Wednesday, August 29, 2007

Universiti Apex bebas tambah pensyarah asing

Utusan Online
Oleh Norila daud

PETALING JAYA 28 Ogos – Kerajaan akan memberi kebebasan kepada Universiti Apex yang akan ditubuhkan di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara untuk mengambil lebih ramai pensyarah dan pelajar asing bagi membolehkan ia melahirkan para penyelidik bertaraf Nobel Laureate.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, Universiti Apex itu juga boleh menawarkan syarat-syarat perkhidmatan dan gaji yang lebih baik kepada pensyarah dari luar negara supaya ia menjadi lebih kompetitif.

Bagaimanapun, kata beliau, pengurusan universiti itu masih tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang sedia ada.

“Bantuan kewangan kepada universiti itu juga akan ditentukan oleh kerajaan,” kata Mustapa kepada pemberita selepas wawancara khas dengan TV3 mengenai Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara di Sri Pentas di sini pagi ini.

Beliau berkata, untuk merealisasikan penubuhan Universiti Apex, sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk bagi memilih universiti tempatan yang layak menjadi Universiti Apex.

Katanya, nama universiti yang terpilih itu akan diumumkan dalam tempoh setahun akan datang.

Cadangan menubuhkan Universiti Apex terkandung dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya semalam.

Pada majlis pelancaran itu, Perdana Menteri turut mencabar Kementerian Pengajian Tinggi supaya menubuhkan sekurang-kurangnya sebuah Universiti Apex sebelum Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tamat pada 2011.

Dalam pelan strategik itu, Kementerian Pengajian Tinggi membahagikan universiti-universiti kepada tiga kumpulan iaitu Universiti Apex, Universiti Elit dan Universiti Kompetitif.

Universiti Apex ialah universiti paling tersohor yang menjadi penanda aras peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga akan mengemukakan beberapa perubahan melibatkan peraturan, undang-undang dan bentuk pengurusan yang akan diguna pakai dalam pelaksanaan Universiti Apex.

“Sama ada Universiti Apex itu dipilih di kalangan universiti awam atau swasta, ia akan ditentukan oleh jawatankuasa tersebut yang akan mengemukakan perakuan-perakuan tertentu,’’ jelas beliau.

Menurut Mustapa, jawatankuasa yang memperincikan penubuhan Universiti Apex itu akan dianggotai oleh pakar-pakar akademik, tokoh-tokoh dalam industri pendidikan dan wakil-wakil dari universiti awam dan swasta.

Mengulas keistimewaan yang bakal dimiliki Universiti Apex, Mustapa memberitahu, dari segi tahap autonomi, universiti berkenaan akan menikmati autonomi yang lebih luas berbanding universiti awam.

Beliau memberitahu, kuasa autonomi itu termasuk menawarkan kemasukan pelajar asing sehingga 20 peratus berbanding amalan hanya dua hingga tiga peratus pelajar asing di universiti awam sekarang.

Di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, Universiti Apex dijanjikan autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian.

Pemilihan pihak pengurusan tertinggi universiti itu juga akan dibuat berdasarkan merit calon dari dalam mahupun luar negara.

Selain itu, kata Mustapa, Universiti Apex juga akan menawarkan pengajian di peringkat ijazah pertama dan lepasan ijazah kepada para pelajar asing berbanding universiti awam yang hanya mengambil pelajar peringkat ijazah lanjutan.

Menurut Mustapa, sesetengah universiti swasta di Malaysia telah pun menawarkan 50 peratus pengambilan pelajar asing.

No comments: