Friday, August 3, 2007

VSS bukan semata-mata untuk singkir kakitangan

SKIM Pemisahan Sukarela (VSS) yang selama ini menjadi amalan di sektor swasta mungkin akan menjadi model bagi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk ‘merawat’ masalah pekerja tidak berdisiplin, bermasalah atau gagal menunjukkan prestasi sepatutnya. Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan kelmarin mengumumkan kerajaan sedang memikirkan satu bentuk ‘dasar memberhentikan pekerja’ mirip kepada VSS yang digunakan sektor swasta sekarang, dalam usaha menangani masalah dalaman perkhidmatan awam. Berbeza dengan sektor swasta, sebahagian besar masalah itu banyak berlaku di kalangan kakitangan kumpulan sokongan. Menurut statistik, 92 peratus atau 9,649 orang daripada 10,438 pegawai kerajaan dikenakan tindakan tatatertib sejak 2002 hingga tahun lalu adalah terdiri daripada Kumpulan Pegawai Sokongan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Peraturan Pegawai Awam. Memang menjadi pengetahuan umum bahawa sebahagian daripada kakitangan awam turut menjalankan kerja lain, termasuk berniaga bagi menampung kos kehidupan yang semakin meningkat dan menampung pendapatan. Ini menyebabkan mereka sering tiada di pejabat, melaksanakan tugas secara sambil lewa, selalu balik awal atau mencampuradukkan tugas rasmi dengan urusan perniagaan peribadi. Faktor ini serta pelbagai masalah lain sedikit sebanyak menjejaskan prestasi jabatan atau agensi kerajaan secara menyeluruh menyebabkan orang awam melihatnya sebagai kerenah birokrasi keterlaluan. Penyakit ini jika tidak ‘dirawat’ dengan betul boleh menjejaskan perancangan kerajaan untuk melakukan perubahan dalam sektor awam supaya lebih efisien dan profesional setaraf dengan sektor awam di negara maju.

Namun, sebelum VSS itu diperkenalkan, adalah wajar kajian mendalam dilakukan memandangkan ia membabitkan jumlah kakitangan yang ramai. Sekiranya amalan dalam sektor swasta dijadikan panduan, kerajaan juga perlu memberi ganjaran dalam bentuk bayaran pampasan kepada mereka yang memilih skim berkenaan. Ini sudah tentu membabitkan perbelanjaan kewangan yang banyak dan boleh membebankan kerajaan. Sebaliknya kerajaan mungkin boleh mengemaskini langkah sedia ada iaitu menerusi latihan lebih intensif atau kaunseling bagi mengatasi masalah disiplin dalam perkhidmatan awam seperti disarankan Presiden Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman. Dalam melaksanakan skim berkenaan, kerajaan perlu memikirkan kesannya ke atas pegawai terbabit yang mungkin tiada tempat lain untuk bekerja selepas itu. Bagaimana mereka hendak menampung keluarga jika sudah tidak bekerja, terutama jika usia sudah meningkat dan tidak pula berpendidikan tinggi. Konsep VSS diamalkan sektor swasta bukan semata-mata untuk menyingkir kakitangan yang tidak dikehendakinya, tetapi juga bagi mengurangkan jumlah pekerja sebagai langkah penjimatan kos. Kita berharap semua pihak terbabit akan menimbang segala aspek dengan mengambil kira pandangan sektor swasta dan kesatuan sekerja sebelum memperkenalkan skim ini. Yang penting ia dilakukan dengan telus dan adil serta tidak disalah guna pihak tertentu bagi menganiaya kakitangan tidak disukainya.

No comments: