Monday, August 6, 2007

Lelaki sindrom klinefelter miliki ciri kewanitaan

Oleh Hafizah Iszahanid

Peratusan dapat anak rendah walaupun pesakit lakukan suntikan sperma intracytoplasmic
MANUSIA mempunyai 46 kromosom yang mengandungi semua gen dan DNA individu. Dua daripada kromosom ini ialah kromosom seks menentukan jantina.

Kromosom seks dimiliki wanita dinamakan kromosom X (XX) manakala lelaki pula kromosom X dan Y (XY). Kedua-dua kromosom seks ini membantu seseorang membentuk kesuburan dan sifat seksual mengikut jantina.Bagaimanapun, bagi lelaki, jika berlaku tambahan kromosom ia menunjukkan berlaku masalah gangguan genetik. Dalam bahasa perubatan, masalah itu disebut sebagai sindrom klinefelter, bermaksud lelaki dengan satu atau lebih kromosom X.

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Ketidaksuburan, Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Zamri Abdul Rahim, berkata tambahan kromosom seks ini berpunca daripada kesilapan rawak pembentukan telur atau sperma.Beliau berkata, selalunya separuh daripada kesilapan itu berpunca daripada pembentukan sperma manakala bakinya adalah kesilapan dalam pembentukan telur.“Tidak ada statistik khusus mengenai masalah sindrom klinefelter di Malaysia tetapi mengikut perangkaan di Amerika Syarikat, ia terjadi dalam 0.1 peratus populasi lelaki,” katanya.Dalam bahasa mudah, sindrom klinefelter bermaksud masalah lelaki yang memiliki ciri-ciri wanita. Tambahan kromosom X pada lelaki menyebabkan kesilapan dalam proses pengasingan sel yang menghasilkan sperma atau telur.Beliau berkata, kerap kali lelaki terbabit hanya tahu dia berhadapan dengan sindrom klinefelter apabila berumahtangga dan gagal memperoleh cahaya mata. “Ada juga kes, pesakit tahu mengenainya ketika remaja disebabkan dia tidak ‘membesar’ atau mencapai akil baligh seperti kebanyakan rakan seusia.“Begitupun, jangan salah faham, lelaki sindrom klinefelter tidak lembut. Dia lelaki biasa, tetapi dia memiliki ciri-ciri seperti wanita misalnya bentuk badan, kakinya panjang, ada payu dara, tiada rambut pada bahagian tertentu seperti lelaki lain, misalnya di ketiak,” katanya.Beliau berkata, antara simptom sindrom klinefelter yang utama ialah lelaki itu tidak subur. Dia tidak ada sperma, tetapi bukan semua lelaki yang tidak ada sperma berhadapan dengan sindrom klinefelter.Dr Zamri berkata, kadangkala pesakit turut berhadapan dengan masalah lain seperti jantung berlubang. Selain itu, dia juga berisiko terhadap masalah yang cenderung menyerang wanita seperti lupus.“Dari segi seksualiti, dia masih berminat dengan perempuan. Ini dibuktikan dengan ada pesakit yang berkahwin. Dia bertuah kerana isteri menerima keadaannya dan bersetuju mengambil anak angkat, tetapi ada juga kes, isteri meminta untuk berpisah kerana suami tidak mampu memberi cahaya mata,” katanya.Katanya, minat atau kecenderungan seseorang itu kepada lelaki atau perempuan bukan disebabkan masalah penyakit seperti sindrom klinefelter, sebaliknya cara seseorang itu dibesarkan atau persekitarannya.“Perlu dijelaskan, pesakit sindrom klinefelter tidak lembut atau berkeinginan sesama lelaki. Mereka lelaki biasa cuma bermasalah kerana lebihan hormon perempuan. Lelaki yang lembut itu pula kadangkala mereka lebih jantan daripada lelaki lain kalau dibuat ujian hormon,” katanya.otensi menjadi transeksual?“Ada sedikit potensi untuk pesakit mengubah jantinanya. Ini kerana dia tidak pasti adakah dia lelaki atau perempuan,” katanya.Beliau berkata, setakat ini tiada rawatan yang boleh memulihkan sperma. Biasanya, rawatan yang diberi adalah suntikan hormon lelaki. Ia membantu dari segi pembinaan otot dan sifat kelelakian lain seperti libido tetapi tidak untuk sperma.“Pesakit memang sukar untuk mendapat anak. Kalau buat suntikan sperma ICSI (intracytoplasmic sperm injection), peratusan untuk berjaya sangat kurang. Biasanya saya tidak galakkan mereka mencuba untuk rawatan seperti itu kerana mereka akan berhabisan wang ratusan ribu ringgit dengan potensi mendapat anak yang sangat sedikit,” katanya.Justeru, katanya bagi lelaki sindrom klinefilter yang ingin memiliki cahaya mata, selalunya langkah terbaik ialah mengambil anak angkat.Di sesetengah pusat perubatan swasta di Malaysia, ia satu ‘open secret’ apabila mereka yang berhadapan masalah itu dan masalah sperma mengambil sperma daripada penderma untuk mendapatkan anak.Dengan kadar bayaran tertentu, pasangan boleh memilih sperma terbaik berdasarkan profil penderma. Di Malaysia, tiada undang-undang khusus mengenainya. Justeru, ia popular di kalangan pasangan yang gagal mendapat cahaya mata secara normal.Dalam kes ini, katanya soal etika, moral dan pelaksanaannya perlu diberi penekanan kerana ada antara penderma dan penerima yang saling mengenali sekali gus menimbulkan perkara berbangkit.SimptomDr Zamri berkata, kebanyakan lelaki sindrom klinefelter tidak memiliki simptom yang boleh dilihat secara fizikal, iaitu tiada simptom emosi atau tanda mental.Bagaimanapun, jika ada, ia berbeza daripada seorang lelaki dengan lelaki lain bergantung kepada jumlah lebihan kromosom X dan berapa banyak sel badan yang terjejas. Katanya, lelaki lebih daripada satu kromosom X selalunya memiliki simptom yang lebih teruk.“Sesetengah lelaki dengan sindrom klinefelter tidak membentuk sifat kelelakian yang sempurna misalnya daripada segi suara dan rambut pada tubuh badan. Mereka juga berhadapan dengan masalah lain misalnya daripada segi sikap atau emosi. Mereka juga mungkin kurang dari segi pencapaian intelek,” katanya. Antara simptom yang boleh dikaitkan dengan sindrom klinefelter ialah:
memiliki payu dara
potongan badan yang luar biasa (kaki panjang dan pinggang pendek)
kurang bijak
disfungsi seksual
saiz kemaluan yang lebih kecil berbanding lelaki lain yang seusia.DiagnosSelalunya, lelaki dengan sindrom klinefelter akan menyedari mereka bermasalah apabila gagal mendapat anak. Doktor akan melakukan diagnos dengan melihat sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal dan ujian analisis kromosom. Sesetengah pakar perubatan percaya, wanita yang hamil selepas 35 tahun memiliki risiko melahirkan bayi dengan sindrom klinefelter.FAKTA: Sindrom klinefelter
Masalah gangguan genetik yang menjejaskan lelaki.
Sindrom klinefelter bermaksud lelaki memiliki satu atau lebih kromosom X.
Dalam kes yang jarang berlaku, ada lelaki sindrom klinefelter yang memiliki tiga atau empat kromosom X atau satu atau lebih kromosom Y.
Kebanyakan lelaki dengan lebihan kromosom X tidak menyedarinya dan menjalani kehidupan yang normal.
Lelaki dengan sindrom klinefelter disebut juga sebagai lelaki XXY atau lelaki dengan sindrom XXY.
Ia terjadi pada seorang dalam 500 lelaki hingga 1,000 lelaki.



2 comments:

CS said...

"Selalunya, lelaki dengan sindrom klinefelter akan menyedari mereka bermasalah apabila gagal mendapat anak."

Betul sangat - sangat... samalah seperti kes diri saya sendiri. Hanya pada umur 35 (setelah 4 tahun berkahwin & gagal mendapatkan anak) saya didiagnos menghadapi Klinefelter 47,XXY.

Teringin hendak mencari lelaki Malaysia lain senasib dengan saya.

Unknown said...

bro..bentuk badan macm mna?payu dara besar?