Friday, August 31, 2007

Meniti Arus: Ke arah penjanaan modal insan holistik

Dua pelan perkasa pengajian tinggi tidak belakangkan Dasar Pelajaran Kebangsaan

APABILA Datuk Mustapa Mohamed dipindahkan ke Kementerian Pengajian Tinggi dalam rombakan Kabinet pada 21 Februari 2006, ramai pihak berharap beliau akan berbuat sesuatu untuk memperkasakan sistem pengajian tinggi negara selaras tuntutan globalisasi masa kini.

Hakikat yang cukup menggusarkan beliau tatkala itu ialah kritikan orang ramai terhadap kementerian berkenaan terutama setiap kali keputusan permohonan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam diumumkan.


Ada saja pihak, termasuk ibu bapa tidak puas hati dengan pemilihan pelajar yang berjaya walaupun pelbagai kaedah diperkenalkan untuk menjamin ketelusan. Ini termasuk pemilihan berdasarkan kepada merit yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu.

Di samping itu, masalah lambakan siswazah menganggur yang heboh dibincangkan satu masa dulu juga dikaitkan dengan mutu pengajaran, kursus yang ditawarkan dan bermacam-macam lagi kelemahan yang sebahagian besarnya dikatakan berpunca daripada universiti tempatan.

Mustapa cukup arif dengan masalah seperti itu kerana beliau banyak menerima aduan dan berbincang mengenainya sebelum itu ketika mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara atau ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga bertanggungjawab terhadap MTEN.

Jadi, apabila beliau dimaklumkan untuk berpindah ke kementerian baru, reaksi beliau bercampur baur antara gembira dan risau.

Ketika itu, beliau sendiri memberitahu penulis bahawa beliau gembira kerana menganggap perpindahannya ke kementerian itu sebagai kenaikan pangkat, tetapi bimbang dan risau jika beliau tidak dapat memenuhi harapan rakyat yang begitu tinggi.

Bagaimanapun, beliau menerima keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu sebagai satu cabaran dan berazam untuk membuat yang terbaik melalui amanah yang diberikan.

Hari ini, selepas hampir satu setengah tahun memimpin kementerian berkenaan, nyatalah bahawa Mustapa berjaya menyahut cabaran itu dan tidak menghampakan harapan ramai, terutama di kalangan warga pendidikan.

Beberapa bulan saja selepas mengetuai kementerian itu, beliau menjenamakan semula kolej komuniti, meningkatkan nilai biasiswa dan pinjaman pelajaran untuk mahasiswa di dalam dan luar negara yang sebelum itu sering mengeluh kerana menghadapi masalah kenaikan kos sara hidup serta menaikkan taraf kolej universiti kepada universiti penuh.

Penjenamaan semula kolej komuniti membolehkan institusi berkenaan menawarkan kursus tertentu pada peringkat diploma di samping kursus pada peringkat sijil yang biasa.

Kemuncak kepada pembaharuan yang dibawa Mustapa terserlah awal minggu ini dengan pengumuman satu rancangan jangka panjang mengenai hala tuju pendidikan tinggi negara yang dinamakan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.

Pelan itu, hasil daripada perbincangan dan rundingan berbulan-bulan serta sesi percambahan fikiran dengan pelbagai ‘stake holders’ dalam industri berkenaan dilancarkan Perdana Menteri, Isnin lalu.

Ia bertujuan mempertingkatkan pembangunan modal insan dengan memperkasa pengajian tinggi untuk kepentingan pembangunan negara dan memartabatkannya di persada nasional dan antarabangsa menjelang 2020 dan selepas itu apabila Malaysia dijadualkan mencapai status negara maju.

Turut dilancarkan ialah Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Negara yang menggariskan langkah spesifik yang akan diambil untuk memulakan transformasi pendidikan tinggi mulai sekarang hingga ke penghujung Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada 2010.

Butir-butir lanjut mengenai kedua-dua pelan itu sudah banyak dibincangkan dalam media. Ruangan ini cuma ingin menyentuh satu dua perkara yang mungkin boleh disalah tafsir oleh pihak tertentu, terutama oleh mereka yang tidak memahami kepentingan jangka panjang untuk negara dan rakyat keseluruhannya.

Pertama berhubung cadangan mewujudkan universiti apex dan pemberian kuasa autonomi kepada universiti itu dan universiti awam lain secara berperingkat.

Sudah ada desas-desus kononnya kerajaan akan membelakangkan semangat Dasar Pelajaran Kebangsaan dan hilang kawalan apabila universiti awam memiliki autonomi lebih luas.

Turut dibimbangkan ialah penggunaan bahasa Inggeris yang meluas sehingga mengabaikan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di universiti. Ini dibimbangi akan menjejaskan prestasi mahasiswa luar bandar yang rata-rata penguasaan bahasa Inggeris mereka lemah.

Juga dipersoalkan ialah cadangan pengambilan tenaga pengajar luar negara dan kemasukan lebih ramai pelajar asing.

Perlu diingat bahawa semua kebimbangan ini sudah diambil kira oleh kementerian dalam merangka kedua-dua pelan itu.

Sebagai contoh, universiti apex yang dicadangkan itu hanya terhad kepada satu atau dua universiti awam saja. Cuma universiti berkenaan saja dijangka mengambil ramai tenaga pengajar asing dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Oleh yang demikian, universiti awam yang lain tidak akan terjejas.

Mengenai kemungkinan hilang kawalan apabila kuasa pentadbiran universiti dipindahkan kepada Lembaga Pengarah, perlu diingat bahawa lembaga pengarah universiti yang bakal diwujudkan nanti tetap disertai wakil kerajaan.

Malah, pada peringkat peralihan, Kementerian Pendidikan Tinggi akan tetap menjalankan pemantauan untuk membantu IPTA menentukan pencapaian matlamat dan misi masing-masing.

Perlu diingat bahawa antara fokus yang ditekankan di bawah RMK-9 ialah peningkatan modal insan yang yang mempunyai mentaliti kelas pertama. Dalam hubungan ini, transformasi pendidikan tinggi negara yang cuba dicapai oleh kedua-dua pelan itu bertujuan untuk melahirkan modal insan yang holistik dan aktif dari segi intelek, kreatif serta inovatif, bijak berkomunikasi, boleh menyesuaikan diri dalam sebarang keadaan dan mampu berfikir secara kritis.

Contoh modal insan yang mahu dibangunkan juga hendaklah serba boleh, bermoral tinggi dan menghargai seni, budaya, sukan serta kerja sukarela.

Kecuali Malaysia memiliki jumlah individu begini yang ramai, kemampuan negara bersaing pada peringkat antarabangsa pada masa depan akan terjejas kerana negara jiran lain sudah lama mengorak langkah yang sama. Untuk melahirkan modal insan begini, universiti dan institusi pengajian tinggi yang lain memainkan peranan yang cukup kritikal. Inilah lonjakan yang cuba dicetus kedua-dua pelan pengajian tinggi yang baru dilancarkan itu.

Usaha selanjutnya ialah untuk semua pihak terbabit memastikan setiap strategi yang digariskan dalam pelan tersebut dilaksanakan dengan jayanya. Bagaimanapun, pelan yang tersusun kemas ini tidak akan membawa apa-apa makna jika ia tidak dilaksanakan dengan berkesan.

Penulis adalah bekas Ketua Pengarang Bernama dan pernah menjadi Ahli Parlimen, adalah Penasihat Direktorat Pelaksanaan Negara.

No comments: