Wednesday, August 29, 2007

Bumiputera perlu kuasai 65 peratus ekonomi negara

Oleh Maznah Mohd. Arsad

JOHOR BAHRU 28 Ogos – Masyarakat bumiputera perlu menguasai 65 peratus ekonomi negara dan tidak sekadar 30 peratus agar setanding dengan bangsa lain di peringkat antarabangsa.

Ketua Eksekutif Johor Corporation, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, peratusan itu wajar memandangkan bangsa itu merupakan 65 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini.

‘‘Tiada makna bagi sesuatu bangsa itu jika hanya menguasai dari segi jumlah terbanyak tetapi dari segi penguasaan ekonomi, mereka masih berada di tangga terbawah.

‘‘Bagi mencapai matlamat itu kita kena berusaha dengan tulang empat kerat dan bukan cara meminta-meminta,” katanya.

Muhammad Ali berkata, sebelum ini 30 peratus yang dilaungkan-laungkan diperoleh menerusi kaedah subsidi, meminta bantuan dan sokongan dari pihak-pihak berkuasa.

Beliau berkata demikian ketika ebrucap menutup rasmi Program Medaniaga Kelab Bisnes dan Industri Johor (Bistari) 2007 di perkarangan Plaza Kota Raya di sini semalam.

Turut hadir Penyelia Kelab dan Persatuan Unit Ko Kurikulum Jabatan Pelajaran Johor, Azman Ansar dan Pengurus Besar Bisnes Amal Johor Corporation, Azizah Ahmad.

Kata Muhammad Ali, sesungguh Bistari akan membantu untuk mencapai matlamat penguasaan ekonomi 65 peratus oleh bumiputera.

‘‘Untuk itu saya menyeru masyarakat bumiputera, jika hendak maju tidak perlu bergantung sepenuhnya dengan makan gaji, sebaliknya perlu bijak melabur, menyimpan dan menabung.

‘‘Kalau konsep ini kita amalkan kita boleh melepaskan diri daripada ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,’ sebaliknya kita boleh ‘kais pagi kenyang setahun, kais petang kenyang untuk 10 tahun,” katanya.

Sehubungan ini beliau memberitahu, penyertaan Medaniaga Bistari 2007 amat menggalakkan di mana jumlah keseluruhan kutipan jualan yang berjaya dipungut sepanjang program berlangsung adalah RM17,129.30 sen yang berlangsung mulai Jumaat lalu.

Sementara itu Anugerah Gerai Terbaik dimenangi oleh Syarikat TFNRT dari sekolah Tun Fatimah, manakala Anugerah Produk Kreatif dimenangi Syarikat Smart Arena dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Utara dan Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik dimenangi oleh Syarikat Smartech Segamat dari Sekolah Menengah Teknik Segamat.

No comments: