Wednesday, August 29, 2007

Penguatkuasaan Akta Biofuel Nasional ditangguh





Peter Chin Fah Kui melancarkan gimik bagi buku Malaysian Palm Oil PIPOC 2007 sambil diperhatikan oleh Dr. S. Vijayaratnam dan Sabri Ahmad selepas perasmian Kongres Minyak Sawit Antarabangsa di Kuala Lumpur, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 28 Ogos – Kerajaan menangguhkan penguatkuasaan Akta Industri Biofuel Negara yang baru diluluskan berikutan kenaikan harga bahan mentah olein yang terlalu tinggi ketika ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, tarikh pelaksanaan akta tersebut perlu mengambil kira harga bahan mentah yang merupakan elemen utama biofuel, kecuali harga bahan mentah tersebut susut ke paras RM2,000 setan.

Harga bahan mentah olein pada masa ini adalah sekitar RM2,700 setan.

“Akta Biofuel Nasional telah diluluskan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Sekarang ini, ia menunggu tarikh penguatkuasaan daripada Kabinet.

“Kedudukan harga bahan mentah yang tinggi ketika ini termasuk olein, jika kita terus melaksanakan EnvoDiesel (B5 Blend), bermakna kita akan menjadikan harga diesel di peringkat pam lebih mahal,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Kongres Minyak Sawit Antarabangsa, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Parlimen kementerian berkenaan Dr. S. Vijayaratnam dan Pengurusi Lembaga Minyak Sawat Malaysia Datuk Sabri Ahmad.

Biofuel sawit atau EnvoDiesel adalah terdiri daripada adunan lima peratus minyak sawit bertapis dan 95 peratus minyak diesel (B5 Blend).

Pada peringkat ini, beliau tidak merasa penggunaan EnvoDiesel adalah wajar, kecuali kerajaan mahu memberi subsidi untuk menjadikan harganya di paras yang menarik, tambah beliau.

Menurut beliau, bagaimanapun kajian masih dijalankan dan faktor harga harus diambil kira sebelum akta itu dilaksanakan.

“Jika kita tahu B5 (EnvoDiesel) boleh digunakan tanpa merosakkan enjin atau secara teknikalnya ia boleh digunakan dan apabila harga bersesuaian (tidak membebankan pengguna), barulah ia (Akta Industri Biodiesel) dikuatkuasakan,” katanya.

“Kami tidak mahu mempunyai B5 hanya kerana negara-negara memiliki B5. Kami mahu memastikan bahawa B5 bukan sahaja memberi faedah kepada alam sekitar, tetapi turut memanfaatkan pengguna,” katanya.

No comments: