Friday, August 3, 2007

PM, TPM anggap VSS idea baik

KOTA BHARU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan cadangan memperkenalkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bagi ‘melepaskan’ kakitangan kerajaan yang bermasalah dan tidak berdisiplin sebagai idea yang baik bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam. Perdana Menteri berkata, pelaksanaan skim yang diamalkan sektor swasta itu, mampu mendorong kakitangan awam bekerja lebih kuat, selain membantu kerajaan menangani pekerja bermasalah.
Pada sidang media selepas melancarkan Pelan Pembangunan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampus Taman Bendahara dekat Pengkalan Chepa di sini, semalam, Abdullah berkata, beliau akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengenai cadangan itu.Kelmarin, Mohd Sidek membayangkan kerajaan akan memperkenalkan VSS bagi melepaskan kakitangan awam yang bermasalah dan tidak berdisiplin.
Mohd Sidek dilaporkan meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mengkaji kemungkinan menggunakan skim itu supaya kakitangan gagal menunjukkan prestasi sepatutnya, meninggalkan perkhidmatan awam.Perdana Menteri berkata, perkhidmatan awam sebenarnya sudah lama mempunyai peraturan untuk mengambil tindakan terhadap kakitangan yang dianggap tidak boleh lagi memberi sumbangan atau terlalu bermasalah.“Ada sebabnya seseorang itu boleh diberhentikan lebih awal, berasaskan kepada kepentingan masyarakat. Kalau berlaku sesuatu yang mewajarkan dia berhenti daripada kerja, maka tindakan diambil. “Bukan tidak ada tindakan pernah diambil berkaitan perkara ini, cuma kita tak hebohkan dalam surat khabar saja,” katanya.Ditanya sama ada VSS akan menyukarkan kakitangan yang diberhentikan mendapatkan pekerjaan lain, Abdullah berkata, kerajaan mempunyai peraturan bagi mengambil tindakan terhadap mereka yang bermasalah.Perdana Menteri menegaskan, tindakan yang diambil terhadap kakitangan awam yang bermasalah dilakukan bagi melindungi kepentingan semua pihak, terutama masyarakat.Di TELUK INTAN, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, juga menyifatkan VSS sebagai cadangan yang baik dan kerajaan sedia memberi pertimbangan untuk melaksanakannya dalam perkhidmatan awam.“Secara prinsipnya cadangan itu disokong dan butirannya termasuk kos akan diketahui selepas cadangan secara formal dibentangkan kelak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Teluk Intan.Beliau berkata, pelaksanaan skim itu akan memberi jalan keluar kepada kakitangan yang tidak lagi berminat untuk berkhidmat dalam sektor awam atau mempunyai perancangan lain, seperti berniaga.

No comments: