Wednesday, August 8, 2007

Minda Lestari: Buku sebagai pembimbing, pembuka minda

Bersama Prof Dr Zaini Ujang

KETIKA di bangku sekolah, guru sering berpesan menjadikan buku teman hidup. Membaca dan menghargai buku sifat orang bijaksana. Membaca itu kunci ilmu. Pada awalnya saya tidak faham maksud dan hikmah pesanan itu.Ketika berusia 13 tahun, bermulalah lembaran baru dalam hidup saya. Ketika majlis anugerah pelajar, saya dihadiahkan enam buku tebal kerana menjadi pelajar terbaik bagi enam mata pelajaran Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kem Terendak, Melaka. Buku itu menjinakkan saya untuk membaca, mengumpul, bahkan menulis buku.

Antara buku itu berjudul Puisi Melayu Moden. Buku itu saya baca berulang-kali. Saya belum meminati puisi kerana saya lebih berminat matematik dan menjadikan buku latihan matematik seperti buku ‘silang kata’. Buku puisi saya baca kerana saya tidak memiliki banyak buku lain.Novel Saga karya A Talib Hassan dan Arca Berdiri Senja, karya Baharuddin CD, misalnya saya baca lebih lima kali selepas diperkenalkan Allahyarham Cikgu Abdul Rahman, guru bahasa sekali gus guru disiplin ketika saya Tingkatan Empat. Tulisan Noor Azam dalam kumpulan eseinya Perspektif di Dewan Masyarakat pula menjadi asas saya berjinak-jinak menulis esei.

Buku bahasa Inggeris saya baca dengan tekun hanya selepas memasuki universiti. Novel Sidney Sheldon, Jeffrey Archer dan John le Carre adalah pilihan saya. Ketika itulah beberapa pensyarah dan kenalan memperkenalkan saya kepada buku falsafah dan pemikiran Seyyed Hossein Nasr, Idries Shah, Edward de Bono dan Paul Davies. Seorang teman mengusik bahawa novel Sheldon, Archer dan le Carre itu untuk bacaan kanak-kanak! Usikan itu mendorong saya lebih banyak membaca bahan ‘orang dewasa’ khususnya berkaitan falsafah dan novel serius seperti tulisan Kazuo Ishiguro dan Paulo Coelho.Buku falsafah dan politik juga menarik minat saya. Nasr misalnya, begitu kritis terhadap asas pemikiran pembangunan dalam konteks moden. Buku beliau paling sukar untuk saya baca buat kali pertama ialah Man and Nature (1968) membuka minda mengkaji hubung kait kejadian manusia dan peranan menguruskan sumber alam. Pada hemat saya, tulisan Nasr itu juga menyediakan kerangka falsafah dari perspektif Islam terhadap persoalan kontemporari di Barat ketika itu yang tercetus menerusi makalah Profesor Lynn White berjudul The Historical Roots of Our Ecological Crisis. Makalah yang tersiar dalam jurnal Science (1967:1203-7) itu mencetuskan polemik hangat di kalangan pembuat dasar, pemikir, ahli sains dan aktivis alam sekitar mengenai punca alam sekitar semakin tercemar. Ia juga susulan kepada buku The Silent Spring (1962) tulisan Rachel Carson yang mendedahkan pelbagai risiko alam sekitar daripada penggunaan bahan kimia dalam bidang pertanian, kegunaan domestik dan industri. Pada tahun berikutnya, bercambah pelbagai aliran pemikiran dan kaedah berfikir dalam konteks pelestarian alam sekitar. Sekumpulan saintis Massachusetts Institute of Technology (MIT) menerbitkan makalah berjudul The Limit to Growth pada 1972 dalam majalah The Ecologist. Makalah itu meramalkan jika arah pembangunan ketika itu diteruskan, sistem ekologi akan musnah menjelang akhir abad ke-21. Oleh itu satu sistem ekonomi dan pendidikan baru perlu dibangunkan supaya teknologi, kependudukan, pemakanan, sumber asli dan alam sekitar dapat dilestarikan. Banyak lagi tulisan lain mendapat perhatian di kalangan pembuat dasar dan tokoh pemikir. Antaranya, tulisan EF Schumacher berjudul Small is Beautiful (1973) dan karya JE Lovelock, Gaia (1979). Sejak kebelakangan ini, karya awal berkenaan menjadi asas pemikiran pelbagai gagasan baru, seperti laporan Suruhanjaya Dunia mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan, Our Common Future (1987) dan karya Al-Gore, An Inconvenient Truth (2006). Buku dan makalah itu saya baca selari keprihatinan dan komitmen saya terhadap pelestarian alam sekitar. Mujurlah bidang pengajian peringkat sarjana muda saya, iaitu kejuruteraan kimia berkait rapat dengan pengurusan alam sekitar. Hal ini memudahkan saya memahami, mengkaji dan terbabit dalam pengajian dan penyelidikan berkaitan aspek kejuruteraan alam sekitar dan pengurusan sumber air. Namun, membaca bahan khusus dalam bidang sumber air dan alam sekitar memang mudah menjemukan, apatah lagi dalam bidang sains dan kejuruteraan yang biasanya disulam pelbagai formula, model matematik dan lakaran graf yang sering kali menyebabkan kita hilang punca. Di sinilah perlu bahan bacaan ada nilai estetika dan puitis seperti puisi dan novel. Puisi Usman Awang, Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya saya hafal sejak lebih 20 tahun lalu seringkali saya deklamasikan sendirian.Begitu juga coretan Baha Zain dalam Bahasa Alam. Selain bahasanya indah, puisi berkenaan mengingatkan kita mengenai hakikat kehidupan. Baha Zain menulis: “Kehijauan adalah bahasa alam yang minta diabadikan; Tuhan Maha Pencipta dan manusia kecil dalamnya; Dialah Penyair yang melukiskan mendung dan warna …” Selepas lebih dua dekad meninggalkan alam persekolahan, pesan guru saya supaya menjadikan buku teman hidup, membaca dan menghargai buku masih segar. Ternyata, buku bukan saja menemani ketika sendirian, menghibur ketika kedukaan, membimbing ketika ketidakpastian, bahkan menyuluh ketika dalam kegelapan.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang adalah seorang pencinta dan pengumpul buku, penulis 14 buku, lebih 150 makalah akademik dan ribuan esei. Sehingga kini beliau masih belum menulis puisi

No comments: