Wednesday, August 29, 2007

Negara masih kurang pakar perubatan

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Kementerian Kesihatan sehingga kini masih mengalami kekurangan pakar perubatan dalam sembilan bidang, kata Setiausaha Parlimennya, Datuk Lee Kah Choon.

Bidang-bidang tersebut ialah radioterapi dan onkologi, neurologi, nefrologi, bedah kanak-kanak, tangan dan mikrosurgeri, bedah neuro, bedah urologi, bedah plastik serta kardiologi dan kardiothorasik.

Sehubungan itu, Kah Choon berkata, kementerian mengambil pelbagai langkah bagi mengatasi masalah itu.

Tambahnya, antara langkah yang dilaksanakan ialah melantik secara automatik pegawai perubatan atau pakar yang bersara wajib untuk berkhidmat semula dengan syarat mempunyai prestasi perkhidmatan cemerlang dan rekod kesihatan baik.

‘‘Kementerian juga meneruskan syarat perkhidmatan wajib selama tiga tahun dan menggunakan khidmat pegawai perubatan atau pakar swasta untuk bertugas di hospital kerajaan mengikut sesi.

‘‘Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menambahkan kuota pengambilan mahasiswa dalam bidang perubatan serta mewujudkan lebih banyak jawatan kenaikan pangkat bagi pegawai perubatan pakar,” katanya.

Kah Choon berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Suhaili Abdul Rahman (BN-Labuan) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

No comments: