Friday, August 24, 2007

Lelaki punca ramai jadi andartu

UMUM perlu mengetahui bahawa antara punca wanita tidak berkahwin bukanlah kerana mereka lebih selesa hidup bersendirian daripada menanggung risiko dalam perkahwinan tetapi disebabkan tidak ramai lelaki yang layak dijadikan suami.

Sudahnya, suami orang juga yang diintai, lebih-lebih lagi suami misali, kerana mereka tentunya memikat hati banyak wanita.

Fenomena pelajar perempuan menguasai institut pengajian tinggi (IPT) yang dikhuatiri akan mewujudkan semakin ramai golongan wanita yang enggan berkahwin atau andartu hanyalah satu keputusan daripada tinjauan awal sahaja.

Ini kerana wanita yang menghayati agama tidak menilai calon suami dari perspektif tahap pendidikan atau gaji yang lumayan, tetapi lebih kepada sikap bertanggungjawab, penyayang dan komitmen mereka terhadap keluarga yang bakal dibina.

Ramai wanita yang berpendidikan tinggi tidak kisah berkahwin dengan pemandu ambulans, mekanik, waima penjaga stor. Tambahan pula masyarakat pintar hari ini tidak memandang serong pasangan yang sebegini, melainkan mereka mempunyai nilai sahsiah yang rendah dan memalukan.

Malah, wanita yang bersuami, secara automatik dipandang mulia dan mereka sendiri mempunyai keyakinan diri yang tinggi berbanding wanita tidak bersuami.

Yang merisaukan ramai wanita andartu ialah, masa berlalu, tetapi mereka tetap tidak mempunyai calon yang sesuai dan memahami diri mereka, dalam masa yang sama mereka juga takut untuk tangkap muat, bimbang kalau menyesal di kemudian hari.

Soal kebijaksanaan wanita hari ini yang memungkinkan penyebab kepada lambat kahwin tidak perlu diperbesarkan kerana ia bukanlah punca wanita tidak berkahwin.

Yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana memperkasakan sahsiah dan pendidikan kepada modal insan lelaki supaya seimbang dengan keperluan negara setelah menikmati 50 tahun kemerdekaan.

Sudah sampai masanya kebajikan lelaki diberi perhatian untuk mempertahankan kedudukan mereka yang sepatutnya lebih tinggi daripada wanita kerana mereka merupakan penghulu dalam kepimpinan negara mahupun rumah tangga.

Kalaupun ada saranan yang mengatakan lelaki sebagai suri rumah adalah sesuatu yang sihat, ia tidak menjamin bahawa suami akan menjadi suri rumah yang cemerlang.

Jangan pula suatu hari kelak nikah misyar difatwakan harus hanya kerana suami di era globalisasi tidak mampu memberi nafkah zahir kepada anak dan isteri.

Bukankah dalam Islam suami sebagai pemimpin isteri dan anak-anak, bagaimana pula sebagai suri rumah tangga, suami kena menguruskan keperluan isteri yang bekerja dan anak yang bersekolah?

Aspek pendidikan, pekerjaan, sosial, ekonomi dan politik kepada kaum lelaki perlu diperkasa supaya mereka tidak selamanya dipinggir oleh sikap mereka sendiri.

Walaupun hakikatnya tidak semua, tetapi perhatian yang serius terhadap usaha ini perlu dimulakan kerana kerendahan sahsiah akan mengakibatkan bukan sahaja wanita tidak berkahwin, tetapi juga kesan yang besar kepada pembangunan negara dan agama.


– NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH,

Universiti Sains Islam Malaysia.

No comments: