Friday, August 3, 2007

NCER rangsang K-ekonomi

(Sumber: Berita Harian Online)

INISIATIF pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bukan saja akan meningkatkan lagi status ekonomi masyarakat luar bandar di empat negeri yang terbabit, malah turut memanfaatkan negara secara keseluruhannya.Ahli ekonomi berkata, ini lebih-lebih lagi dengan adanya cadangan untuk membina Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Biji Benih Negara di Perlis.
Sime Darby Bhd diberi mandat untuk membangunkan pusat berkenaan yang membabitkan pelaburan RM35 juta.Syarikat itu akan bekerjasama dengan China Academy of Agricultural Sciences, University of Beijing.
Ahli Ekonomi Kanan Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata, penubuhan pusat berkenaan akan membantu menambah bilangan pakar dalam bidang perladangan dan bioteknologi di negara ini, selain mempercepatkan misi Malaysia untuk beralih kepada ekonomi berasaskan pengetahuan (K-ekonomi).Beliau menegaskan, penubuhan pusat itu akan memberi limpahan kepada ekonomi negara khususnya sektor pertanian secara keseluruhan, dan tidak terhad kepada empat negeri yang termasuk dalam NCER iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.“Pembinaan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Biji Benih Negara itu akan mengurangkan import biji benih negara, yang ketika ini dianggarkan melebihi RM100 juta setahun.“Ia juga menyediakan petani di negeri lain di luar wilayah NCER dengan biji benih yang lebih baik pada harga dan mutu yang berdaya saing.“Ini sekali gus menyumbang kepada peningkatan nilai eksport pertanian dan ini adalah sejajar dengan visi Malaysia untuk menjadi pengeksport bersih makanan pada masa depan,” katanya.Pengurus Besar dan Ketua Ahli Ekonomi RAM Consultancy Services Sdn Bhd, Dr Yeah Kim Leng, juga melihat pembinaan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Biji Benih Negara, sebagai inti pati insentif pertanian dalam NCER yang tidak wajar dipandang remeh.Beliau berkata, pembinaan pusat itu akan mendorong kepada penggunaan teknologi baru seperti penyelidikan bioteknologi untuk menambah baik hasil khususnya bagi penghasilan tanaman untuk makanan.“Pusat itu mampu menjadi pusat kebangsaan yang mampu menyumbang kepada pengembangan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi negara.“Ini akan memberi manfaat kepada petani dan peladang di seluruh sekali gus membuka laluan kepada Malaysia mengeksport hasil pertanian pada masa depan,” katanya.Bagaimanapun Yeah berkata, aktiviti pusat penyelidikan itu tidak seharusnya hanya tertumpu kepada usaha menghasilkan penyelidikan asas tetapi juga meningkatkan produktiviti pertanian untuk tujuan komersial.

No comments: