Friday, August 3, 2007

SPA disaran guna kaedah telus perkenal VSS

(Sumber : Berita Harian Online)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) disaran menggunakan kaedah paling telus dan memastikan konsep sukarela dipatuhi jika kerajaan bersetuju memperkenalkan skim pemisahan sukarela (VSS) untuk kakitangan awam yang bermasalah dan tidak berdisiplin.Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, berkata ketelusan perlu dimulakan ketika mengumumkan tawaran VSS sehingga memberi peluang terakhir kepada kakitangan memikirkan semula keputusan selepas kelulusan diberikan.
Katanya, SPA perlu memastikan skim dibuka kepada sesiapa saja untuk memohon, manakala pemohon perlu mengambil borang sendiri dan menurunkan tandatangan secara sukarela. “Majikan masih perlu memberi peluang terakhir kepada pekerja memikirkan sama ada mahu meneruskannya atau tidak dan selepas itu jika semua bersetuju, majikan akan memberi pampasan sewajarnya.
“Selain itu, SPA tidak boleh meletakkan sasaran dan majikan saja yang mempunyai hak meluluskan permohonan,” katanya semalam. Shamsuddin berkata ia penting kerana biasanya mereka yang berminat memohon VSS ialah yang mempunyai prestasi baik dan merasakan mereka mampu merebut peluang di sektor swasta atau bekerja sendiri.Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan kelmarin yang membayangkan kerajaan mungkin memperkenalkan VSS bagi melepaskan kakitangan awam yang bermasalah dan tidak berdisiplin.Mohd Sidek meminta SPA mengkaji kemungkinan menggunakan skim yang diamalkan sektor swasta itu supaya kakitangan yang gagal menunjukkan prestasi sepatutnya meninggalkan perkhidmatan awam.Bagaimanapun, Shamsuddin berkata, MEF bimbang masyarakat memberikan tanggapan buruk seolah-olah kakitangan yang memohon VSS adalah yang tidak menunjukkan prestasi dan tidak diperlukan dalam perkhidmatan.“Mereka nak keluar atas sebab tertentu dan bukan masalah lain seperti disiplin serta prestasi. Saya kurang bersetuju kenyataan Ketua Setiausaha Negara bahawa VSS untuk melepaskan kakitangan bermasalah dan tidak berdisiplin kerana ia menyimpang jauh daripada amalan di sektor swasta. “Saya terkilan apabila VSS dikatakan menjadi amalan swasta. Kita tidak menggunakan skim itu untuk menangani isu kakitangan bermasalah kerana kita memberikan dorongan dan latihan serta kaunseling,” katanya.

No comments: