Wednesday, August 29, 2007

Sekolah integrasi jamin keharmonian

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Kementerian Pelajaran sentiasa menekankan rancangan integrasi di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dalam mengekalkan keharmonian kaum selepas pelajar menamatkan persekolahan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelbagai aktiviti bersama SK dan SJK telah dirangka dalam rancangan integrasi untuk menjamin tiada masalah pengasingan kaum yang akan timbul kelak.

‘‘Kita menerima hakikat jumlah pelajar Cina atau India di SK negara ini sangat kurang kerana minat mereka masih tinggi untuk menyertai SJK.

‘‘Kementerian tidak bimbang dengan fenomena ini kerana rancangan integrasi di SK menjamin keharmonian tetap kekal selepas pelajar tamat persekolahan mereka,’’ katanya selepas menyaksikan raptai persembahan peserta kementeriannya sempena Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Lebih 10,000 pelajar dan guru menyertai persembahan sempena Hari Kemerdekaan tahun ini dengan 23 pasukan koir dan perbarisan pelajar sekolah.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Abdul Shukor Abdullah mengenai 90 peratus pelajar kaum Cina belajar di SJK Cina.

Menurut Abdul Shukor, fenomena itu menggagalkan pencapaian matlamat pelbagai kaum untuk belajar di bawah ‘satu bumbung’ di sekolah kebangsaan.

Jelas Hishammuddin lagi, kementeriannya tidak pernah bimbang dengan keadaan itu kerana jumlah SJK Cina dan Tamil jauh lebih rendah jika hendak dibandingkan dengan SK.

‘‘Kita ada kira-kira 1,200 SJK Cina, 800 SJK Tamil dan kurang daripada 20 Sekolah Antarabangsa di sini.

‘‘Pelbagai cara dibuat untuk menjadikan keharmonian interaksi SJK dan SK sentiasa diutamakan, jadi istilah kegagalan sepakat pelbagai kaum di sekolah sebenarnya tidak pernah timbul,’’ ujarnya.

Sementara itu, katanya, masalah kekurangan pelajar lelaki di institusi pengajian tinggi (IPT) juga akan dapat diatasi dalam masa terdekat dengan program rangkaian sekolah dan universiti.

No comments: