dunia mesti ditangani secara serius

PERUBAHAN iklim yang mendorong banjir luar biasa di Johor Barat baru-baru ini, menyebabkan kerugian produk dan kawasan pertanian bernilai lebih RM40 juta berikutan kerosakan dan keadaan tanah yang tidak boleh digunakan lagi.

Cuaca tidak menentu turut memberi kesan kepada penghasilan sumber makanan laut dan ternakan. Sekiranya diambil perkiraan 20 peratus kerugian saja, nelayan dan penternak ikan di negara ini boleh mencatat kerugian lebih RM300 juta setahun.

Itu adalah anggaran kasar, membabitkan dua sektor pengeluaran - tetapi semuanya adalah gara-gara perubahan iklim dan cuaca yang semakin tidak menentu sejak kebelakangan ini. Isu perubahan cuaca mencapai tahap amat serius apabila pemimpin dunia menjadikan ia agenda utama pada Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Sydney, Australia, baru-baru ini.

Cadangan untuk menangani isu perubahan iklim ini turut membabitkan desakan supaya dunia mengurangkan pengeluaran karbon. Namun, pemimpin menerima Deklarasi Sydney yang menggariskan matlamat untuk menangani pelbagai isu pencemaran, terutama ke arah usaha untuk mengurangkan pengeluaran 25 peratus karbon dunia menjelang 2030.

Di Kuala Lumpur, kebimbangan mengenai perubahan iklim semakin terasa. Banjir luar biasa di Johor baru-baru ini, cuaca tidak menentu di seluruh negara dan beberapa gempa bumi yang melanda negara jiran turut dirasai.

Ia sekali gus, memberi impak kepada struktur bangunan, membuatkan semakin ramai rakyat Malaysia mula bercakap mengenai perubahan cuaca yang memberi kesan kepada persekitaran dunia hari ini.

Pada peringkat penggubal dasar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sudah memulakan kerjasama dengan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan menggariskan tindakan pemantauan ke atas usaha Malaysia dalam menangani krisis perubahan cuaca, menjelang Sidang Kemuncak Konvensyen Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), yang akan diadakan di Bali, Disember ini.

Menterinya, Datuk Seri Azmi Khalid, menegaskan Kerajaan Malaysia yang juga antara negara menandatangani Protokol Kyoto, kini serius dalam mengkaji perubahan dasar yang perlu dilakukan dalam usaha memastikan kesan perubahan cuaca ini dapat dihadapi dengan lebih terancang.

"Di Malaysia, pengeluaran karbon utama berpunca daripada jana kuasa tenaga dan sektor pengangkutan. Tetapi di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sumber tenaga baru seperti solar, minyak bio sudah mula dilaksanakan di negara ini.

"Malah, beberapa stesen minyak membekal diesel yang dicampur lima peratus minyak sawit olein sudah beroperasi sejak tahun lalu. Pada peringkat awal, minyak campuran ini digunakan oleh kenderaan beberapa agensi kerajaan terpilih," katanya kepada lebih 200 peserta yang menyertai Persidangan Perubahan Cuaca anjuran bersama kementeriannya dan UNDP, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Marcel Alers, pegawai yang memantau pembangunan dan pengurusan perubahan cuaca bagi Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF) yang berada di bawah UNDP, tidak dapat lari daripada memberi peringatan bahawa tindakan ke arah pembersihan hutan dan tanah secara besar-besaran untuk tujuan penanaman kelapa sawit turut menjadi penyumbang ke arah kemelut dialami alam sekitar hari ini.

"Kita memang mencari sumber tenaga baru untuk menggantikan sumber minyak yang menyebabkan pengeluaran karbon yang memberi kesan serius terhadap lapisan ozon bumi. Namun, tindakan untuk menggantikan petrol atau diesel dengan sumber tenaga lebih mesra alam sebenarnya, jika tidak dilakukan dengan baik dan teratur, boleh menyebabkan satu lagi krisis lebih buruk.

"Tindakan menebang hutan secara besar-besaran untuk tujuan apa sekali pun, adalah antara penyumbang terbesar kepada bencana alam yang melanda manusia hari ini," katanya.

Azmi ketika sidang media menyentuh mengenai tahap kesedaran rakyat, termasuk agensi kerajaan dan syarikat swasta negara ini yang masih tidak peka terhadap pelbagai tindakan yang boleh menyumbang kepada pencemaran dan sekali gus kepada perubahan cuaca yang semakin tidak menentu.

Alers berpendapat bahawa sikap manusia yang sememangnya degil memang sukar untuk diubah, kecuali mereka mengalami sendiri kejadian yang tidak diingini.

"Manusia hari ini hanya bercakap mengenai perubahan cuaca, tetapi pada masa yang sama tidak mengubah sikap untuk membantu mengurangkan pencemaran yang berlaku sekarang.

"Begitu juga dengan negara dunia. Memang ramai yang menjadi penandatangan Protokol Kyoto. Menandatangani protokol memang mudah, tetapi bila mereka mula melihat kos yang terpaksa ditanggung, contohnya usaha ke arah pengurangan karbon, banyak yang menangguhkan niat untuk melaksanakan perkara diperlukan," kata Alcers.

Protokol Kyoto adalah pindaan kepada perjanjian antarabangsa mengenai perubahan cuaca ditandatangani pada 1992, yang mewajibkan langkah mengehad pengeluaran gas karbon di negara yang menandatanganinya.

Matlamat utama protokol itu adalah untuk menstabilkan pengumpulan gas karbon di atmosfera di peringkat yang boleh mengelak ia memberi kesan kepada sistem iklim dunia.

Ketika ini 141 negara yang mewakili 55 peratus pengeluaran karbon dunia sudah menandatangani protokol berkenaan dan masing-masing berikrar untuk mengurangkan gas beracun itu sebanyak 5.2 peratus menjelang 2012.

Tetapi negara paling tinggi mengeluar gas pencemaran itu, Amerika Syarikat, tidak menandatangani perjanjian terbabit dengan alasan ia akan menelan belanja terlalu tinggi dan perjanjian itu mempunyai banyak kelemahan.

Antara yang menjadi penghalang ialah tindakan mewajibkan pemasangan alat menapis karbon, usaha membina sumber tenaga yang mesra alam, malah usaha untuk menyediakan teknologi baru akan menelan belanja besar.

Kos yang terlalu tinggi adalah sebab utama negara seperti Amerika dan Australia tidak menyertai protokol ini. Ia akan memberi kesan besar ke atas ekonomi sesebuah negara.

Isu perubahan cuaca mula mendapat perhatian warga dunia apabila krisis pemanasan global didedahkan sejak dekad lalu. Perubahan cuaca semakin membimbangkan apabila ada negara Afrika yang terkenal dengan panas terik mengalami salji, manakala beberapa negara Eropah mengalami musim panas luar biasa.

Di benua lain termasuk Asia, cuaca tidak menentu menyaksikan ada negara mengalami musim kemarau lebih panjang daripada biasa, ribut dan taufan lebih ganas dan kejadian gempa bumi yang semakin menggerunkan.

Malaysia tidak terkecuali. Banjir mengejut menyebabkan beberapa bandar di Johor lumpuh, manakala musim tengkujuh di Pantai Timur juga semakin tidak menentu.

Alers berkata, disebabkan pelbagai bencana alam tidak diduga sejak lima tahun terakhir ini, lebih AS$6 bilion (RM21 bilion) dibelanjakan setiap tahun bagi membantu mangsa kejadian. Terburuk setakat ini ialah kejadian ombak besar tsunami, yang bukan saja memusnahkan bandar Acheh dan kepulauan sekitarnya, bahkan turut mengorbankan ribuan nyawa lain di Malaysia, Thailand, Sri Lanka dan selatan India.

"Justeru, bagi kami di UNDP dan GEF, perkara pertama yang perlu ditangani ialah kesedaran bahawa isu perubahan cuaca bukan sekadar 'cakap-cakap', tetapi semua pihak mesti sedar ia akan turut membabitkan kos tinggi bagi memastikan kita dapat mengurangkan risiko bencana alam yang bakal berlaku.

"Kami berharap lebih banyak negara memiliki sikap seperti Kerajaan Malaysia yang mula bekerja keras ke arah usaha untuk menangani isu perubahan cuaca ini dengan lebih serius," katanya.

Tutup jurang salah faham





ABDULLAH Ahmad Badawi berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), New York, semalam. – AFP.
--------------------------------------------------------------------------------



TEKS ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada perbahasan utama sesi ke-62 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), New York, semalam.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Tuan Presiden yang juga bekas Presiden Republik Macedonia, di atas pemilihan sebagai Presiden untuk sesi ke-62 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). Malaysia akan bekerjasama untuk merealisasikan objektif pertubuhan ini, terutama kerjasama ke arah mengadakan perbincangan untuk memberi kuasa yang lebih kepada perhimpunan agung ini dalam menguruskan hal ehwal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perjalanan sejarah manusia dikesan dengan beberapa detik penting, ketika kita boleh membuat keputusan yang betul atau salah yang akan memberi kesan pada arah tuju mereka selepas kita. Kita kini hidup dalam waktu itu.

Ada masalah tertentu yang menyentuh kehidupan kita tanpa terkecuali. Perubahan cuaca dan pertambahan perselisihan faham antara budaya dan tamadun adalah dua masalah tanpa terkecuali. Masalah pertama telah mengakibatkan kehidupan manusia sejagat di planet bumi, sementara yang kedua mengugut untuk memisahkan hubungan keamanan antara manusia dan negara-negara.

Benarkan saya bercakap mengenai perubahan cuaca dahulu. Kita amat sedar terhadap tarikan graviti dan juga keadaan yang berlaku dengan serta-merta. Bencana alam dan keadaan keterlaluan yang lain berkaitan dengan cuaca telah berlaku sekarang, malah sering berlaku di bahagian dunia yang mana sebelum ini ia tidak pernah mengalami bencana seumpama itu. Keadaan lebih buruk bakal mendatang. Justeru, Laporan Panel Antara Kerajaan Terhadap Perubahan Cuaca 2007 telah membuat kenyataan yang jelas bahawa skala dan cabaran yang berlaku dengan serta-merta itu adalah lebih teruk daripada apa yang difikirkan atau ditakuti.

Pada Disember tahun ini, Indonesia akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Ke-13 bagi Konvensyen Rangka Kerja Terhadap Perubahan Cuaca PBB. Kita mesti bersetuju untuk melancarkan proses perbincangan terhadap perjanjian pasca 2012. Inisiatif yang sedang dilakukan di peringkat negara dan rantau yang berkaitan dengan perubahan cuaca tidak perlu disaingi, sebaliknya perlu menjadi pelengkap kepada perbincangan di bawah rangka kerja PBB. Malaysia akan memberi sokongan penuh kepada Indonesia bagi memastikan persidangan di Bali itu mencapai kejayaan seperti yang diingini.

Kita perlu mencapai sebulat suara terhadap beberapa isu asas sebelum bermulanya perbincangan untuk perjanjian pasca 2012. Prinsip umum tetapi tanggungjawab yang berbeza pasti timbul. Kita mesti menerima hakikat bahawa negara-negara miskin di dunia mempunyai kemampuan yang paling rendah untuk penyesuaian, dan perlu diberikan tanggungjawab yang kecil untuk mengurangkan kesan terhadap perubahan cuaca.

Perjanjian pasca 2012 perlu dibina di atas reka bentuk dan asas-asas lain Protokol Kyoto. Sebagai contoh, ia perlu menyasarkan kepada pengurangan pengeluaran (bahan pencemaran) mutlak dari negara-negara maju, memperluaskan mekanisme yang akan membantu pengedaran dari negara-negara membangun seperti juga peruntukan khas kepada negara-negara yang kurang maju dan kepulauan kecil negara-negara membangun.

Kita tahu bahawa perubahan cuaca mempunyai implikasi bukan hanya kepada alam sekitar malahan turut menjejaskan ekonomi global. Ini adalah alasan tambahan yang penting mengapa prinsip tanggungjawab yang berbeza itu mesti digunakan supaya negara-negara membangun boleh mengekalkan keupayaan mereka untuk meneruskan pembangunan. Dalam pengurusan perubahan cuaca, sudah tentu negara-negara membangun mempunyai peranan untuk dimainkan, tetapi ia mesti setimpal dengan kebolehan mereka untuk berperanan.

Berhubung perkara ini, kita jangan lupa Kemuncak Bumi di Rio pada 1992, di mana semua isu ini bermula. Memelihara alam sekitar dan memastikan pembangunan berterusan merupakan tema persidangan global tersebut. Dan mesej kemuncak itu tidak lain daripada perubahan sikap dan tingkah laku kita akan membawa perubahan-perubahan yang diperlukan. Kebenaran-kebenaran ini akan kekal dan mereka perlu memberi panduan apabila kita memulakan proses perbincangan untuk perjanjian pasca 2012 mengenai perubahan cuaca.

Benarkan saya beralih pula kepada masalah pertelingkahan yang semakin meningkat di antara Islam secara umum dan Barat secara keseluruhannya. Sebab utama adalah salah tafsir di negara-negara Barat yang mempercayai bahawa Islam menggalakkan penyisihan dan ekstremisme. Kita mesti mengambil langkah untuk menggalakkan persefahaman yang lebih antara pengikut pelbagai kebudayaan dan tradisi tamadun. Malaysia menyokong sepenuhnya beberapa usaha yang telah dilakukan di peringkat antarabangsa. Kami yakin bahawa dialog-dialog tersebut akan menunjukkan kebenaran bahawa Islam adalah satu agama yang menyokong alam sejagat bukan penyisihan, bertolak-ansur dan bukan fanatik.

Malaysia yakin bahawa adalah salah untuk menuduh agama sebagai punca kepada wujudnya perselisihan antara negara-negara. Semua agama yang tulen menyokong keamanan dan keharmonian di kalangan manusia dan juga menerima orang lain. Ini adalah amalan Islam yang mengajar umatnya untuk mengamalkan tolak ansur, bermaafan, aman, persaudaraan dan wujud seadanya. Al-Quran adalah asas agama Islam yang tertulis dan mengiktiraf kewujudan agama lain selain Islam.

Hakikat agama ini bukan sebagai punca kepada kekacauan yang berlaku di dunia dan ini telah disahkan di dalam Laporan Kumpulan Peringkat Tertinggi, Alliance of Civilizations, diterbitkan pada 13 November 2006. Laporan itu masih berpendapat agama sering dieksploitasikan secara sinis untuk membangkitkan perasaan, membakar syak wasangka dan menyokong kebimbangan bahawa dunia kini sedang berhadapan dengan ‘peperangan antara agama’. Akar umbi punca tersebut adalah politik bukan agama. Kita perlu memberi sokongan kepada pelbagai usaha di peringkat negara dan rantau untuk membawa mesej dan usul-usul dalam Laporan 2006.

Bagaimanapun pada pandangan Malaysia, usaha-usaha di peringkat negara dan rantau itu mesti akhirnya membuat kesimpulan dalam dialog sejagat yang diasaskan dalam proses pelbagai hala antara kerajaan. Hanya melalui proses itu akan mengukuhkan penyatuan komitmen. Justeru, kejayaan dialog demikian akan menjadi peringatan penting untuk mendapatkan matlamat yang lebih luas demi keamanan sejagat, keselamatan dan kemakmuran.

Terdapat kecenderungan untuk menuduh sejarah, tetapi tiada bukti dalam sejarah yang menunjukkan bahawa agama sebagai punca kepada pertelingkahan antara kebudayaan dan ketamadunan. Ia bukan satu penjelasan kepada wujudnya konflik antara negara-negara Barat dan Islam.

Jawapannya bergantung kepada keadaan terbaru, yang mana penggunaan kuasa oleh yang kuat secara berulang-ulang terhadap yang lemah untuk memperoleh strategi atau mendapatkan wilayah. Peninggalan kepada peperangan-peperangan untuk pengawalan dan penguasaan itu wujud pada hari ini seperti masalah berterusan di Afghanistan, Lebanon, Bukit Golan dan Iraq.

Bercakap mengenai Iraq, Tuan Presiden, kita tidak boleh menafikan bahawa banyak daripada masalah yang dihadapi rakyat Iraq adalah berpunca daripada pendudukan kuasa asing ke atas negara yang hebat itu. Orang Iraq perlu diberi peluang sepenuhnya untuk menentukan masa depan mereka. Untuk tujuan itu, Iraq memerlukan kerajaan berasaskan perpaduan negara, yang akan dicapai menerusi perdamaian.

Tuan Presiden, saya menekankan kepada perpaduan negara kerana berdasarkan pengalaman kami di Malaysia, perpaduan dicapai dengan cara terbaik menerusi amalan berkongsi kuasa dalam kerajaan dengan perwakilan terdiri daripada kumpulan-kumpulan etnik pelbagai agama. Kerajaan kami telah berjaya membawa keamanan dan kemakmuran kepada negara sejak Malaysia memperoleh kemerdekaan 50 tahun lalu.

Masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab jelas untuk membantu rakyat Iraq mencapai keamanan dan kestabilan, supaya perpaduan Iraq sebagai negara dikekalkan dan tiada kompromi untuk menggugat integriti wilayah Iraq sebagai sebuah negara.

Dengan keadaan yang sama, saya mesti menyatakan juga bahawa masalah di Palestin, yang telah berlanjutan selama 60 tahun perlukan penyelesaian. Ia berada senarai teratas rungutan dunia Islam yang menyebabkan penentangan terhadap Barat.

Kita semua sedar bahawa terdapat usaha-usaha baru untuk membawa Israel dan Palestin bersama-sama dengan negara lain bagi mengadakan perbincangan mengenai keamanan pada tahap tertinggi pada masa akan datang. Walaupun begitu, pada pendirian saya, sebarang penyelesaian kepada isu Palestin mesti berlaku dalam kerangka kerja PBB. Marilah kita memberi sokongan kepada perbincangan keamanan dan berharap agar mereka membentuk momentum untuk pertemuan pemikiran yang tulen.

Khususnya kita perlu menggesa kepimpinan Israel dan Palestin untuk bertindak dengan berani bagi memenuhi keperluan dan kehendak penduduk yang telah mengalami kesengsaraan sekian lama. Sudah pasti keamanan sebenar akan dicapai sekiranya hak mutlak penduduk diiktiraf dan dilindungi dalam perundingan. Palestin telah dipisah-pisahkan sebelum ini. Perkara ini tidak patut berlaku lagi.

Semua di antara kita mesti memainkan peranan sebagai orang tengah yang amanah, membantu mereka menerusi proses perundingan dalam landasan ke arah menuju keamanan yang sebenarnya. Kedua-dua pihak Israel-Palestin yang berkonflik mesti mempunyai komitmen untuk mencapai penyelesaian melalui kompromi. Peluang ini mesti diambil segera. Tanggungjawab untuk menyampaikannya terletak kepada kita semua.

Saya percaya bahawa isu yang paling penting dalam perjalanan ke arah keamanan dan persaudaraan antara negara-negara Barat dan Islam ialah masalah Palestin yang masih tidak selesai. Saya yakin bahawa sebaik-baik sahaja masalah Palestin diselesaikan, akan terdapat harmoni antara negara Islam dan Barat, dua pewaris besar agama dan tamadun dunia.

Bagi mereka, orang Islam mempunyai tanggungjawab kepada dunia hari ini, menunjukkan wajah Islam sebenar-benarnya. Ia mesti diperjelaskan kepada semua bahawa Islam adalah agama yang membenci kepada pertelingkahan, lebih-lebih lagi antara umat Islam.

Apabila pertelingkahan timbul, Islam menuntut kepada kemaafan dan perdamaian melalui musyawarah yang diterjemahkan sebagai melibatkan dialog dan rundingan kedamaian. Lebih-lebih lagi ajaran Islam meletakkan keutamaan yang tinggi ke atas keamanan dan pembangunan. Islam sudah tentu bukan penghalang kepada kemajuan dan kemakmuran.

Di negara saya Malaysia, walaupun majoriti daripada penduduk adalah orang Islam namun kerajaan telah menggunakan ajaran Islam yang progresif sebagai asas kepada urus tadbir yang baik untuk menyampaikan kemudahan-kemudahan kepada semua sektor dalam masyarakat pelbagai etnik dan agama tanpa diskriminasi. Kita namakan pendekatan ini Islam Hadhari.

Saya telah timbulkan dua cabaran dunia sejagat yang kita hadapi waktu ini. Saya tetap optimistik, bagaimanapun persaudaraan kemanusiaan sejagat dan kewujudan bersama dicapai jika isu-isu politik yang genting dan isu strategik diselesaikan secara berturutan dengan menutup jurang salah faham antara budaya dan tamadun.

Usaha ke arah itu memerlukan kebijaksanaan dan keberanian secara kolektif untuk memahami masalah-masalah yang timbul. Kesempurnaan planet bumi dan kepada semua yang mendiami bumi ini sebenarnya adalah dalam kawalan kita. Kita mesti mempunyai keazaman untuk membuka laluan itu bagi memenuhi keperluan generasi akan datang dengan memanfaatkan sains dan teknologi sebagai alat.

Saya dengan suka citanya mengakhiri ucapan ini dengan merayu, bahawa masa untuk kita membuat pelaburan demi masa depan secara kolektif adalah di sini dan mulai sekarang.

Friday, September 21, 2007

Masyarakat prihatin elak kes sadis Nurin berulang

KERANA terlalu sayang kepada anak mereka, Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman mulanya tidak sanggup menerima hakikat bahawa mayat kanak-kanak yang dijumpai dalam beg sukan Isnin lalu adalah Nurin Jazlin, 8, yang hilang sejak sebulan lalu. Kelmarin polis mengesahkan bahawa ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam beg sukan di Petaling Jaya Utama itu adalah Nurin Jazlin. Ujian darah mayat dan juga ibu bapa Nurin Jazlin mengesahkan hubungan antara kedua-dua pihak. DNA adalah ujian saintifik yang boleh membuktikan pertalian biologikal dan tidak sepatutnya dipertikaikan. Dalam menghadapi peristiwa yang tragis ini, kita memahami perasaan pasangan suami isteri itu. Hati siapa yang tidak terguris melihat apa yang terjadi kepada keluarga Jazimin terutama ke atas Nurin Jazlin yang tidak berdosa itu. Sebagai insan biasa, tentu sukar bagi Jazimin dan Norazian menerima hakikat bahawa anak kedua mereka itu sudah tiada lagi. Alhamdulillah, mereka akhirnya menerima ketentuan Ilahi dan menuntut mayat Nurin Jazlin untuk dikebumikan selepas solat Jumaat semalam.

Kejadian ini, sama seperti beberapa kes lain yang membabitkan kehilangan kanak-kanak berlaku akibat kelalaian ibu bapa yang mungkin sibuk dengan urusan lain ataupun kerana terlalu percayakan orang lain sama ada jiran atau masyarakat sekeliling. Hakikatnya kanak-kanak seusia Nurin Jazlin masih kecil dan terlalu muda untuk menentukan yang mana betul dan yang mana salah. Pada usia berkenaan dia masih perlu ditemani ketika ke pasar malam, walaupun tempat itu berhampiran rumahnya. Apa yang berlaku ke atas Nurin Jazlin mahupun Nurul Huda Abdul Ghani, 10, yang dirogol dan dibunuh oleh pengawal keselamatan pada 2004 sungguh menyayat perasaan. Walaupun Nurin Jazlin tidak dirogol tapi bedah siasat mendapati ada kesan gangguan seksual oleh pembunuhnya. Rektumnya pecah hingga dijangkiti bakteria dan ia mungkin antara faktor yang menyumbang kepada kematian kanak-kanak itu. Mayatnya ditemui dalam keadaan kurus kering selain mempunyai pelbagai kesan lebam pada badannya menyebabkan ibu bapa Nurin Jazlin tidak mengenalinya ketika membuat pengecaman.

Perangkaan polis menunjukkan bagi tempoh Januari hingga April lalu, 303 kanak-kanak dilaporkan hilang di seluruh negara dan daripada jumlah itu, hanya 176 ditemui semula. Sepanjang tahun lalu pula, 1,485 kes kehilangan dilaporkan dengan 900 kanak-kanak berjaya ditemui semula, manakala pada 2005, daripada 1,803 kes dilaporkan, 1,254 daripadanya ditemui semula. Persoalannya di mana baki kanak-kanak yang belum ditemui? Kita tentu masih ingat kisah Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, yang menggemparkan negara apabila dilaporkan hilang selama 15 hari mulai 31 Mac lalu sebelum dipulangkan oleh pasangan Myanmar. Ibu bapa Yin bernasib baik kerana anak mereka selamat selepas berita kehilangannya mendapat publisiti meluas dalam media massa dan ia menarik perhatian masyarakat, malah syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan turut terbabit dalam gerakan mencari budak itu. Begitu juga dengan kes Nurin Jazlin ini. Ramai yang sebak dan menangis apabila mayat budak perempuan yang ditemui baru-baru ini dikenal pasti sebagai Nurin Jazlin. Begitulah sikap masyarakat kita, apabila digemparkan dengan satu peristiwa yang menyayat hati seperti itu, sikap mereka pun berubah. Rata-rata timbul perasaan marah dan prihatin, tetapi selepas ini segala-galanya akan sejuk semula dan kehidupan kembali rutin seperti biasa.

Pelbagai usaha tangani kezaliman kanak-kanak

KEJADIAN keganasan terhadap kanak-kanak yang bukan lagi asing di negara ini berulang lagi dengan tragedi menyayat hati yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin. Adakah kita masih ingat tragedi kejam yang lalu? Pada 1 April 2002, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Nor Syakila Ramli Abdullah Choo dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya dicampak ke dalam longkang di Taman Tasik Permai, Ampang, Selangor.

Nurul Huda Abdul Ghani, 10, pula dibunuh dengan kejam selepas dirogol secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki di pondok pengawal pencawang elektrik TNB Tanjung Kupang di Gelang Patah, Johor pada 17 Januari 2004.

Hanya sehari selepas satu kes bunuh dan rogol kanak-kanak dilaporkan di Kedah, satu lagi kes rogol melibatkan kanak-kanak berlaku di Kampung Cendering, Kuantan pada 23 Disember 2004.

Pelbagai pihak mengesyorkan saranan dan cadangan yang baik untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang tetapi kes rogol dan bunuh kanak-kanak terus berlaku.

Walau siapa pun hendak dipersalahkan, tetapi yang penting ialah kanak-kanak di negara ini mesti dilindungi. Pasukan polis tidak berkewajipan untuk memberi perlindungan terhadap orang tertentu tetapi khidmatnya adalah untuk semua rakyat Malaysia.

Tentu sukar diterima sekiranya pasukan polis dipertanggungjawabkan ke atas semua kejadian jenayah yang berlaku.

Sebarang perbuatan yang dilakukan tanpa berhati-hati tidak semestinya menyebabkan orang yang melakukannya dipertanggungjawabkan oleh undang-undang, sekalipun perbuatan itu menyebabkan kerosakan, melainkan jika ia mempunyai kewajipan undang-undang untuk berjaga-jaga (Rogers 1994: 76) seperti ibu bapa memastikan anak dalam keadaan selamat sepanjang masa atau pemandu memandu dengan berhati-hati supaya tidak mencederakan orang lain akibat kemalangan.


Yang paling hampir dengan anak-anak kecil ialah ibu bapa dan merekalah yang sebenarnya mempunyai kewajipan untuk berjaga-jaga. Sekiranya mereka melanggar kewajipan ini dan menyebabkan kecederaan atau kematian anak-anak mereka sendiri, mereka patut bertanggungjawab sepenuhnya.

Selain itu, masyarakat juga diminta untuk turut serta dalam membantu kanak-kanak hidup dengan selamat, apatah lagi di negara sendiri.

Kerajaan telah merangka pelbagai cara dan agenda bukan sahaja untuk membangunkan potensi kanak-kanak tetapi juga memastikan keselamatan mereka.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), usaha untuk memastikan perlindungan, pemulihan dan pembangunan kanak-kanak diteruskan oleh kerajaan bagi menjaga kebajikan dan kepentingan mereka. Akta Kanak-Kanak 2001 digubal dengan menggabungkan Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991.

Penggubalan akta ini mengambil kira prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak. Akta tersebut mewajibkan pengamal perubatan, ahli keluarga dan penyedia perkhidmatan penjagaan kanak-kanak melaporkan kes penderaan kanak-kanak. Sehubungan ini, kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan meningkat daripada 1,036 pada tahun 2001 kepada 1,656 pada tahun 2005.

Sementara itu, pelbagai usaha juga diambil untuk menangani isu keganasan terhadap kanak-kanak termasuk meningkatkan penyertaan masyarakat dalam melaksanakan program pencegahan dan pemulihan.

Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditubuhkan di peringkat negeri dan daerah untuk memberi perkhidmatan terutamanya kepada keluarga dan kanak-kanak yang terdedah kepada keganasan seksual atau sebagainya di kawasan berkenaan.

Perkhidmatan tersebut termasuk aktiviti berkaitan kanak-kanak, kaunseling untuk kanak-kanak dan ibu bapa, kursus keibubapaan serta penjagaan kanak-kanak bertujuan memberi sokongan psikologi dan motivasi.

Dalam tempoh RMK-9, sejumlah 131 pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dengan keahlian aktif seramai 1,572 orang serta 135 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditubuhkan.

Di samping itu, pasukan untuk Mengesan Penderaan Kanak-Kanak dan Kanak-Kanak Terabai (SCAN) ditubuhkan di hospital daerah dan negeri untuk menyelia dan memantau kes penderaan kanak-kanak yang dirujuk kepada hospital. Sejumlah 14 pasukan SCAN ditubuhkan di hospital negeri dan 690 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan.

Akta Pusat Jagaan Kanak-Kanak 1984 yang bertujuan memastikan standard minimum penjagaan kanak-kanak di pusat penjagaan pula telah dikaji semula pada tahun 2005 bagi menetapkan langkah penguatkuasaan yang lebih ketat dan meningkatkan kualiti penjagaan kanak-kanak.

Selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, usaha diambil untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai kanak-kanak dalam penggubalan dan proses membuat keputusan. Usaha bina upaya dan memperkasa kanak-kanak mengenai isu dan hak mereka telah diambil melalui program kesedaran dengan penyertaan seramai 163 kanak-kanak dalam tempoh RMK-9.

Bagi memastikan suara mereka terus didengar, kanak-kanak juga turut dilibatkan dalam penilaian Pelan Tindakan Negara (NPA) pertama dan merangka NPA kedua bagi tempoh 2006–2020. NPA kedua mengambil kira elemen yang terkandung dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, iaitu keperluan hidup, perlindungan, pembangunan dan penyertaan kanak-kanak.

Oleh itu, rasa tidak puas hati Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan kejadian keganasan ke atas kanak-kanak yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini adalah munasabah.

Kezaliman terhadap kanak-kanak akibat kelalaian ibu bapa sepatutnya menjadi pengajaran yang besar kepada semua ibu bapa di negara ini.

- NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beginikah manusia?


SELURUH rakyat Malaysia berkongsi kesedihan dengan ibu bapa Nurin Jazlin Jazimin - kanak-kanak malang yang hilang selama lebih sebulan akhirnya ditemui kaku dalam keadaan amat menyayat perasaan.

Sememangnya bukan itu bentuk pertemuan yang diharapkan oleh pasangan Jazimin dan Nurazian. Apa yang diharapkan ialah Nurin kembali ke pangkuan keluarga dalam suasana ceria. Tempat pertemuan bukan di bilik mayat jauh sekali dalam suasana hiba.

Kita amat bersimpati kerana ‘kemunculan’ Nurin membayangkan penderitaan yang ditanggung selama 30 hari dia disembunyikan.

Nurin tidak perlu berceloteh atau bercerita tentang kesengsaraan yang ditanggungnya. Dia juga tidak perlu menjelaskan kepada dunia betapa ‘binatang’nya manusia yang memperlakukan dia sedemikian rupa. Kemunculan sekujur tubuh kurus dengan kesan lebam di sana sini juga membuatkan kita tidak bertanya, kerana segala kekejaman jelas terbentang di depan mata.

Kemunculan Nurin biarpun dalam keadaan mata terpejam rapat dan mulut terkunci menceritakan segala-galanya - betapa dia diseksa oleh iblis bertopengkan manusia. Penjenayah itu bukan lagi haiwan jauh sekali manusia lantaran haiwan tidak sekejam itu, inikan pula manusia yang dianugerahkan akal dan fikiran.

Lebih memilukan, kita semua pasti, hakikat bahawa Nurin menghidap penyakit buah pinggang dan darah tinggi serta bergantung pada ubat semestinya dalam pengetahuan penjenayah itu.

Namun membaca laporan bedah siasat serta perincian mayat Nurin seperti yang dilaporkan oleh media cetak dan elektronik - kita tidak sanggup memikirkan betapa kejam, gila, sadis dan iblis penjenayah itu ketika melakukan penyeksaan ke atas anak malang yang tidak berdaya itu.

Di manakah rasa belas, kasihan, ihsan yang membezakan manusia dengan binatang sehingga menutup akal penjenayah itu dan terus ‘mengerjakan’ tubuh kecil yang tidak berdosa itu. Bukankah wajah comel serta ketidakupayaan Nurin sepatutnya meredakan kegilaan penjenayah itu sekurang-kurangnya untuk menghantarnya pulang dalam keadaan selamat.

Tidak tersentuhkah perasaan binatang itu apabila mendengar tangisan Nurin yang semestinya amat ketakutan dan kesakitan setiap kali diperlakukan sedemikian rupa. Atau semakin terangsangkah dia untuk menyakiti kanak-kanak itu sehingga memberi kepuasan yang kita tidak tahu di mana nikmatnya.

Apa sebenarnya dosa Nurin sehingga terpaksa melalui 30 hari terakhir hayatnya dengan penuh penyeksaan. Apa salah kanak-kanak comel ini sehingga dia tidak diizinkan untuk meninggalkan sepatah dua kata kepada ibu bapanya sebelum nyawanya diragut sekejam itu.

Sesungguhnya tidak tercapai akal kita untuk memikirkan apa sebenarnya yang diingini oleh penjenayah itu. Apa yang ingin dipuaskan sehingga sanggup melakukan penyeksaan demi penyeksaan.

Kita tidak perlu menjadi ibu bapa Nurin untuk menitiskan air mata simpati dan sedih terhadap apa yang terjadi. Kita tidak perlu malu untuk mengaku bahawa fikiran kita amat terganggu dengan kejadian ini. Ini kerana kita juga mempunyai anak-anak yang turut terdedah kepada jenayah-jenayah yang di luar batas akal dan fikiran ini.

Meninggalkan

Yang pasti tindakan penjenayah itu meninggalkan mayat Nurin di dalam sebuah beg sukan di tempat terbuka juga membawa mesej yang tersendiri.

Dia seolah-olah mencabar pihak polis. Dia ingin menunjukkan betapa kebuntuan mencari Nurin mesti diakhiri, tetapi dengan cara yang amat tragis.

Dia juga cuba membuktikan ketika semua orang bertungkus-lumus menjejaki Nurin di seluruh negara, kanak-kanak itu sebenarnya berada tidak jauh daripada keluarganya. Cuma jeritan dan raungannya tidak kedengaran oleh kita semua. Nurin bersendirian menanggung sengsara dalam suasana yang amat terasing baginya.

Penjenayah itu juga membuktikan kegilaan yang melampau sebab itu mayat kanak-kanak malang itu tidak disembunyikan. Kita tidak tahu apakah motif penjenayah itu meletakkan mayat yang sarat dengan bahan bukti penderaan seksual itu di situ. Semestinya ada juga bukti-bukti yang boleh mendedahkan dirinya yang sebenar. Mengapa anak malang itu tidak dihumban di dalam hutan atau dicampak ke laut. Alang-alang bertindak kejam biarlah Nurin `dipadamkan’ terus dari muka bumi tanpa sebarang kesan dan peninggalan. Bukankah begitu sepatutnya perlakuan penjenayah.

Apakah sebenarnya dan tahap manakah kegilaan penjenayah itu yang bukan sahaja kejam terhadap Nurin malah mendera psikologi kita semua.

Adakah supaya pencarian Nurin dihentikan atau supaya pemergian kanak-kanak itu ada kuburnya.

Kelak dia boleh berbangga menunjukkan tempat persemadian mangsanya yang entah ke berapa.

Hakikatnya, sama ada kanak-kanak malang itu Nurin atau orang lain, tiada alasan untuk sesiapa pun mewajarkan perilaku zalim ini. Nurin atau kanak-kanak itu bukan anak kita. Dia juga bukan adik kita, bukan juga saudara kita. Nurin cuma mengingatkan kita bahawa tidak mustahil satu hari nanti kita juga akan mengalami insiden yang serupa.

Di bulan yang mulia ini, seharusnya kita bermuhasabah, merenung dan melihat di sekeliling kita. Terkorbannya Nurin sedemikian rupa membawa banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar oleh pelbagai pihak. Kita tidak boleh menuding jari siapa yang bersalah sebaliknya bersama-sama membetulkan kegilaan dalam masyarakat kita.

Tuesday, September 11, 2007

Sepakat kawal iklim dunia

SIDANG kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Sydney, Australia menyaksikan buat pertama kali pihak yang paling banyak mencemar alam sekitar – Amerika Syarikat, China dan Rusia – memeterai perjanjian ‘longgar’ untuk mengurangkan pengeluaran gas yang mencemarkan selepas keengganan mereka untuk mematuhi Protokol Kyoto.

Protokol Kyoto yang dipersetujui pada sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kyoto, Jepun pada tahun 1997 menetapkan pengurangan tahap pengeluaran gas karbon dioksida yang boleh mempengaruhi iklim global. Protokol itu antara lain menetapkan negara maju mengurangkan lima peratus gas pada 1990 dan 12 peratus pada tahun 2008.

Perkembangan tersebut dilihat menarik kerana ia memberi gambaran tentang kesan pelepasan gas rumah hijau semakin disepakati oleh negara-negara maju dan negara sedang membangun. Ia sekali gus bakal mempengaruhi perbincangan PBB tentang perubahan iklim.

PBB melalui agensinya, World Meteorological Organization mendapati pemanasan cuaca sememangnya jelas dan kebanyakan disebabkan oleh kegiatan pembakaran bahan api fosil seperti arang batu.


Perkembangan ini juga boleh dilihat sebagai satu kompromi antara negara-negara anggota APEC yang mana secara bersama mewakili 60 peratus daripada ekonomi dunia.

Sebelum ini, negara-negara maju seperti AS memaksa negara-negara sedang membangun mengikut telunjuk mereka untuk memastikan persekitaran dunia tidak terus tercemar.

Negara-negara ekonomi sedang membangun yang diketuai oleh China dan Indonesia percaya negara-negara maju sepatutnya mengambil tanggungjawab lebih besar terutamanya dalam membiayai kos menyelesaikan masalah pemanasan global.

Negara-negara membangun mempunyai kebimbangannya tersendiri bahawa penetapan sebarang syarat yang mengikat akan menjejaskan perkembangan ekonomi mereka ketika negara-negara maju tidak mempunyai masalah berbuat demikian kerana kemajuan teknologi yang dimiliki.

Sebagai contoh, negara maju tidak mempunyai pergantungan terhadap bahan arang batu yang merupakan penyumbang kepada seperempat pengeluaran karbon di dunia.

Namun begitu, melalui persetujuan program perubahan cuaca APEC di bawah Deklarasi Sydney, negara-negara maju dan membangun dapat mencapai perjanjian yang lebih mengikat pada sidang kemuncak tahunan konvensyen mengenai iklim PBB yang akan diadakan di Bali, Indonesia pada akhir tahun ini.

Konvensyen di Indonesia akan merangka pakatan PBB yang baru menggantikan Protokol Kyoto yang akan berakhir pada 2012.

Perjanjian yang dicapai melalui APEC tidak boleh dianggap sebagai platform tetapi sebaliknya satu lonjakan untuk tindakan masa depan dalam menangani perubahan iklim dunia dengan lebih baik dan menyeluruh di kalangan penduduk dunia.

Angkasawan uji ketahanan makanan tradisional di ISS

KUALA LUMPUR: Angkasawan pertama negara akan menjalankan pelbagai eksperimen sains hayat mengenai sel bakteria dan protein di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) termasuk ujian saintifik beberapa jenis makanan tradisional.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Prof Datuk Dr Mazlan Othman, berkata ujian itu dapat memberi manfaat kepada negara selain menjadi bahan rujukan kepada saintis dan ahli akademik pada masa depan.

Katanya, makanan tradisional yang bakal diuji di ISS termasuk nasi briyani, rendang tok, sate ayam, tempe goreng dan kuih bangkit.

“Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) kini pada peringkat akhir menguji tahap ketahanan makanan berkenaan terhadap bakteria supaya mematuhi piawaian ditetapkan stesen berkenaan.

“Ada pihak mungkin memandang sinis usaha kita (membawa makanan tradisional) kerana mereka tidak memahami tujuan kerajaan yang mahu mendekatkan ilmu sains kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, sains bukan bersifat elit dan hanya tertumpu kepada penyelidikan berprofil tinggi, sebaliknya sebahagian penyelidikan yang dibuat angkasawan pertama negara itu boleh dikongsi sama, mudah difahami dan menarik minat masyarakat.

Mazlan berkata demikian selepas melancarkan Pameran Mini Angkasa Petrosains, di sini, semalam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim.

Katanya, ujian saintifik makanan tradisional adalah sebahagian penyelidikan yang disediakan kepada angkasawan pertama negara apabila berada di ISS, yang akan turut melakukan penyelidikan mengenai sains tulen seperti kesan mikrograviti dan radiasi.

“Kesan mikrograviti dan radiasi yang berbeza di angkasa lepas boleh menjadi faktor menarik untuk mengkaji perbandingan tindak balas sel di bumi dan dalam persekitaran di angkasa lepas,” katanya.

Ditanya siapa calon angkasawan yang bakal terpilih, Mazlan berkata, Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr Faiz Khaleed berkelayakan dan bersedia menjayakan misi pertama negara itu.

“Siapa yang terpilih saya serahkan pada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis yang menentukannya,” katanya.

Seorang daripada dua calon akhir angkasawan negara itu dijangka berlepas ke ISS pada 10 Oktober depan, tiga hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

Mansuh subsidi diesel


Ahli ekonomi syor perkenal mekanisme alternatif bantu nelayan

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memansuhkan subsidi diesel bagi menangani kes penyelewengan dan penyeludupan bahan api itu yang kini semakin berleluasa hingga menyebabkan negara mengalami kerugian besar.

Beberapa pihak termasuk ahli ekonomi sebaliknya mencadangkan kerajaan memperkenalkan mekanisme alternatif dengan memberikan bantuan dalam bentuk lain untuk meringankan beban industri tertentu, seperti sektor pengangkutan dan nelayan.

Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Datuk Prof Dr Ismail Salleh (gambar), berkata perbezaan ketara harga bahan api itu berbanding negara lain, terutama berikutan subsidi yang diberi kepada sektor tertentu, menyebabkan kegiatan penyelewengan dan penyeludupan diesel semakin berleluasa.

“Harga diesel di Malaysia paling murah berbanding negara jiran menyebabkan bahan api itu diseludup kerana mendapat permintaan tinggi terutama di kalangan penduduk berhampiran sempadan negara.

“Kerajaan perlu memikirkan mekanisme atau bantuan lain yang mudah dikawal serta dipantau dan pada masa sama menguntungkan kerajaan serta sektor yang memerlukan bantuan,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Sejak Januari hingga Jun lalu saja, kerajaan membelanjakan lebih RM2.9 bilion untuk membayar subsidi minyak termasuk petrol, diesel dan gas asli cecair (LPG).

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.3 bilion dibayar untuk subsidi diesel kepada nelayan, manakala RM620 juta dibayar untuk subsidi LPG atau lebih dikenali sebagai gas masak.

Bagaimanapun, ribuan liter diesel subsidi dilaporkan diseludup ke pasaran luar negara, termasuk Filipina dan Myanmar.

Selasa lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mematahkan cubaan sindiket menyeludup keluar 275,000 liter diesel subsidi bernilai RM500,000, dipercayai terbesar setakat ini, melalui Dermaga Prai di Pulau Pinang.

Khamis lalu, sebuah lagi kapal dikenal pasti terbabit dalam sindiket menyeludup keluar 487,000 liter diesel ke Myanmar melalui Dermaga Prai menjadikan jumlah diesel subsidi yang cuba diseludup keluar bernilai RM800,000.

Pengerusi Persatuan Nelayan Sarawak (Penesa), Jamali Basri, berkata kerajaan mungkin boleh memperkenalkan pengecualian cukai diesel kepada nelayan, jika langkah itu dilihat sebagai penyelesaian terbaik bagi menangani penyalahgunaan dan penyeludupan diesel subsidi.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu membantu nelayan dengan memberi insentif lain kerana pengecualian cukai diesel kurang menguntungkan golongan itu berbanding pemberian subsidi diesel.

“Pengecualian cukai diesel akan menyebabkan nelayan kehilangan kira-kira 60 peratus keuntungan berikutan kadar penjimatan seliter diesel hanya antara 20 hingga 30 sen.

“Justeru, insentif khas perlu diberikan bagi membantu nelayan menampung kos terbabit. Bagaimanapun Penesa berpendapat, pihak berkuasa perlu meningkatkan penguatkuasaan bagi membendung masalah ini,” katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kedah (Nekad), Jusoh Awang pula berkata, penyelewengan diesel subsidi boleh ditangani jika kerajaan memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) untuk menguruskan pengagihan bahan api itu kepada nelayan.

Beliau berkata, ketika ini urusan mengangkut diesel dari depoh ke pangkalan dikendalikan konsortium yang melalui banyak persinggahan sebelum sampai ke destinasi agihan kepada nelayan.

“Tiada pihak memantau dan mengawasi proses logistik ini yang memungkinkan penyeludupan berlaku sepanjang perjalanan ke pangkalan, terutama apabila banyak persinggahan tidak diketahui dan tidak direkodkan.

“Pemantauan lebih ketat juga perlu bagi memastikan nelayan yang memohon diesel subsidi benar-benar turun ke laut dan mendaratkan ikan,” katanya.

FAKTA NOMBOR
Subsidi bahan api Januari hingga Jun 2007

RM2.9b - Bayaran subsidi petrol, diesel dan gas asli cecair (LPG)
RM1.3b - Bayaran subsidi diesel kepada nelayan
RM620j - Bayaran subsidi LPG

Monday, September 10, 2007

VSS kurang sesuai dalam perkhidmatan awam’

CUEPACS pada dasarnya menolak cadangan pelaksanaan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada kakitangan awam bermasalah kerana berasakan ia bakal memberi peluang kepada majikan mengugut kakitangan terbabit dan menimbulkan budaya tidak sihat dalam sektor awam.

Presidennya, Omar Osman, berkata ia bukan bermakna Cuepacs ingin melindungi kakitangan bermasalah daripada dikenakan tindakan termasuk buang kerja, sebaliknya berpendapat VSS bukan pendekatan sesuai digunakan dalam perkhidmatan awam tambahan pula apabila ia sekadar menjurus kepada kelompok kakitangan bermasalah.







“Swasta menggunakan VSS dengan menawarkannya kepada semua kakitangan mereka bagi tujuan mengurangkan kos pengurusan dan sebagainya, bukan untuk menghukum kakitangan bermasalah. Jika kerajaan menggunakan VSS, perkara seumpama itu perlu diambil kira.

“Namun, saya berpendapat peraturan sedia ada yang digunakan dalam Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sudah mencukupi dan menjadi panduan kepada semua majikan bertindak terhadap kakitangan mereka yang bermasalah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, peraturan itu perlu dilihat semula dan diperjelaskan supaya kaedah mengambil tindakan yang lebih tepat dapat dijalankan ke atas kakitangan bermasalah terutama yang membabitkan kes kemerosotan prestasi, masalah kesihatan serta pegawai yang tidak boleh diambil tindakan tatatertib.

Katanya, walaupun sudah dijelaskan bentuk masalah disiplin yang boleh diambil tindakan buang kerja atau dibersarakan merangkumi lima sebab, peruntukan bagi kes persaraan demi kepentingan perkhidmatan awam selama ini tidak digunakan secara meluas lantaran kurang penjelasan secara menyeluruh kepada semua majikan.






“Bahagian Sumber Manusia (BSM) perlu prihatin mengenai perkara ini dan sekiranya semua majikan sedia maklum apa tindakan yang boleh diambil bagi kakitangan yang tidak menunjukkan prestasi baik, isu VSS tidak perlu ditimbulkan lagi. Semuanya sudah lengkap dalam peraturan sedia ada.

“VSS hanya akan menimbulkan konflik kerana sekiranya pekerja bermasalah ditawarkan skim itu tidak bersetuju dan tetap ingin meneruskan perkhidmatan, ia pasti akan menimbulkan suasana tidak selesa dalam jabatan terbabit,” katanya.

Omar bersetuju perlu ada satu mekanisma lain yang lebih sesuai diguna pakai dalam sektor awam bagi memastikan pegawai bermasalah atau kurang memberi sumbangan kepada jabatan masing-masing boleh diambil tindakan selepas semua proses pemulihan tidak memberi sebarang kesan positif.

Beliau berkata, selama ini, ramai majikan yang kurang faham peranan mereka dalam melaksanakan tindakan tatatertib ke atas pegawai bermasalah sehinggakan ada kes tertangguh bertahun-tahun, malah ada yang terlepas begitu saja.

Justeru, beliau mencadangkan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan pegawai khas yang mahir berkenaan kaedah tindakan tatatertib ditempatkan di semua daerah untuk memudahkan rujukan segera dilakukan oleh majikan setiap agensi kerajaan.

“Jawatankuasa pemantau juga perlu ada bagi melihat pelaksanaan tindakan tatatertib mengikut apa yang sudah digariskan dalam peraturan dan memastikan tidak ada majikan menyalahgunakan kedudukan mereka untuk menganiayai pekerja bawahan.

“Contohnya, sistem penilaian prestasi diamalkan kini juga kurang sesuai kerana ada majikan membuat pemarkahan tanpa berbincang dengan kakitangan terbabit malah ada yang dibuat tanpa penilaian terperinci,” katanya.

Beliau berkata, apa yang perlu dititikberatkan oleh JPA pada masa kini ialah menyediakan satu garis panduan secara jelas supaya pekerja yang tidak menunjukkan prestasi baik dapat dikenakan tindakan termasuk buang kerja.

Katanya, setakat pengetahuannya ada kira-kira 12,000 kakitangan bermasalah yang berada dalam kelompok tidak boleh dikenakan tindakan tatatertib tetapi perlu diberi perhatian kerana akan memberi kesan tidak baik kepada kepentingan perkhidmatan awam.

PNB tingkat ekonomi Bumiputera

Penyertaan masyarakat pelbagai kaum bukti kejayaan pelopor industri amanah

KEMERDEKAAN membawa pengertian yang amat besar kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) walaupun ia hanya ditubuhkan 21 tahun selepas negara menikmati kemerdekaan.

Dalam tempoh hampir 30 tahun penubuhannya, seperti organisasi lain yang ditubuhkan kerajaan sebagai alat penting Dasar Ekonomi Baru (DEB), banyak pengalaman dan cabaran dilalui PNB dalam memikul tanggungjawab berat membantu meningkatkan pencapaian ekonomi Bumiputera.

PNB berbangga kerana berpeluang untuk turut sama terbabit secara langsung membantu kerajaan menstruktur semula masyarakat Malaysia menerusi pemilikan saham Bumiputera dalam sektor korporat dan memberi ruang kepada profesional Bumiputera untuk menyumbang secara langsung dalam penciptaan dan pengurusan kekayaan negara.

Usaha PNB bermula dengan pengambilalihan sebanyak mungkin saham syarikat yang berpotensi dan berdaya maju dari 1978, selaras matlamat 30 peratus pegangan ekuiti Bumiputera.

Untuk memastikan setiap lapisan masyarakat Bumiputera yang rata-ratanya pada masa itu jauh ketinggalan dari segi pencapaian ekonomi dapat melabur dalam syarikat terbabit, PNB melancarkan dana unit amanah yang pertama pada 20 April 1981, iaitu Skim Amanah Saham Nasional (ASN).

Ciri unik dana unit amanah yang diuruskan PNB iaitu seperti pelaburan harga tetap serendah RM10 dan kecairan seperti simpanan bank, berjaya menarik minat dan menimbulkan keyakinan kepada setiap lapisan masyarakat Bumiputera untuk melabur dalam ASN.

Hasilnya, lebih 800,000 pemegang akaun di kalangan masyarakat Bumiputera melabur sebanyak RM540 juta unit amanah dalam tahun pertama ASN dilancarkan, satu pencapaian yang tidak diduga ketika itu.

Bukan saja setiap lapisan masyarakat Bumiputera secara tidak langsung menjadi pemegang saham dalam syarikat yang sebelum ini mungkin tidak pernah diimpikan, malah sikap suka menabung berjaya disemaikan.

Sejak itu, PNB tidak lagi menoleh ke belakang, bahkan terus menerus melipatgandakan usaha dengan melancarkan produk tabung unit amanah yang menawarkan ciri lebih menarik dan kompetitif serta mengadakan program pendidikan berterusan dan dinamik mengenai pelaburan selain pengurusan kewangan.

Kini, selepas hampir 30 tahun beroperasi, PNB sudah mengumpul dan mengurus dana bernilai lebih RM100 billion. Lebih kurang RM70 bilion daripada jumlah itu adalah pelaburan yang dibuat oleh lebih lapan juta pemegang akaun, iaitu kira-kira 90 peratus adalah pelabur Bumiputera. Bermula dengan hanya satu dana iaitu ASN, PNB kini mempunyai 29 dana termasuk dua dana amanah hartanah.

Walaupun banyak cabaran dihadapi PNB seperti kegawatan ekonomi pada akhir 1980-an dan 1990-an, setiap tahun sejak 1981 hingga kini, pengagihan pendapatan unit amanah terus menerus dibayar kepada setiap pelabur.

Sehingga kini sejumlah RM55 bilion pendapatan sudah diagihkan. Pengagihan pendapatan ini membolehkan pelabur menabung untuk pelbagai keperluan asas seperti pendidikan anak dan simpanan hari tua.

Di samping itu, walaupun tujuan utama PNB ditubuhkan adalah untuk kepentingan Bumiputera, PNB juga memberi peluang kepada pelabur bukan Bumiputera dengan membenarkan mereka melabur dalam sesetengah produk yang dilancarkan.

PNB bersyukur kerana masyarakat bukan Bumiputera juga memberikan sambutan memberangsangkan kepada dana seperti Amanah Saham Malaysia (ASM) dan Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 dengan setiap kali unit baru dibuka, ia habis dijual dalam masa singkat. Ia memberi gambaran bahawa masyarakat bukan Bumiputera juga memberi kepercayaan kepada PNB untuk menguruskan dana mereka.

Untuk memastikan penyertaan dalam skim yang diuruskan PNB untuk masyarakat termiskin, PNB melancarkan Skim Amanah Saham Bumiputera-Program Pembangunan Rakyat Termiskin (Skim ASB-PPRT) pada 1992 bagi memberi peluang kepada golongan ini melabur dalam Skim ASB dan menikmati pengagihan kekayaan korporat.

Semuanya bukanlah suatu yang mudah untuk dicapai, tetapi bukan juga sesuatu yang mustahil jika kita dapat memerdekakan fikiran kita dan yakin dengan kemampuan diri kita. Oleh itu, PNB sentiasa merancang dan melaksanakan strategi mantap mengikut suasana masa dan keadaan ekonomi dunia.

Antara langkah strategik diambil PNB ialah membeli saham yang memberikan kepentingan kawalan dalam syarikat peneraju ekonomi serta menggalakkan kegiatan penyatuan dan penstrukturan semula syarikat kumpulan PNB dalam usaha menambah nilai syarikat terbabit.

Masyarakat Bumiputera menerusi PNB, kini menguasai syarikat besar seperti Malayan Banking Berhad, Sime Darby Berhad, Kumpulan Guthrie Berhad, Golden Hope Plantations Berhad, UMW Holdings Berhad, NCB Holdings Berhad, Island & Peninsular Berhad, Chemical Company of Malaysia Berhad dan banyak lagi.

Dari segi pembangunan modal insan pula, PNB sudah melantik profesional Bumiputera yang berpengetahuan dan berpengalaman sebagai pengarah nominee dalam syarikat yang PNB mempunyai pegangan saham majoriti.

Lebih daripada itu, PNB akan memastikan profesional Bumiputera yang berkelayakan tinggi dan berpengalaman dilantik sebagai pengurusan tertinggi dalam syarikat yang dikuasai PNB. Sudah terbukti mereka ini bukan setakat jaguh kampung, malah ada antara mereka berjaya membawa syarikat yang mereka terajui melabur dengan jayanya di luar negara selain mengambil alih syarikat luar negara.

Dalam usaha PNB mengukuhkan kedudukannya sebagai pelopor industri unit amanah di negara ini, PNB juga melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa dengan mengambil alih Singapore Unit Trusts Limited dan membuka pejabat global pertama di London serta dalam perancangan untuk membuka beberapa pejabat di beberapa pusat kewangan dunia.

Selain pengagihan pendapatan, PNB percaya bahawa pendidikan adalah elemen amat penting untuk menaikkan taraf ekonomi rakyat. Oleh itu, sejak pelancaran tabung amanah yang pertama, sebagai memenuhi tanggungjawab sosial, PNB mengadakan program pendidikan yang progresif dan dinamik secara percuma dan berterusan.

Bermula dengan memberi fokus kepada kempen di televisyen, akhbar dan majalah, di samping wakil PNB sendiri turun padang bertemu dengan masyarakat, kini, PNB melaksanakan program yang menjurus kepada pendidikan pelaburan bersepadu untuk melahirkan masyarakat celik pelaburan.

Tiada lapisan masyarakat yang ketinggalan daripada menerima manfaat daripada program itu, daripada kanak-kanak dan pelajar sekolah rendah hingga kepada golongan profesional.

Sebagai contoh, siri Along untuk kanak-kanak, Kelab Pelaburan Bijak PNB untuk pelajar sekolah menengah, Kuiz Pelaburan PNB untuk pelajar sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan badan beruniform, dan ‘World Investment Challenge’ untuk golongan profesional, pengurus dana dan pengamal kewangan dari seluruh pelosok dunia.

PNB juga sudah menubuhkan ‘PNB Investment Institute’ untuk golongan profesional. Program ‘Minggu Saham Amanah Malaysia’ yang diadakan setiap tahun pula dianjurkan untuk setiap lapisan masyarakat dan mendapat sambutan sangat baik, dengan dikunjungi lebih sejuta pengunjung.

Sebagai warga korporat, PNB berasa terharu dapat memberi sumbangan kepada rakyat, khasnya masyarakat Bumiputera dalam memerdekakan pemikiran mereka, bukan saja mengenai kepentingan pelaburan dan pengurusan kewangan, malah lebih penting lagi keyakinan bahawa masyarakat Bumiputera, berkeupayaan menjadi peneraju dalam bidang yang kita ceburi.

Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman adalah Presiden dan Ketua Eksekutif PNB

Saturday, September 8, 2007

Teks Penuh Bajet 2008 : Bersama Membina Negara Dan Menikmati Kemakmuran

19 galakan, insentif berupaya pertingkatkan daya saing negara

ALHAMDULILLAH, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya, saya dapat membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2008 di Dewan yang mulia ini. Tahun 2007 ini adalah tahun yang amat besar ertinya kepada kita semua kerana kita sama-sama menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara. Bajet 2008 adalah bajet pertama dalam kita melangkah masuk fasa 50 tahun kedua sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Dalam lima dekad pertama kemerdekaan, negara telah mencapai kemajuan yang membanggakan dalam suasana aman dan damai. Dalam kita menyusun langkah untuk 50 tahun seterusnya, adalah penting untuk kita memanfaatkan sepenuhnya kepelbagaian yang wujud di negara kita untuk terus dibina satu kekuatan agar kita teguh bersatu bergerak mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju.

Kualiti hidup rakyat hari ini telah jauh bertambah baik berbanding lima puluh tahun lalu. Pendapatan perkapita telah meningkat sebanyak 26 kali ganda daripada 790 ringgit pada 1957 kepada 20,840 ringgit pada 2006. Lima puluh tahun dulu, lebih separuh rakyat di negara ini hidup dalam kedaifan dan kemiskinan, kini kadar kemiskinan telah berjaya dikurangkan di bawah enam peratus.

Dalam tempoh 50 tahun, negara berjaya mencapai pertumbuhan ekonomi yang amat membanggakan, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan peningkatan 6.3 peratus setahun. Pertumbuhan ini dicapai dalam suasana inflasi yang rendah dan guna tenaga penuh. Dalam tempoh lima dekad, negara telah menghadapi beberapa krisis. Namun, dengan gandingan padu antara kepimpinan dan rakyat, kita berjaya meletakkan semula ekonomi negara di atas landasan yang kukuh. Pertumbuhan ekonomi dijangka terus mantap, dengan pertumbuhan bagi tahun 2007 pada paras enam peratus.

Asas ekonomi terus bertambah kukuh. Semenjak 1998, akaun semasa imbangan pembayaran negara telah mencatat lebihan selama sembilan tahun berturut-turut. Pada 2006, lebihan akaun semasa adalah 16.8 peratus daripada Keluaran Negara Kasar. Kadar tabungan negara terus kekal tinggi pada tahap 37 peratus daripada KDNK. Kemasukan pelaburan langsung asing terus mapan. Kita telah berjaya membina kemudahan infrastruktur bertaraf dunia berupaya menampung pembangunan perindustrian negara.

Tahun 2008 adalah tahun ketiga pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan yang berteraskan Misi Nasional, seperti berikut:

Pertama: Meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi;

Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama;

Ketiga: Menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi secara membina dan produktif;

Keempat: Meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup; dan

Kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.

Bajet 2008 bertemakan Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran, mencerminkan hasrat Kerajaan untuk memastikan kekayaan negara terus berkembang dan dapat dinikmati oleh semua rakyat. Hanya dengan ini, kemajuan negara akan menjadi lebih bermakna, dengan semua rakyat hidup dalam harmoni.

Dengan itu, Bajet ini akan memberi tumpuan kepada tiga strategi utama:

Pertama - Mempertingkat daya saing negara;

Kedua - Memperkasa pembangunan modal insan; dan

Ketiga - Menjamin kesejahteraan rakyat.

STRATEGI PERTAMA: MEMPERTINGKAT DAYA SAING NEGARA


Menyediakan Persekitaran Kondusif Bagi Pelaburan Swasta

Pelaburan swasta terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara. Alhamdulillah, aktiviti pelaburan swasta dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan semakin rancak, dengan kadar pertumbuhan tujuh peratus pada tahun 2006, berbanding dengan kadar 1.2 peratus setahun sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kelapan. Pertumbuhan pelaburan swasta dijangka mencapai 7.1 peratus tahun ini, satu kadar yang memberangsangkan. Kerajaan yakin momentum pertumbuhan ini akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang.


Dasar Cukai Yang Kompetitif

Kerajaan bertekad untuk menggalak pertumbuhan pelaburan swasta dengan menyediakan persekitaran kondusif. Satu langkah penting ke arah ini ialah dengan mempastikan cukai korporat terus kompetitif. Sistem cukai korporat masa ini berasaskan sistem imputasi. Di bawah sistem imputasi, cukai dikenakan ke atas keuntungan di peringkat syarikat dan sekali lagi ke atas dividen di peringkat pemegang saham, setelah mengambil kira cukai yang dibayar syarikat. Oleh itu, sistem ini melibatkan kos pentadbiran yang signifikan untuk memastikan pematuhan terhadap cukai yang perlu dibayar di setiap peringkat.

Untuk menjadikan pentadbiran cukai korporat lebih cekap dan mudah, Kerajaan akan melaksanakan sistem cukai single-tier, berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2008. Di bawah sistem single-tier, keuntungan hanya dikenakan cukai di peringkat syarikat, manakala dividen yang diterima dikecualikan daripada cukai. Dengan sistem single-tier, dividen dapat dibayar dengan lebih mudah. Tempoh peralihan bagi sistem baru ini ialah enam tahun untuk memastikan kelicinan perlaksanaan.

Semasa pembentangan Bajet 2007 tahun lalu, saya telah mengumumkan pengurangan cukai korporat daripada 28 peratus kepada 27 peratus bagi tahun 2007 dan 26 peratus bagi tahun 2008. Bagi meningkatkan lagi daya saing negara dan mempercepatkan pertumbuhan pelaburan swasta, saya mencadangkan kadar cukai korporat terus dikurangkan kepada 25 peratus pada 2009.

Saya yakin langkah ini akan memberi kesan limpahan ke atas pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Dengan kadar cukai korporat yang lebih rendah dan pengenalan sistem single tier, lebih banyak dividen dapat diagihkan kepada pemegang saham.


Penambahbaikan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam

Perkhidmatan awam yang efisien adalah kriteria penting dalam menyediakan persekitaran kondusif bagi menarik pelabur swasta. Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam, termasuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah).

Pasukan ini, yang terdiri daripada wakil sektor awam dan sektor swasta, menumpu kepada aspek-aspek yang dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta menambah baik daya saing negara. Saya gembira dalam enam bulan pertama penubuhan PEMUDAH, beberapa penambahbaikan telah pun dilaksanakan. Antaranya:

Pertama: Memendekkan tempoh pembayaran balik cukai pendapatan dari enam bulan ke 14 hingga 30 hari bagi penghantaran menerusi sistem e-filing;

Kedua: Meluluskan pendaftaran perniagaan baru dengan serta merta berbanding tiga hari sebelum ini; dan

Ketiga: Mempercepatkan tempoh kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar dari tiga bulan ke lima minggu.

Pembabitan secara langsung sektor swasta dalam Pemudah telah membolehkan penyelesaian dan penambahbaikan sistem penyampaian yang lebih berkesan. Antara cadangan yang dikemukakan oleh Pemudah ialah langkah untuk mempercepatkan urusan pindah milik hartanah. Selaras dengan cadangan ini, saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2008, taksiran duti setem boleh dibuat berdasarkan penilaian pihak swasta. Dengan ini, proses pindah milik boleh diteruskan sementara menunggu penilaian muktamad Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Pemudah juga sedang mengkaji prosedur pengeluaran lesen dan permit perniagaan dengan tujuan untuk mengurangkan bilangannya dan memendekkan tempoh pemprosesan melalui ICT. Usaha ini akan bermula dengan lesen serta permit bagi sektor pembuatan dan perhotelan. Selain itu, bilangan borang yang digunakan oleh jabatan kerajaan akan dikurangkan. Sebagai langkah permulaan, Jabatan Kastam akan menggabungkan 16 borang kastam kepada empat borang berkuatkuasa 1 Januari 2008.

Pembabitan sektor swasta dalam pelaksanaan Sistem Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) telah menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam. Dalam perkara ini, Kerajaan telah menggunakan prinsip akauntabiliti dan saling mempercayai bagi mengiktiraf sijil pengesahan yang dikeluarkan oleh profesional swasta.

Memandangkan tanggung jawab lebih besar golongan profesional, dan bagi melindungi kepentingan pengguna, Kerajaan mencadangkan potongan cukai diberikan ke atas premium insurans indemniti profesional. Selain itu, untuk meningkatkan akauntabiliti, Kerajaan mencadangkan semua perkhidmatan profesional dan juru perunding adalah tertakluk kepada cukai perkhidmatan.


Memudahkan Kemasukan Pekerja Berkemahiran Tinggi

Mutu modal insan, terutamanya golongan profesional dan berkemahiran, adalah faktor kritikal bagi menarik pelaburan yang berkualiti. Dengan itu, di samping memperkasa modal insan tempatan, Kerajaan akan menggalak dan memudahkan kemasukan pekerja asing berkemahiran yang akan menambah nilai kepada ekonomi negara. Untuk ini, Jabatan Imigresen akan memendekkan tempoh memproses permit kerja kepada tujuh hari untuk pekerja berkemahiran berbanding dengan 14 hari sebelum ini.

Jabatan Imigresen juga akan memperkenalkan satu kategori visa baru bagi ahli perniagaan dan profesional asing yang mempunyai tempoh sah lebih panjang. Di samping itu, ciri-ciri lain bagi memudahkan proses kemasukan akan diperkenalkan. Semua langkah ini akan berkuatkuasa 1 Januari 2008.

Bilangan syarikat multinasional yang menubuhkan pejabat serantau di Malaysia kian meningkat. Mereka memerlukan kakitangan yang berkemahiran tinggi untuk kerap berulang alik ke negara ini. Adalah penting kemasukan mereka ke negara ini dipermudahkan.

Oleh yang demikian, mulai 1 Januari 2008, proses mendapatkan pas lawatan profesional bagi pekerja berpengetahuan akan dipercepatkan dengan membolehkan permohonan dibuat di pejabat kedutaan dan konsulat Malaysia di luar negara.

Kerajaan telah pun memperkenalkan multiple entry visa (MEV) bagi warganegara China dan India. Pada masa ini, visa tersebut hanya boleh dipohon di negara asal mereka. Kerajaan telah membuat keputusan supaya warga negara China dan India dibenarkan memohon MEV dari mana-mana tempat mereka bermastautin atau bekerja. Sebagai permulaan, kemudahan ini akan diperkenalkan di pusat kewangan antarabangsa, seperti New York, London, Hong Kong dan Singapura, berkuatkuasa 1 Januari 2008.


Meningkatkan Daya Saing Pasaran Modal

Pasaran modal negara telah berkembang pesat dan menjadi antara sumber modal yang penting bagi sektor korporat. Perkembangan pesat ini telah menyumbang kepada peningkatan keyakinan pelabur, terutamanya pelabur asing. Keyakinan ini jelas dicerminkan oleh prestasi Bursa Malaysia. Indeks Komposit Kuala Lumpur melonjak semenjak awal tahun ini, dan mencecah 1,299 mata pada 6 September 2007. Nilai pasaran modal juga telah mencapai satu trilion ringgit. Kini, pasaran modal negara adalah antara pasaran modal yang terbesar dan aktif di Asia Tenggara.

Antara faktor yang menyumbang kepada prestasi pasaran saham ialah kejayaan Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Modal pasaran 45 syarikat GLC telah meningkat sebanyak 129 bilion ringgit iaitu peningkatan sebanyak 61 peratus semenjak Program Transformasi GLC yang telah saya lancarkan pada Mei 2004.

Transformasi GLC menghasilkan faedah kepada pelbagai pihak, termasuk pelanggan, pekerja, pembekal, komuniti perniagaan Bumiputera serta Kerajaan. Syarikat sektor swasta lain juga telah berjaya melalui proses transformasi masing-masing. Dalam melangkah ke tahun 2020, saya yakin beberapa syarikat swasta, termasuk GLC, akan muncul sebagai juara serantau, setanding dengan syarikat bertaraf dunia.


Memperkukuh Tadbir Urus Korporat

Tadbir urus korporat yang baik adalah asas keyakinan pelabur terhadap pasaran modal negara. Saya mengalu-alukan tindakan tegas Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam menangani beberapa kes penyelewengan perakaunan sektor korporat. Semua pihak perlu melipat gandakan usaha bagi memantapkan lagi tahap tadbir urus korporat.

Ke arah ini, Kerajaan akan menubuhkan Lembaga Pengawasan Perakaunan Syarikat Awam di bawah kawal selia SC. Lembaga ini akan bertanggungjawab untuk mengawas juruaudit syarikat awam ke arah meningkatkan mutu dan kesahihan audit ke atas penyata kewangan syarikat awam.

Selain itu, Kod Tadbir Urus Korporat sedang dipinda untuk meningkatkan kualiti lembaga pengarah syarikat awam tersenarai dengan menetapkan kriteria kelayakan pengarah, jawatankuasa audit dan audit dalaman syarikat awam tersenarai. Pindaan ini akan berkuatkuasa pada 1 Oktober 2007. Untuk meningkatkan tadbir urus jawatankuasa audit, pengarah eksekutif tidak dibenar menganggotainya.

Di samping itu, penubuhan fungsi audit dalaman yang efektif diwajibkan bagi semua syarikat tersenarai. Lembaga Pengarah perlu memastikan skop tanggungjawab, seperti yang ditetapkan oleh SC, dilaksanakan oleh audit dalaman dengan berkesan.

Bagi syarikat dan syarikat perantara yang menunjukkan tahap tadbir urus yang tinggi, SC akan memberi status ‘laluan hijau’. Ini termasuk proses kelulusan yang lebih cepat bagi cadangan korporat mereka serta memanjangkan tempoh lesen daripada satu tahun kepada tiga tahun bagi perantara kewangan di peringkat syarikat dan dua tahun bagi individu.


Menggalakkan Penggabungan dan Pengambilalihan

Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kualiti syarikat tersenarai di Bursa Malaysia. Untuk itu, pengecualian duti setem telah diberi ke atas surat cara penggabungan dan pengambilalihan (M&A) syarikat tersenarai yang diluluskan oleh SC sehingga 31 Disember 2007. Bagi menggalakkan lebih banyak syarikat tersenarai melaksanakan M&A, pengecualian ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2010.

Kini terdapat lebih daripada seribu vendor dalam sektor petroleum dan gas yang dilesenkan oleh PETRONAS. Walau bagaimanapun, kebanyakannya hanya tertumpu kepada pasaran domestik. Syarikat-syarikat tersebut perlu bergabung untuk menjadi lebih besar dan berdaya saing di peringkat global. Oleh itu, Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem diberi ke atas semua surat cara bagi penggabungan syarikat vendor Petronas yang dilaksanakan sebelum 31 Disember 2010.


Syarikat Pengurusan Pelaburan

Bagi menggalakkan industri pengurusan pelaburan, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Syarikat pengurusan dana dan syarikat pengurusan REITs dibenar mempunyai pegangan asing sehingga 70 peratus, dengan syarat pegangan Bumiputera tidak kurang daripada 30 peratus; dan

Kedua: SC akan memudahkan proses pelesenan serta segala urusan di antara pemohon dengan jabatan kerajaan yang lain bagi mempercepatkan proses penubuhan operasi syarikat pengurusan dana di Malaysia.


Struktur Komisen Yang Berdaya Saing

Untuk meningkatkan penyertaan pelabur runcit secara langsung dalam dagangan saham dan bagi menggalakkan penggunaan teknologi dalam pasaran modal, kadar komisen bagi dagangan internet dan transaksi tunai secara upfront boleh dirundingkan sepenuhnya. Langkah ini akan mengurangkan lagi kadar komisen.

Di samping itu, yuran penjelasan akan dikurangkan daripada 0.04 peratus kepada 0.03 peratus, dengan yuran maksimum sebanyak seribu ringgit. Caj minimum bagi transaksi pembrokeran ditetapkan pada kadar baru 40 ringgit bagi setiap transaksi. Langkah-langkah ini akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2008.


Menjadikan Malaysia Pusat Kewangan Islam Antarabangsa

Selaras dengan objektif Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) untuk menjadikan Malaysia sebuah pusat kewangan Islam antarabangsa, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa langkah, seperti berikut:

Pertama: Membenarkan syarikat pengurusan dana Islam memiliki sehingga 100 peratus pegangan asing;

Kedua: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyalurkan dana sebanyak tujuh bilion ringgit untuk diuruskan oleh syarikat pengurusan dana Islam;

Ketiga: Membenarkan keseluruhan aset yang diuruskan oleh syarikat pengurusan dana Islam dilaburkan di luar negara; dan

Keempat: Memberi pengecualian cukai pendapatan kepada syarikat pengurusan dana ke atas semua pendapatan yang diterima berkaitan aktiviti pengurusan dana Islam sehingga tahun taksiran 2016.

Dalam konteks membangunkan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa, penyertaan pakar terkemuka antarabangsa di semua bidang kewangan Islam adalah penting. Dengan itu, Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan diberi kepada juru perunding bukan pemastautin yang mempunyai kepakaran dalam kewangan Islam.


Menggalakkan Pelaburan Dari Timur Tengah

Untuk menarik pelaburan dari Timur Tengah, Kerajaan telah menyediakan insentif cukai bagi syarikat broker saham sedia ada untuk mewujudkan anak syarikat pembrokeran Islam. Bagi meneruskan usaha menggalakkan aliran masuk pelaburan dari Timur Tengah ke Malaysia, tiga lesen baru broker saham akan ditawarkan kepada syarikat terkemuka yang boleh menarik dana dan menjadi perantara bagi aliran perniagaan dan urus niaga dari Timur Tengah.


Industri Takaful

Industri takaful yang diwujudkan semenjak tahun 1985, telah berkembang dan kini mempunyai aset bernilai RM7.6 bilion. Untuk meningkatkan lagi perniagaan Takaful, Kerajaan mencadangkan untuk menambah baik layanan cukai, termasuk membenarkan potongan cukai ke atas perkongsian keuntungan yang diagihkan.


Meningkatkan Daya Saing Labuan Sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir

Dalam menghadapi persekitaran global yang lebih kompetitif, Kerajaan perlu memastikan Pusat Kewangan Antarabangsa Luar Pesisir Labuan terus berdaya saing. Para pelabur di Labuan menjalankan pelbagai perkhidmatan kewangan dan memerlukan layanan cukai yang lebih fleksibel. Dengan ini, Kerajaan mencadangkan syarikat luar pesisir Labuan diberi pilihan untuk dikenakan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, sebagai tambahan kepada pilihan semasa.


Merangsang Sektor Hartanah

Untuk menggalakkan sektor pembinaan hartanah, saya telah mengumumkan baru-baru ini pengecualian cukai keuntungan harta tanah. Bagi terus mempergiatkan sektor hartanah, terutamanya perumahan, Kerajaan mencadangkan pengecualian 50 peratus duti setem diberi ke atas surat cara pindah milik bagi sebuah rumah yang tidak melebihi RM250,000 seunit. Langkah ini akan mengurangkan kos pembelian sebuah rumah sehingga RM2,000.

Kerajaan berusaha untuk terus meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor hartanah. Untuk ini, Pelaburan Hartanah Bumiputera Berhad (PHBB) telah memperoleh beberapa hartanah di lokasi strategik untuk dibangunkan sebagai projek komersil bernilai tinggi.

Antara projek komersil ialah Penang Sentral yang merupakan projek terminal pengangkutan dan logistik bersepadu di Wilayah Ekonomi Koridor Utara. Di samping itu, satu dana permulaan bernilai RM 400 juta telah diwujudkan oleh PHBB bagi meningkatkan pelaburan hartanah Bumiputera di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

Dalam Bajet 2007, dana pelaburan strategik WPI telah ditubuhkan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM200 juta sebagai pemangkin pelaburan baru dalam sektor keutamaan di WPI. Dana ini telah berjaya mendapat komitmen sektor swasta untuk melabur lebih satu bilion ringgit untuk projek pendidikan, seperti universiti swasta. Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta, terutamanya untuk menarik pelaburan berkaitan perkhidmatan kesihatan.


Sektor Pertanian

Teras utama pembangunan sektor pertanian ialah untuk menjadikan sektor ini salah satu sumber utama pertumbuhan ekonomi negara. Untuk tujuan ini, sebanyak RM6.5 bilion diperuntukkan bagi sektor pertanian. Antara program yang akan dilaksanakan ialah meningkatkan pengeluaran padi, menggalakkan penanaman florikultur, herba dan rempah ratus.

Bagi sub sektor perikanan, peruntukan disediakan untuk meningkatkan hasil tangkapan ikan dan pengeluaran produk industri perikanan serta membangunkan industri akuakultur di bawah 39 projek berimpak tinggi. Peruntukan juga disediakan untuk pembangunan industri ternakan haiwan.

Di samping itu, beberapa sumber pertumbuhan baru dalam sektor pertanian telah dikenal pasti untuk dimajukan, seperti projek perintis pemprosesan minyak kelapa dara (virgin coconut oil), pengkomersilan produk nira nipah dan penternakan baka Kambing Boer.

Peruntukan juga akan disediakan bagi projek perintis penghasilan baja organik, penanaman menggunakan teknik penggabungan pembajaan dan pengairan serta pelaksanaan mekanisasi dan automasi untuk pekebun kecil.


Sektor Bioteknologi

Bioteknologi akan terus dibangunkan melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan teknologi bagi memupuk keusahawanan dan penyertaan aktif sektor swasta. Bagi tujuan ini, sebanyak RM236 juta disediakan dalam Bajet 2008. Antara projek yang akan dilaksanakan ialah perolehan teknologi, pembangunan pusat penyelidikan biodiversiti dan pusat komersialisasi bioteknologi, serta penyelidikan kompaun anti kanser.

Dalam usaha terus menggalakkan kerjasama antara syarikat bioteknologi dan universiti tempatan, syarikat berstatus Bionexus dibenar menggunakan makmal dan kemudahan penyelidikan di pusat-pusat universiti tempatan. Dengan ini, keupayaan kemudahan dan makmal penyelidikan di universiti tempatan dapat dioptimumkan.


Sektor ICT

Inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia telah masuk ke tahun ke sebelas pelaksanaannya. Industri ICT tempatan semakin matang dan berjaya. Sebahagian besar syarikat ICT tempatan berstatus MSC Malaysia mempunyai produk dan perkhidmatan bertaraf dunia dan telah bersedia untuk memasarkannya di pasaran global. Kerajaan akan menyokong usaha ini dengan mempergiatkan aktiviti pemasaran antarabangsa untuk membolehkan syarikat MSC Malaysia tempatan memperoleh lebih banyak projek antarabangsa.

Dalam usaha memperhebatkan lagi promosi MSC Malaysia di persada antarabangsa, Kerajaan akan menganjurkan Minggu ICT Dunia di Kuala Lumpur pada Mei 2008. Pelbagai persidangan dan ekspo ICT bertaraf antarabangsa akan berlangsung, termasuk persidangan World Congress on IT 2008, persidangan United Nations Global Alliance on ICT for Development dan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa MSC. Lebih lima ribu peserta antarabangsa dan tempatan dijangka mengambil bahagian dalam kesemua program tersebut. Adalah diharapkan lebih banyak syarikat ICT antarabangsa akan melabur dan bekerjasama dengan syarikat tempatan.

Pelbagai langkah akan diambil untuk menambah lagi daya tarikan Cyberjaya sebagai Bandar Siber utama yang dapat terus menarik syarikat teknologi bertaraf dunia. Ini termasuk pembinaan sekolah antarabangsa dan perumahan mampu milik serta mempertingkatkan tahap keselamatan di Cyberjaya.


Sektor Pelancongan

Program Tahun Melawat Malaysia 2007 telah berjaya menarik lebih ramai pelancong. Sehingga Jun, seramai 10.7 juta pelancong telah melawat Malaysia berbanding dengan 8.6 juta pelancong dalam tempoh yang sama tahun 2006. Ini adalah pencapaian yang cemerlang. Untuk meningkatkan lagi daya tarikan negara sebagai destinasi pelancongan utama, Kerajaan memperuntukkan RM858 juta bagi pelaksanaan pelbagai program, termasuk penyediaan dan peningkatan kemudahan pelancongan serta mempelbagaikan produk pelancongan.

Peruntukan sebanyak RM22 juta disediakan untuk meningkatkan aktiviti homestay bagi 47 buah kampung terpilih. Di samping itu, pembangunan projek ekopelancongan akan dilaksanakan untuk menjana pendapatan penduduk luar bandar dan masyarakat Orang Asli.


Menggalakkan Perkembangan Perusahaan Kecil Dan Sederhana

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dikenal pasti sebagai peneraju penting pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif untuk membangunkan sektor ini. Kerajaan sedar PKS mungkin menghadapi kesukaran aliran tunai pada peringkat awal penubuhan. Bagi mengurangkan beban ini, Kerajaan mencadangkan syarikat PKS diberi fleksibiliti membayar cukai pada akhir tahun kewangan dan bukannya secara ansuran bulanan. Kelonggaran ini adalah untuk tempoh dua tahun mulai tarikh syarikat memulakan operasi.

STRATEGI KEDUA: MEMPERKASA PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Modal insan berkualiti adalah antara faktor terpenting dalam memastikan Malaysia mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju. Oleh itu, aspek kualiti pendidikan dan latihan terus diberi penekanan.


Memperkasa Sekolah Rendah dan Menengah

Sejumlah RM 30 bilion disediakan bagi Kementerian Pelajaran. Peruntukan ini turut merangkumi pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, termasuk Program Sekolah Cemerlang, memartabat profesion keguruan dan merapatkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar.

Untuk meningkatkan lagi kualiti dan prestasi sekolah, 60 buah sekolah kluster akan diwujudkan dalam tahun 2008. Peruntukan berjumlah 500 ribu ringgit akan diberi bagi setiap sekolah kluster untuk tujuan aktiviti ko-kurikulum, latihan dan pembelian peralatan pembelajaran.


Pendidikan Percuma Untuk Semua

Kerajaan komited melaksanakan langkah progresif untuk meningkatkan akses dan mengurangkan kos pendidikan. Pada tahun lalu, saya telah mengumumkan pemansuhan yuran peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Sebagai tambahan, saya ingin mengumumkan yuran peperiksaan bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia akan dimansuhkan. Dengan itu, yang tinggal hanya yuran tahunan sekolah rendah dan menengah. Saya juga sukacita mengumumkan, mulai tahun 2008, yuran sekolah ini turut dimansuhkan.

Saya juga ingin mengumumkan bahawa bermula sesi persekolahan tahun hadapan, Skim Pinjaman Buku Teks akan diperluaskan kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak. Peluasan Skim ini akan memberi manfaat kepada 5.7 juta pelajar berbanding 4.5 juta pelajar pada masa ini. Dengan langkah-langkah ini, pendidikan di negara ini adalah seratus peratus percuma.

Penyertaan pelajar secara aktif dalam kegiatan ko-kurikulum, seperti badan beruniform, persatuan dan kelab serta sukan, adalah penting dalam membantu pembentukan sahsiah dan membina kualiti kepimpinan pelajar. Bagi memastikan bahawa setiap pelajar mendapat peluang untuk membabitkan diri di dalam aktiviti kokurikulum beruniform, Kerajaan akan memberi sepasang pakaian seragam percuma bagi satu kegiatan kepada pelajar sekolah daripada keluarga yang berpendapatan isi rumah seribu ringgit sebulan dan ke bawah.


Memartabatkan Profesion Keguruan

Untuk mengiktiraf peranan penting guru dan memartabatkan profesion keguruan, Kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah berikut:

Pertama: Meningkatkan elaun guru pendidikan khas daripada RM100 kepada RM250 ringgit sebulan;

Kedua: Menaikkan kadar elaun guru ganti berkelulusan ijazah daripada RM85 kepada RM150 sehari; dan

Ketiga: Menyediakan elaun sebanyak RM60 sejam bagi lepasan ijazah dan RM50 sejam bagi lepasan diploma kepada guru yang mengajar bahasa Cina dan Tamil di sekolah kebangsaan.

Guru-guru yang telah bersara masih berupaya menyumbang kepada bidang pendidikan. Pengetahuan dan pengalaman luas mereka harus dimanfaatkan sepenuhnya. Untuk ini, guru-guru pesara akan diambil untuk berkhidmat sebagai guru ganti dan tenaga pengajar untuk guru pelatih.


Peranan Badan Amal Dalam Pendidikan

Kerajaan menghargai usaha badan amanah dan pertubuhan amal yang membiayai dan mengurus dengan baik sebilangan sekolah rendah dan menengah. Bagi menyokong usaha tersebut, Kerajaan mencadangkan sekolah-sekolah ini diberikan pengecualian cukai pendapatan. Pengecualian ini akan memberi manfaat, khususnya kepada sekolah Cina dan Tamil serta sekolah agama.


Memantapkan Pengajian Tinggi

Pada 27 Ogos lalu, Pelan Strategik Pengajian Tinggi telah dilancarkan. Pelan itu bertujuan untuk mentransformasikan sektor pengajian tinggi negara bagi menghasilkan modal insan kelas pertama serta membangunkan institusi pengajian tinggi bertaraf dunia.

Sebanyak RM12 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program, antaranya:

Pertama: Meningkatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan di empat buah Universiti Penyelidikan;

Kedua: Meningkatkan peruntukan kepada Universiti Teknologi Mara bagi mencapai sasaran 200,000 mahasiswa menjelang tahun 2010;

Ketiga: Menaik taraf serta memperluaskan Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Iman dan Universiti Pertahanan; dan

Keempat: Menjenamakan semula kolej komuniti melalui penyediaan kursus di peringkat diploma, menubuhkan kolej komuniti baru dan menggiatkan kolaborasi dengan syarikat swasta.

Pada masa ini, lebih 90,000 orang pelajar yang ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mara di universiti tempatan. Walaupun begitu, masih ada kekurangan pelajar dalam beberapa bidang khusus. Oleh itu, Kerajaan akan meningkatkan jumlah pelajar Ijazah Pertama yang ditaja oleh JPA di universiti tempatan daripada lima ribu setahun kepada sepuluh ribu orang pelajar mulai 2008.


Kenaikan Kadar Biasiswa

Kerajaan sedar bahawa kos sara hidup pelajar telah meningkat. Oleh yang demikian, Kerajaan akan meningkatkan elaun sara hidup pelajar di semua peringkat pengajian tinggi tempatan, termasuk kursus persediaan dan kursus bahasa. Peningkatan elaun itu adalah di antara 23 peratus dan 84 peratus. Kadar baru ini berkuatkuasa mulai semester pertama sesi 2007. Lebih 90,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada kenaikan ini.

Pada masa ini, Kerajaan menaja seramai 17,000 ribu pelajar di universiti luar negeri. Kerajaan telah pun meningkatkan elaun sara hidup di Australia, New Zealand, Mesir dan Korea Selatan pada tahun 2006. Kini, Kerajaan akan meningkatkan elaun sara hidup pelajar di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada sehingga 97 peratus, iaitu hampir dua kali ganda, berkuatkuasa September 2007.


Mempertingkatkan Program Latihan dan Kemahiran

Sejumlah RM2 bilion telah diperuntukkan kepada pelbagai agensi latihan kerajaan untuk meningkatkan bilangan dan kualiti pekerja terlatih selaras dengan keperluan pasaran. Daripada jumlah itu, RM480 juta diperuntukkan untuk program latihan GiatMara dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) serta latihan kemahiran di Institut Kemahiran Belia Negara.

Bagi meningkatkan kapasiti institusi latihan, RM550 juta diperuntukkan untuk menaik taraf politeknik dan kolej komuniti. Sejumlah RM750 juta pula diperuntukkan untuk membina sebuah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Taiping dan sebuah ILP di Marang. Peruntukan ini juga akan digunakan untuk menaik taraf ILP dan ADTEC di seluruh negara dan untuk membina lapan buah MRSM, empat buah IKM dan 28 pusat GiatMara.

Skop Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) akan diperluaskan. Kelonggaran akan diberikan kepada syarikat untuk memilih program latihan dan pendidikan lanjutan kepada kakitangan. Bagi tujuan ini, Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad, 2001 akan dipinda untuk membolehkan majikan:

Pertama: Mendapat bantuan kewangan bagi melatih pekerjanya sehingga ke peringkat sarjana atau ijazah doktor falsafah, terutamanya dalam bidang teknologi baru dan teknologi tinggi;

Kedua: Mendapat bantuan kewangan bagi melatih pekerja walaupun majikan itu mempunyai tunggakan levi atau tunggakan faedah atas levi; dan

Ketiga: Menyediakan peluang latihan amali di premis mereka kepada pelajar universiti atau pelatih institusi latihan.

Bagi menampung kekurangan pekerja mahir dalam sektor pembinaan, penggunaan tabung Lembaga Kemajuan Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, CIDB akan melaksanakan Program Latihan Masterskills yang meliputi kemahiran dalam pengurusan dan pembinaan fizikal. Bagi tahun 2008, seramai 50,000 pekerja dalam sektor pembinaan akan dilatih dalam program ini dengan kos berjumlah RM100 juta.


Pembelajaran Sepanjang Hayat

Saya sering menekankan peri pentingnya untuk kita sentiasa menambah nilai pada diri. Bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di kalangan rakyat Malaysia, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sehingga RM5,000 ke atas yuran pengajian diperluaskan kepada semua bidang di peringkat pasca ijazah.


Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersilan

Kerajaan akan mempergiatkan lagi aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan, terutamanya pengkomersilan penemuan R&D tempatan. Bagi tahun 2008, Dana Sains diperuntukkan RM230 juta dan RM300 juta disediakan untuk Dana Tekno. Selain itu, RM546 juta disediakan bagi program R&D institusi penyelidikan. Untuk memudah dan mempercepatkan pengeluaran dana R&D pertanian, sejumlah RM300 juta dipindahkan daripada baki siling Dana Sains dan Dana Tekno kepada Kementerian Pertanian.

Kerajaan akan terus menyokong aktiviti R&D dan pengkomersilan. Pada masa ini, pembahagian royalti pengkomersilan R&D adalah 50 peratus kepada institut penyelidikan dan baki 50 peratus dibahagi di antara institut penyelidikan dan penyelidik. Untuk menggalakkan lebih banyak aktiviti pengkomersilan serta untuk memberi insentif lebih baik kepada penyelidik, kadar pembayaran royalti kepada penyelidik ditingkatkan kepada 80 peratus dan baki 20 peratus kepada institut penyelidikan.

Pejabat Pelesenan Teknologi (TLO) telah ditubuhkan di institusi penyelidikan, seperti SIRIM dan Universiti Sains Malaysia. Pejabat ini didapati efektif dalam menyelaras kegiatan R&D serta perolehan paten. Oleh itu, lebih banyak pejabat TLO akan ditubuhkan di pusat penyelidikan dan universiti awam yang lain.


Pembangunan Modal Insan ICT

Bagi memastikan bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi menepati permintaan industri ICT, Knowledge Workers Development Institute akan dibangunkan di Cyberjaya. Sebuah Pusat Animasi Digital MSC Malaysia juga akan diwujudkan di Cyberjaya untuk menyokong pembangunan industri animasi digital serta meningkatkan kepakaran tempatan dalam bidang itu.


Membangun Masyarakat Berpengetahuan

Selaras dengan usaha mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan merapatkan jurang digital, satu sasaran utama Kerajaan adalah untuk mencapai kadar penembusan jalur lebar 50 peratus daripada isi rumah menjelang tahun 2010, berbanding dengan 12 peratus pada masa ini.

Untuk itu, perkongsian awam dan swasta yang efektif adalah perlu untuk mempercepatkan pelaksanaan peluasan jalur lebar. Satu langkah yang akan dilaksanakan ialah menggalakkan pemaju menyediakan infrastruktur telekomunikasi di kawasan perumahan baru. Kerajaan juga akan meningkatkan pemantauan terhadap kemajuan penyedia perkhidmatan dalam memperluaskan aplikasi jalur lebar.

Kerajaan juga mencadangkan:

Pertama: Penyedia kemudahan rangkaian sambungan terakhir diberi Elaun Pelaburan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal infrastruktur bagi perkhidmatan jalur lebar sehingga 31 Disember 2010;

Kedua: Pengecualian duti import dan cukai jualan diberikan ke atas peralatan jalur lebar dan peralatan capaian pengguna; dan

Ketiga: Potongan cukai diberi kepada majikan yang menyediakan manfaat komputer baru dan pembayaran langganan jalur lebar bagi kakitangan. Manfaat yang diterima oleh kakitangan juga diberi pengecualian cukai.

STRATEGI KETIGA: MENJAMIN KESEJAHTERAAN RAKYAT


Program Perumahan untuk Rakyat

Satu langkah penting bagi membantu golongan berpendapatan rendah menikmati taraf hidup yang lebih selesa ialah dengan menyediakan perumahan mampu milik yang mencukupi. Selaras dengan hasrat itu, Kerajaan akan mempergiatkan lagi program pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana.

Sejumlah RM381 juta disediakan bagi melaksanakan perumahan rakyat kos rendah. Daripada jumlah itu, RM191 juta diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa dan RM190 juta bagi PPR Bersepadu. Pada masa ini, 12,000 unit PPR Disewa dan 25,000 unit PPR Bersepadu sedang dalam peringkat pelaksanaan.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan juga mempergiatkan pembinaan rumah bagi golongan berpendapatan rendah, seperti berikut:

Pertama: 6,000 unit di bawah Program Pemulihan Rumah Terbengkalai;

Kedua: 36,000 unit di bawah Program Perumahan Mampu Milik; dan

Ketiga: 4,000 unit di bawah Program Rumah Mesra Rakyat.

Kerajaan amat prihatin atas kesukaran golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap, seperti petani dan pengusaha kecil, mendapatkan pinjaman bank untuk membiayai pembelian rumah kos rendah dan sederhana. Ini termasuk mereka yang mempunyai keupayaan untuk membayar balik pinjaman perumahan tetapi tidak dapat menyediakan bukti pendapatan mereka.

Dengan itu, Kerajaan akan menyediakan dana sebagai jaminan kepada bank untuk memberi pinjaman perumahan kepada golongan ini. Sebagai permulaan, RM50 juta telah disediakan sebagai jaminan kepada Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam Berhad, berkuatkuasa 1 Januari 2008. Kerajaan yakin kemudahan ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk memperoleh pinjaman perumahan.

Rumah adalah aset terpenting. Lazimnya, nilai rumah bukan saja terus meningkat dalam jangka panjang, bahkan rumah merupakan jaminan kesejahteraan masa hadapan. Sebahagian besar daripada pendapatan bulanan rakyat dibelanjakan untuk bayaran bulanan pinjaman perumahan.

Untuk meringankan beban ini, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan akan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan baki dalam Akaun 2 setiap bulan untuk tujuan membantu pembayaran ansuran pinjaman perumahan. Setiap pencarum dibenarkan menggunakan kemudahan ini untuk membiayai pinjaman sebuah rumah, berkuatkuasa 1 Januari 2008.

Ini adalah satu langkah penting yang akan memberi manfaat kepada semua lima juta pencarum aktif KWSP. Skim ini akan membolehkan pencarum memiliki rumah yang lebih selesa serta meringankan beban kewangan mereka. Skim ini akan membolehkan sebanyak RM9.6 bilion setahun dikeluarkan oleh pencarum untuk membeli rumah.

Sebanyak 9,600 unit kuarters telah siap dibina di seluruh negara pada tahun 2007 untuk menyediakan perumahan yang mencukupi bagi kakitangan Kerajaan, manakala 13,000 unit lagi dijangka siap pada tahun 2008. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM887 juta pada 2008 untuk membina lebih banyak kuarters kakitangan awam di seluruh negara.


Pengangkutan Awam Yang Cekap

Kerajaan sedar bahawa sistem pengangkutan awam yang efisien dan selesa adalah penting, khasnya untuk golongan berpendapatan rendah. Sistem pengangkutan yang cekap juga perlu untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya dan meningkatkan produktiviti.

Untuk ini, Kerajaan telah pun mengambil beberapa langkah untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang komprehensif, termasuk rel dan bas, khususnya di bandar-bandar utama. Dalam tempoh empat tahun yang akan datang, sebanyak RM12 bilion akan dibelanjakan untuk meningkatkan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di Pulau Pinang, Lebuh Raya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) akan mula dilaksanakan secara tender dalam tempoh terdekat. Bandar-bandar utama lain akan turut disediakan dengan sistem pengangkutan awam yang selesa.


Pembangunan Seimbang

Satu agenda terpenting Kerajaan adalah untuk memastikan pembangunan tersebar luas ke seluruh negara. Ke arah ini, pembangunan koridor ekonomi terus dipergiatkan, bermula dengan Wilayah Pembangunan Iskandar dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara. Saya bersyukur kedua-dua rancangan besar ini telah diterima baik oleh rakyat. Seterusnya, Wilayah Ekonomi Pantai Timur serta Koridor Sabah dan Koridor Sarawak akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada usaha membangunkan negeri Sabah dan Sarawak. Sejumlah empat bilion ringgit disediakan untuk melaksanakan pelbagai projek bagi meningkatkan kualiti hidup di Sabah. Di antara projek utama ialah pembinaan Jalan Kota Marudu-Ranau, Jalan Lingkaran Utara Sandakan, menaik taraf Jalan Kota Belud-Langkon, perkhidmatan kesihatan luar bandar, kemudahan hospital, perumahan kos rendah, bekalan elektrik dan air serta menaik taraf jalan dan rel kereta api.

Sejumlah RM4 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek pembangunan di Sarawak. Antara projek utama adalah pembinaan Jalan Kota Samarahan - Gumpeh, menaik taraf Jalan Kuching - Sibu, perkhidmatan kesihatan luar bandar, Universiti Putra Malaysia, IKM Bintulu, projek bekalan air dan elektrik serta projek pembetungan dan projek gantian Jambatan Batang Lupar, Samarahan. Saya yakin projek-projek ini akan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Sarawak.

Mulai tahun 2006, Kerajaan juga telah melaksanakan projek bekalan elektrik bagi sekolah-sekolah di negeri Sarawak dengan peruntukan satu bilion ringgit. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini. Projek yang sama akan dilaksanakan di Sabah pada tahun 2008.

Bagi mempergiatkan aktiviti pelancongan di Sabah dan Sarawak, sejumlah RM200 juta disediakan di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan yang diuruskan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad. Keutamaan akan diberi kepada projek pelancongan yang memanfaatkan kekayaan semula jadi Sabah dan Sarawak.

Usaha akan terus diambil untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup Bumiputera, termasuk kaum Iban, Bidayuh, Melanau dan Melayu di Sarawak serta kaum Kadazan-Dusun, Melayu, Bajau dan Murut di Sabah. Untuk tujuan ini, sebanyak RM800 juta diperuntukkan bagi Sarawak dan Sabah. Di antara langkah yang akan dilaksanakan, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, termasuk program perumahan, latihan kemahiran dan keusahawanan, projek bekalan elektrik dan air, jalan kampung dan pendidikan prasekolah.


Membasmi Kemiskinan Tegar

Kerajaan komited untuk menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2010. Selaras dengan ini, sejumlah RM214 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk tujuan pembasmian kemiskinan. Kerajaan akan menekankan, antara lain, langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah, memperkukuh pembangunan modal insan serta memberi bantuan perumahan kepada golongan miskin tegar.

Di samping itu, sejumlah RM117 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Program Pengurangan Kemiskinan dan Program Lonjakan Mega. Program ini adalah pembangunan bersepadu untuk menjana pendapatan penduduk di kawasan kurang maju dan terpencil.


Kemiskinan Bandar

Langkah akan terus diambil untuk mengatasi kemiskinan bandar, termasuk pembinaan rumah kos rendah dengan bilangan yang mencukupi, penyediaan peluang pekerjaan serta pembaikan kemudahan dan pengangkutan awam.

Bagi menggalakkan lebih ramai individu memulakan perniagaan sendiri, pelbagai program keusahawanan dan latihan kemahiran telah disediakan. Bagi tujuan ini, kemudahan sedia ada di kawasan bandar akan ditambah untuk menyediakan latihan bagi pelajar yang tercicir untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaan, khasnya mereka yang tidak tamat persekolahan di peringkat PMR dan SPM.

Dalam konteks ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan berjumlah RM30 juta untuk NGO mengadakan program latihan yang bersesuaian bagi golongan pelajar tercicir, serta memperluaskan program Kolej Komuniti dan GiatMara ke kawasan bandar.


Pembangunan Luar Bandar

Kerajaan bertekad untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar. Sehubungan ini, pelbagai program akan dilaksanakan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat desa melalui penyediaan prasarana asas, seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik. Di samping itu, usaha turut dilaksanakan untuk menyediakan kemudahan ICT di luar bandar.

Pada 2008, sebanyak RM680 juta disediakan untuk pembinaan jalan luar bandar dan jalan kampung, RM462 juta untuk projek bekalan air dan elektrik luar bandar, RM70 juta untuk kemudahan sosial dan RM15 juta bagi pendidikan ICT di luar bandar. Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memperuntukkan RM45 juta bagi melaksanakan projek SchoolNet untuk menyediakan perkhidmatan internet di sekolah-sekolah.


Meningkatkan Taraf Hidup Masyarakat Orang Asli

Kerajaan komited untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Orang Asli. Ke arah ini, RM170 juta diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli untuk melaksanakan pelbagai program dan projek. Sejumlah RM50 juta daripada peruntukan tersebut disediakan bagi Program Bantuan Rumah dan kemudahan sosial di kawasan penempatan Orang Asli.


Belia dan Sukan

Generasi muda harus dipupuk dengan kualiti kepimpinan dan sikap positif. Untuk tujuan ini, program belia dan sukan adalah penting dalam pembentukan peribadi. Sejumlah RM984 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan belia dan sukan, termasuk Program Rakan Muda. Sejumlah RM677 juta disediakan bagi melatih seramai 110,000 remaja di bawah Program Latihan Khidmat Negara.

Untuk mempromosikan sukan di kalangan rakyat, sejumlah RM217 juta disediakan untuk membiayai projek berkaitan sukan. Ini termasuk menaik taraf dan menyelenggarakan kompleks dan kemudahan sukan negeri serta kompleks sukan komuniti. Sebagai tambahan, untuk menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai individu sehingga RM300 setahun diberi ke atas pembelian peralatan sukan dan senaman.


Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Kekuatan Malaysia turut terbina atas penyertaan wanita dalam pembangunan negara. Kebolehan dan keupayaan wanita telah digilap sepenuhnya tanpa diskriminasi. Status wanita di Malaysia dapat dibanggakan berbanding banyak negara. Wanita terus diberi peluang yang sama untuk menjawat jawatan penting. Kerajaan akan memastikan bahawa bakat dan potensi wanita terus dimanfaatkan sepenuhnya.

Bagi tahun 2008, Kerajaan memperuntukkan RM782 juta untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Antara program dan projek yang akan dilaksanakan merangkumi program pembangunan kapasiti dan kemahiran wanita, khususnya ibu tunggal, serta usaha mengimarah Rumah Nur.

Kerajaan akan menggalakkan kaum ibu untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di rumah. Ini akan memberi peluang pekerjaan bagi suri rumah di samping membolehkan lebih ramai wanita untuk menyertai pasaran kerja. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan permulaan sebanyak sepuluh juta ringgit bagi membolehkan NGO memberi latihan kepada suri rumah mengenai kaedah penjagaan bayi dan kanak-kanak.

Pendidikan awal adalah penting dalam usaha membentuk kanak-kanak menjadi insan cemerlang. Untuk tujuan ini, program pendidikan prasekolah akan diperluaskan dengan membina sebanyak 280 buah Tabika baru di seluruh negara dengan peruntukan RM105 juta. Dengan ini, bilangan Tabika akan bertambah kepada lebih 7,600 buah bagi menampung hampir 300,000 kanak-kanak berumur di antara empat dan enam tahun.

Sejumlah RM270 juta disediakan bagi pembayaran elaun kakitangan kontrak KEMAS dan RM134 juta untuk makanan tambahan, geran perkapita serta program peningkatan kelayakan akademik guru Taska dan Tabika. Pada tahun 2008, tiga Pusat Anak Permata Negara akan beroperasi, menjadikan jumlah keseluruhan 15 pusat bagi membantu dan memudah cara proses pendidikan awal anak.

Untuk mengeratkan hubungan kasih sayang antara suami dan isteri, serta menjamin kesejahteraan keluarga, Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem sepenuhnya diberi ke atas pindah milik hartanah daripada suami kepada isteri. Dalam keadaan di mana isteri hendak memindahkan hartanah kepada suami, pengecualian ini juga akan terpakai.


Menjamin Kebajikan Warga Emas

Ramai pesara bergantung kepada pendapatan daripada simpanan untuk keperluan kewangan mereka apabila tidak lagi bekerja. Untuk membantu golongan ini meningkatkan pulangan daripada simpanan mereka, bon bernilai RM2 bilion akan diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia untuk dilanggan oleh warga emas berumur 55 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Kadar maksimum bon yang boleh dilanggan adalah RM50,000 seorang dengan tempoh matang selama tiga tahun dengan kadar pulangan lima peratus. Penerbitan bon ini adalah lanjutan kepada bon-bon yang pernah diterbitkan bernilai RM3.5 bilion.

Bagi mengurangkan beban kewangan warga emas yang miskin dan berkeperluan, Kerajaan akan menaikkan kadar bantuan mereka daripada RM200 sebulan kepada RM300 sebulan berkuatkuasa 1 Januari 2008.

Jabatan Kebajikan Masyarakat mengendalikan sembilan buah Rumah Seri Kenangan di seluruh negara yang menyediakan kemudahan tempat tinggal untuk 2,000 warga emas. Di samping itu, terdapat 148 rumah warga emas yang dikendalikan oleh NGO menempatkan 3,700 warga emas. Untuk menambah kemudahan sedia ada, Kerajaan akan membantu NGO dengan memperuntukkan geran sepadan sejumlah RM25 juta.


Bantuan Kebajikan Untuk Orang Kurang Upaya

Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan masyarakat OKU. Untuk membantu mereka, Kerajaan akan:

Pertama: Menaikkan kadar elaun bulanan pekerja OKU kepada RM300 daripada RM200;

Kedua: Memberi bantuan khas sebanyak RM300 sebulan kepada penjaga OKU yang terlantar dan pesakit yang mengidap penyakit kronik; dan

Ketiga: Membenarkan potongan cukai kepada majikan ke atas kos pengubahsuaian tempat kerja bagi pekerja OKU untuk menggalakkan sektor swasta mengambil lebih ramai pekerja OKU.

Golongan OKU adalah sebahagian daripada tenaga kerja yang perlu turut digembleng supaya dapat sama-sama menyumbang kepada negara. Bagi sesetengah pekerjaan seperti pekerja di plaza tol, pemasang di kilang, telefonis dan beberapa jenis pekerjaan yang lain, golongan OKU seharusnya diberikan keutamaan untuk menyertainya. Oleh itu, saya menyeru pihak majikan agar memberi lebih banyak peluang kepada golongan ini.


Kesihatan Kunci Kecemerlangan

Kerajaan akan terus melaksanakan langkah bagi memastikan semua rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang memuaskan. Untuk ini, sejumlah RM13 bilion diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan hospital, memperoleh bekalan ubat dan menyediakan kemudahan peralatan kesihatan. Antara projek utama yang akan dilaksanakan pada tahun 2008 adalah pembinaan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Ulu Kinta, Kolej Kejururawatan Kuala Pilah, Hospital Kluang, Hospital Tampin, Hospital Rehabilitasi Cheras, serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur.

Peruntukan bernilai RM76 juta disediakan untuk memperkukuhkan kawalan penyakit berjangkit, perkhidmatan di unit rawatan rapi dan perkhidmatan dialisis di hospital kerajaan. Untuk mengatasi kekurangan jururawat, Kerajaan akan melatih lebih ramai jururawat di pusat latihan swasta.

Untuk mengekalkan Pegawai Pakar Perubatan Kerajaan di hospital atau klinik Kerajaan, Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP) akan dilaksanakan di hospital. Pakar perubatan dibolehkan menerima sebahagian daripada bayaran yang dikenakan ke atas pesakit FPP, berkuatkuasa 1 Januari 2008.

Untuk menggalakkan sektor swasta melabur dalam kemudahan makmal bertaraf antarabangsa bagi tujuan menguji peralatan perubatan, Kerajaan mencadangkan galakan Taraf Perintis 100 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus selama lima tahun diberi kepada syarikat yang melabur dalam aktiviti berkenaan.


Menyemai Tanggungjawab Sosial Korporat

Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh semua syarikat swasta, terutamanya syarikat awam tersenarai (PLC). Kerajaan percaya bahawa syarikat yang terlibat dalam kegiatan CSR akan menikmati manfaat daripada usaha murni ini dalam jangka masa panjang, di samping memberi sumbangan ke arah kesejahteraan masyarakat.

Dalam Bajet 2007, Kerajaan telah mengumumkan bahawa semua syarikat PLC perlu menzahirkan aktiviti CSR sebagai sebahagian daripada laporan kewangan tahunan syarikat. Mulai tahun kewangan 2008, penzahiran penyata CSR perlu juga merangkumi komposisi guna tenaga syarikat dari segi kaum dan gender, serta program untuk membangunkan vendor tempatan dan Bumiputera. Kelebihan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum harus di manfaatkan oleh syarikat swasta dengan mengambil kakitangan dari semua lapisan masyarakat.

Kerajaan sedar bahawa sektor swasta telah berjaya melaksanakan dengan berkesan beberapa projek CSR untuk meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah. Dengan itu, Kerajaan ingin menyokong usaha ini dengan menubuhkan satu dana CSR berjumlah RM50 juta untuk membiayai bersama projek CSR yang wajar diberi bantuan pembiayaan Kerajaan. Ini termasuk membaik pulih rumah usang milik golongan miskin dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Kerajaan menghargai usaha syarikat swasta yang kerap menyediakan kemudahan awam untuk memberi faedah besar kepada masyarakat setempat, seperti pembinaan jejantas dan taman permainan. Dengan itu, Kerajaan bercadang agar potongan cukai diberikan ke atas perbelanjaan bagi pelaburan sedemikian, sungguhpun kemudahan ini juga memberi faedah sampingan kepada syarikat berkenaan.

Program Pintar telah dilancarkan bagi tujuan pengambilan sekolah angkat oleh GLC. Semasa melancarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara di Perak, saya telah mengumumkan program Pintar akan diperluaskan ke seluruh negara dengan membabitkan semua syarikat swasta. Bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya, Kementerian Kewangan akan menubuhkan urus setia tetap untuk menguruskan program Pintar. Di antara inisiatif baru Pintar yang akan dilaksanakan pada tahun 2008 ialah sumbangan komputer terpakai kepada sekolah angkat.


Keselamatan Awam

Keselamatan awam adalah prasyarat untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat. Kerajaan komited untuk membanteras jenayah. Sejumlah RM6 bilion diperuntukkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tahun 2008.

Kerajaan akan meningkatkan pengawasan polis, terutamanya di kawasan berisiko tinggi berlaku jenayah. Selaras dengan ini, keupayaan dan kecekapan PDRM akan dipertingkatkan dengan pengambilan 60,000 anggota polis baru dalam tempoh lima tahun. Pegawai penyiasat dan penolong pegawai penyiasat akan dibekalkan dengan tambahan 2,000 unit kereta nasional dan 1,600 komputer. Manakala, 1,900 motosikal disediakan untuk meningkatkan aktiviti pengawasan dan rondaan polis. Unit Bergerak Forensik PDRM juga akan ditubuhkan di setiap kontinjen polis.

Kerajaan akan memasang lebih banyak CCTV yang dihubungkan ke pusat kawalan polis. Saya juga menyarankan supaya rakyat membantu polis dalam membanteras jenayah dengan memberi maklumat yang perlu, dan mengambil langkah untuk mengurangkan risiko berlakunya jenayah.

Bagi menyokong sektor swasta mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan mereka, terutamanya di premis kilang, Elaun Modal Dipercepatkan yang boleh dituntut dalam tempoh satu tahun akan diberi ke atas pembelian alat kawalan dan keselamatan.


Memupuk Budaya Penyelenggaraan

Budaya penyelenggaraan yang baik perlu diamalkan sepenuhnya. Ini adalah penting bagi mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan penggunaan kemudahan awam. Untuk mencapai objektif ini, anjakan minda perlu di semua peringkat Kerajaan serta sektor swasta. Kita hanya akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada kemudahan kelas pertama jika ia disertai dengan budaya penyelenggaraan yang juga kelas pertama.

Kerajaan akan terus memastikan peruntukan penyelenggaraan awam digunakan dengan efisien dan efektif oleh agensi pelaksana. Peruntukan bagi penyelenggaraan terus ditambah. Untuk tahun 2008, sejumlah RM9.7 bilion diperuntukkan bagi pelbagai jenis penyelenggaraan.

Untuk memastikan peruntukan ini dimanfaatkan sepenuhnya, Kementerian dan agensi tidak akan dibenarkan untuk membuat pindah peruntukan untuk membiayai aktiviti lain.

Tindakan tegas akan diambil terhadap penjawat awam yang mengabaikan kerja-kerja penyelenggaraan.


Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air

Bekalan air bersih adalah keperluan asas rakyat. Kerajaan telah berjaya meningkatkan liputan bekalan air di dalam negara. Kini, sebanyak 95 peratus rakyat mempunyai akses kepada bekalan air bersih, meningkat dua kali ganda berbanding dengan 48 peratus pada tahun 1970. Sungguhpun demikian, keperluan untuk menambah kapasiti bekalan air bersih kian meningkat. Oleh itu, Kerajaan telah memulakan penstrukturan semula industri perkhidmatan air supaya lebih bermutu dan mapan. Penstrukturan semula ini membabitkan, antara lain, pengambilalihan hutang kerajaan negeri berjumlah 7.6 bilion ringgit oleh Pengurusan Aset Air Berhad, sebuah syarikat milik Kerajaan Persekutuan. Saya yakin semua kerajaan negeri akan bekerjasama dalam usaha penstrukturan ini untuk sama-sama memastikan skim ini berjalan lancar.


Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar

Kerajaan komited untuk memastikan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pemeliharaan alam sekitar. Fenomena perubahan iklim dan kejadian pencemaran menjadi cabaran besar di peringkat global dan serantau, baik bagi negara maju mahupun negara membangun. Perkara ini harus ditangani dengan tegas dan berani oleh setiap sektor dan setiap warga.

Sejumlah RM1.1 bilion disediakan bagi projek tebatan banjir untuk mengurangkan kejadian banjir di seluruh negara. Ini termasuk projek tebatan banjir di Sungai Muda, Sungai Kelantan, Sungai Damansara, Sungai Prai dan Projek Mengatasi Banjir Kuala Lumpur. Peruntukan sebanyak 120 juta ringgit disediakan bagi program pemuliharaan dan pembersihan serta pengindahan sungai di seluruh negara.

Untuk terus menggalakkan penggunaan tenaga secara cekap dan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui, Kerajaan mencadangkan beberapa penambahbaikan ketara dari segi insentif cukai yang disediakan, termasuk Elaun Cukai Pelaburan ke atas perbelanjaan untuk penjimatan tenaga dan penjanaan sendiri tenaga boleh diperbaharui.

Malaysia mempunyai potensi untuk mendapat manfaat daripada pelaburan dalam projek pengurangan pelepasan gas “greenhouse” yang menyumbang kepada pemanasan global. Di bawah Protokol Kyoto, syarikat yang berjaya mengurangkan pelepasan gas “greenhouse” akan diberi sijil Certified Emission Reduction (CER) yang boleh diperdagangkan. Bagi menggalakkan syarikat menyertai projek ini, pendapatan yang diterima daripada perdagangan sijil CER diberi pengecualian cukai.


Memperkaya Kebudayaan, Kesenian dan Warisan

Malaysia kaya dengan budaya, seni dan warisan yang harus dihayati semua rakyat. Sejumlah RM733 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program kebudayaan, kesenian dan warisan. Di antara program yang akan dilaksanakan adalah untuk menaik taraf Perpustakaan Negara, program latihan serta khidmat nasihat kesenian dan kebudayaan di bawah Skim Penajaan Seni Budaya. Selain itu, peruntukan juga disediakan kepada FINAS serta Muzium Tekstil Negara.


Peranan Penting Perkhidmatan Awam

Kerajaan menghargai peranan penting anggota perkhidmatan awam dan akan terus memberi perhatian kepada prestasi dan kebajikan kakitangan awam. Saya telah mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak 7.5 peratus hingga 42 peratus di samping penambahan COLA. Ini membabitkan tambahan perbelanjaan RM8 bilion setahun. Saya yakin kenaikan gaji dan elaun ini akan mendorong kakitangan awam untuk mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja.

Dalam konteks globalisasi, usaha meningkatkan tahap prestasi perkhidmatan awam adalah kritikal untuk mengekalkan daya saing negara. Kerajaan telah berjaya dalam mentransformasikan GLC untuk mengamalkan budaya prestasi tinggi, termasuk penggunaan sistem indeks prestasi utama (KPI). Berikutan daripada kejayaan transformasi ini, sudah tiba masanya amalan terbaik dan budaya prestasi tinggi diguna pakai untuk meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan awam.

Sebagai permulaan, Ketua Setiausaha semua kementerian dan Ketua Perkhidmatan akan ditawarkan skim kontrak selama tiga tahun, serta prestasi mereka akan diberi ganjaran berasaskan KPI. Kontrak ini ditawarkan kepada pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik dan pegawai perkhidmatan berkaitan yang sedang berkhidmat.

Di samping memastikan perkhidmatan cemerlang, tempoh kontrak selama tiga tahun akan memberi masa yang mencukupi untuk mereka merancang dan melaksanakan pelan dan projek dengan efektif. Skim ini akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2008. Saya yakin rakyat akan mendapat manfaat hasil daripada peningkatan keberkesanan perkhidmatan Kerajaan ini.

Untuk melicinkan urusan pentadbiran, Kerajaan telah melantik pegawai-pegawai Gred 41 secara kontrak untuk mengisi kekosongan jawatan. Adalah didapati bahawa ramai daripada pegawai ini menunjukkan prestasi kerja yang tinggi dan sesuai untuk dilantik secara tetap. Oleh itu, pegawai kontrak yang berprestasi tinggi yang diperakukan oleh ketua jabatan akan diberi keutamaan untuk diserap ke dalam perkhidmatan awam.

PERUNTUKAN BAJET 2008

Perbelanjaan kerajaan akan terus ditumpukan kepada membina kapasiti untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan melalui penyediaan infrastruktur, kemudahan awam, pendidikan, dan perkhidmatan sosial, termasuk kesihatan serta kebajikan rakyat. Dengan strategi dan program yang telah saya bentangkan, saya mencadangkan, sejumlah RM176.9 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2008, iaitu 10.9 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan tahun 2007. Daripada jumlah ini, RM128.8 bilion adalah bagi Peruntukan Mengurus, manakala RM48.1 bilion disediakan bagi Peruntukan Pembangunan.

Di bawah Peruntukan Mengurus, RM64 bilion atau 49.6 peratus adalah bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM36.2 bilion untuk Emolumen, RM25.5 bilion bagi Perkhidmatan dan Bekalan, RM2.1 bilion untuk Pembelian Aset dan RM1.13 bilion untuk perbelanjaan lain.

Bagi Peruntukan Pembangunan, bahagian terbesar RM20.6 bilion ialah untuk sektor ekonomi yang terdiri daripada sektor pertanian, perindustrian dan infrastruktur. Sejumlah RM15.6 bilion ringgit diperuntukkan kepada sektor sosial iaitu pendidikan, kesihatan dan perumahan. Sektor keselamatan menerima tujuh bilion ringgit sementara pentadbiran RM2.9 bilion serta Simpanan Luar Jangka sebanyak RM2 bilion.

Matlamat Kerajaan adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi berterusan dan pada masa yang sama mengurangkan defisit fiskal secara progresif. Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan telah dapat dikurangkan dengan ketara daripada 5.5 peratus pada tahun 2000 kepada 3.3 peratus daripada KDNK pada 2006.

Pada 2007, defisit dijangka terus dikurangkan kepada 3.2 peratus. Dalam hal ini, Kerajaan akan terus meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam pungutan hasil, dan pada masa sama, memastikan pengurusan perbelanjaan secara berhemat. Kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan diunjurkan lebih baik dengan defisit dikurangkan lagi kepada paras 3.1 peratus pada tahun 2008.

PROSPEK EKONOMI

Persekitaran ekonomi dunia dan serantau dijangka lebih mencabar dan tidak menentu. Walaupun demikian, dengan dasar dan strategi Bajet 2008, Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara akan terus kukuh, dengan kadar peningkatan di antara 6 hingga 6.5 peratus pada 2008.

Pertumbuhan ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta serta penggunaan awam. Pelaburan swasta dijangka berkembang 9.5 peratus manakala penggunaan swasta pada kadar 7.9 peratus. Sementara itu, pendapatan perkapita dijangka meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM23,864 dan dari segi pariti kuasa beli bersamaan AS$14,206.

Sektor perkhidmatan dijangka berkembang 8.6 peratus, dipacu oleh aktiviti pelancongan, pengangkutan, kewangan dan perbankan, hartanah, pendidikan, kesihatan serta ICT. Pemulihan permintaan bagi keluaran elektrik dan elektronik dijangka dapat memberi sumbangan kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada kadar 3.8 peratus.

Sektor pembinaan, termasuk pembangunan hartanah, akan berkembang lebih cergas pada kadar 6.3 peratus berikutan peningkatan aktiviti kejuruteraan awam, hasil pelaksanaan projek Rancangan Malaysia Kesembilan. Sektor pertanian dijangka meningkat 3.5 peratus berikutan penekanan yang diberi kepada pengkomersilan sektor perladangan dan ternakan.

Sesungguhnya, kita harus bersyukur dengan pencapaian pembangunan negara. Dengan usaha gigih dan permuafakatan pemimpin serta rakyat, Malaysia telah berjaya melangkah jauh, mencapai pembangunan pesat dan holistik dalam tempoh lima dekad. Pembangunan yang telah dicapai merangkumi pembinaan kapasiti melalui pelaburan dalam infrastruktur fizikal, pendidikan dan latihan serta kemudahan awam.

Falsafah pembangunan kita yang menekankan pertumbuhan dengan pengagihan telah membolehkan semua rakyat bersama meraih manfaat daripada perkembangan pesat ekonomi negara.

Dengan landasan kukuh yang telah kita bina, kita yakin dapat mencipta kejayaan lebih besar ke arah mencapai Misi Nasional. Apabila Malaysia mencapai Wawasan 2020 dan menjadi sebuah negara maju, ia akan menjadi satu lagi detik gemilang dalam sejarah pembangunan negara.

Marilah kita berdoa agar sentiasa diberi petunjuk dan hidayat Allah SWT dalam terus membina negara dan bersama menikmati kemakmuran di tahun-tahun akan datang.