Wednesday, August 22, 2007

Anak Melayu kena kuasai ilmu untuk kekal bangsa dominan

LAUNGAN keramat ‘Merdeka, Merdeka, Merdeka’ oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, pemimpin Melayu pertama yang mendaulatkan kemerdekaan yang berkumandang di Stadium Merdeka, pada 31 Ogos 1957 adalah titik bermulanya negara tercinta diperintah dan ditadbir sendiri rakyat negara ini.

Kita harus bersyukur kerana sudah bebas daripada belenggu penjajah sejak 50 tahun lalu dan setiap rakyat Malaysia perlu ada nilai keinsafan dan patriotisme yang signifikan pada diri.

Justeru, kita amat kecewa dan tersinggung dengan tindakan pelajar Malaysia di Taiwan, Wee Meng Chee yang menghina lagu Negaraku menerusi klip video ciptaannya. Beliau adalah rakyat Malaysia yang tidak menghargai kebebasan diberikan kerajaan dan tidak berterima kasih serta tipisnya semangat patriotik.

Kita amat menyokong supaya kerajaan mengambil tindakan undang-undang tegas sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya sentiasa menjaga maruah negara, tambahan pula kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50 tidak lama lagi.

Berkat kejayaan kepemimpinan terdahulu dan diperkasa pemerintahan sekarang, kita bersyukur kerana dapat hidup aman dan makmur dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan keturunan yang berkongsi hidup dalam berbagai aspek seperti sosial, politik dan ekonomi yang membawa kemajuan kepada pembangunan negara.

Bangsa Melayu sendiri memainkan peranan penting dalam pengisian kemerdekaan pelbagai bidang dalam berbagai-bagai peringkat daripada golongan petani hingga lahirnya ahli profesional dan korporat Melayu yang berjaya. Namun, masih ada ruang dan peluang meningkatkan kepentingan orang Melayu demi maruah dan survival bangsa Melayu untuk 100 tahun akan datang.

Pepatah ‘Tak akan hilang Melayu di dunia’ sangat sinonim dengan kita. Bangsa Melayu mungkin tidak hilang, tetapi maruah dan martabatnya bagaimana? Selangor yang mencapai status negeri maju pada 2005 diharap menjadi landasan dan model terbaik agar semua negeri di negara ini mencapai status itu menjelang 2020.

Pencapaian status negeri maju berkait rapat dengan kemajuan sosial dan ekonomi iaitu perindustrian, pemodenan pertanian, pelaburan asing, pembasmian kemiskinan, setinggan sifar dan pembangunan manusia itu sendiri. Kemajuan ini memberi manfaat kepada rakyat dari segi sosial, ekonomi dan politik.

Kemajuan diimpikan ini amat wajar sekali seiring dengan kemajuan bangsa Melayu sendiri. Keadaan ekonomi, sosial dan pendidikan Bumiputera masih jauh berbanding kaum lain. Umpamanya pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat pada 2002 hanya sekitar 18.7 peratus, masih jauh daripada 30 peratus yang disasarkan dalam DEB.

Oleh itu, DEB mesti diperkasa semula dalam bentuk baru supaya melahirkan pertumbuhan ekonomi yang dapat dikongsi secara berkesan oleh semua kaum. Isu ketirisan sama ada dilakukan secara sengaja atau sistematik perlu dihindarkan secara meyakinkan. Bagi pemilikan premis perniagaan di bandar, Bumiputera hanya memiliki 11.6 peratus, sedangkan kaum lain seperti Cina memiliki 71.9 peratus. Begitu juga pencapaian akademi di sekolah dan universiti, pelajar Bumiputera masih jauh di belakang.

Kini, Melayu memegang kuasa politik yang menentukan dasar pemerintahan. Tetapi, kita mesti menambah kekuatan politik ini dan pastikan hak dan keistimewaan Melayu terpelihara dalam apa juga segi dan pastikan segala dasar yang diluluskan dilaksanakan pegawai pelaksana secara berkesan. Sewajarnya orang Melayu juga yang lebih maju dalam semua segi berbanding kaum lain.

Produk yang dihasilkan daripada institusi pengajian tinggi sekarang tidak memenuhi pasaran pekerjaan dan tidak memenuhi semangat kemerdekaan. Kita ada puluhan ribu siswazah menganggur, tetapi bekerja di kilang atau kompleks beli-belah. Pembangunan modal insan di kalangan anak Melayu patut menjadi perhatian secara total.

Kita perlu cepat mengkaji sejauh mana orang Melayu mampu menguasai kebolehan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Inilah asas kepada k-ekonomi yang sering kita perkatakan. Inilah trend dunia sekarang ini yang perlu di pelajari dan dikuasai. Bangsa Melayu perlu mengambil iktibar bagaimana bangsa lain di dunia seperti Jepun, China dan Korea mengisi kemerdekaan secara bermaruah dengan kemajuan yang dicapai hasil usaha gigih, semangat kental, kesanggupan meneroka ilmu teknologi canggih, berani bersaing dan semangat patriotisme yang tinggi pada diri.

Kita perlu menekankan pentingnya Melayu meneruskan tradisi menuntut ilmu jika mahu kekal sebagai bangsa yang dominan di negara ini. Orang Melayu juga perlu melakukan sesuatu secara bersungguh-sungguh serta berterusan dan tidak mengambil jalan pintas mendapat kesenangan. Untuk menjadi bangsa dominan, orang Melayu mesti mengamalkan Islam sebagai Addin.

Oleh Takril Yasuki - Yang Dipertua Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS)

No comments: