Wednesday, August 29, 2007

Takungan air bawah tanah saiz Singapura ditemui

KUALA LUMPUR: Kawasan takungan air bawah tanah dipercayai seluas Singapura, ditemui dekat Tapah di daerah Batang Padang, Perak, yang boleh dijadikan sumber alternatif bagi menangani masalah bekalan air di Selangor.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik (gambar), berkata takungan air bawah tanah itu dijangka mampu mengatasi masalah bekalan air di Selangor menjelang 2009 jika proses penyalurannya dilakukan dalam masa terdekat.


“Takungan air bawah tanah yang dijumpai itu sangat besar, mungkin lebih besar daripada Singapura dan boleh menjadi sumber alternatif jika masalah air,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Utiliti Kebangsaan Keempat 2007, di sini, semalam.

Dr Lim bagaimanapun berkata, laporan penemuan kawasan takungan air bawah tanah itu memerlukan kajian lanjut sebelum sebarang projek penyaluran dilakukan.

“Air bawah tanah itu bermutu tinggi dan mudah disalurkan ke Selangor kerana kawasan berkenaan terletak berdekatan Lembah Klang. Penemuan itu juga menyangkal dakwaan bahawa negara akan kekurangan sumber air pada masa depan,” katanya.

Mengenai projek pemindahan air mentah Pahang-Selangor, Dr Lim berkata, pihaknya membuka tender terbuka antarabangsa, bulan depan, yang akan mengurangkan kos projek dianggarkan menelan belanja RM3.8 bilion.

“Kita mungkin dapat kurangkan kos itu menjadi RM3 bilion melalui pembukaan tender seperti ini. Kita sudah jalankan prakelayakan. Kementerian mahu tender terbuka ini dibuat dalam tempoh sebulan ini. Semua ini dijangka disiapkan dua atau tiga bulan lagi dan pembinaannya bermula awal tahun depan,” katanya.

Projek yang dijadual siap dalam tempoh lima tahun lagi itu, membabitkan pembinaan Empangan Klau dan terowong sepanjang 44.6 kilometer yang dikorek menerusi Banjaran Titiwangsa untuk mengangkut air dari Sungai Pahang ke Selangor.

Dr Lim juga berkata, Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) dipilih untuk membina dan menguruskan loji rawatan air bernilai kira-kira RM2 bilion bagi merawat bekalan air mentah dari Pahang ke Selangor.

Beliau berkata, KDEB akan turut membina rangkaian paip untuk mengagihkan air yang dirawat.

Dalam ucapannya, beliau berkata, kerajaan merancang menggunakan kuasa hidro untuk menjana 30 peratus daripada keperluan elektrik negara dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi mengurangkan pergantungan ke atas bahan fosil.

“Sabah dan Sarawak berpotensi untuk melaksanakan tanggungjawab itu. Kita juga sedang mengkaji kemungkinan mendapatkan kuasa hidro dari Lembangan Sungai Rejang seperti Murum dan Baleh untuk jangka masa panjang,” katanya.

Mengenai projek Kuasa Hidro Bakun, beliau berkata, projek itu dijangka siap menjelang 2011.

Bagaimanapun, katanya, projek Bakun masih memerlukan kabel dasar laut untuk menyalurkan tenaga elektrik ke Semenanjung

No comments: