Friday, August 3, 2007

Wanita Nadi Pembangunan

Oleh: AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

NAMAKAN apa sahaja bidang. Selepas merdeka, golongan wanita ada terlibat di setiap sudut dan lapangan. Dalam pendidikan, telah ada wanita yang menjadi Naib Canselor di institusi pengajian tinggi tempatan. Ini satu pencapaian. Dalam lapangan kesihatan pula, dapat dilihat dengan jelas, doktor-doktor pakar terdiri daripada wanita dan jumlahnya di tengah- tengah kepakaran lelaki begitu mengujakan.
Itu belum dikira dalam bidang politik di mana peratusan wanita menjadi ‘pembuat dasar’ agak memberangsangkan walaupun jumlah mereka secara relatif masih sedikit.
Begitu juga di sudut perniagaan atau lebih intelek disebut bidang ekonomi. Golongan wanita juga dikatakan tidak mahu ketinggalan bersaing dengan lelaki, malahan dibuktikan mereka berjaya. Itu cerita pencapaian, kejayaan dan keterlibatan wanita sesudah merdeka.
Bahawa sebelum merdeka, penglibatan golongan Hawa ini barangkali boleh dikatakan amat terbatas. Angka, data, perangkaan atau statistik menjadi petandanya. Ia menguatkan fakta bahawa ada keterbatasan penglibatan wanita dalam pelbagai sudut dan lapangan sebelum negara merdeka.
Sekali lagi, ia diakui sendiri oleh ramai pemimpin negara. Dulu dan kini. Maknanya jika dulu statistiknya bukan sekadar omong, begitu juga sekarang, fakta yang diberikan bukan pula satu mitos.
Maka apabila angka dan graf memberi isyarat tentang serba serbi pencapaian positif bagi wanita dalam rentang usia kemerdekaan negara 50 tahun ini, apa lagi yang mahu ditidakkan selain menerimanya dengan berlapang dada dan berhati besar.
Pencapaian wanita ditandai dengan penglibatan golongan itu dalam bidang yang memiliki variasi.
Selebihnya, bukan semudah membalikkan tapak tangan pencapaian itu diperoleh. Ia adalah tentang pendidikan, mengenai kemudahan disediakan kerajaan selain peluang yang jangan sama sekali disia-siakan.
Lupakan mengenai kefahaman tentang gender. Ia merupakan isu berterusan yang diperjuangkan, kalaupun memberi kesan, ia memberi titis yang minimum. Selebihnya, ia tetap bergantung kepada perkara asas seperti pelajaran, peluang dan cabaran.
Sidang Kemuncak Wanita 2007, yang berlangsung semalam merupakan petanda kepada sebuah pencapaian wanita menghimpunkan golongan itu membincangkan hal-hal berkisar tentang mereka.
Sama ada mahu diterima atau tidak, itulah penganjuran terbesar wanita dalam membincangkan hal-hal mencakupi gender, isu diskriminasi, wanita dalam pekerjaan dan sebagainya.
Tahun ini, kali keempat ia diadakan dan sidang berkenaan menjadi lebih istimewa kerana secara kebetulan negara menyambut kemerdekaan ke-50.
Maka tema yang dipilih juga bersesuaian dengan usia kemerdekaan negara. Lalu tema relevan tentunya Wanita Nadi Pembangunan. Dapat dibaca bahawa kerajaan tidak sama sekali menafikan bahawa wanita nyawa kepada pembangunan negara yang dikecapi selama ini.
Persidangan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan ia turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Di pentas perasmian itu, Najib sebagai pemimpin nombor dua negara turut mengakui bahawa sejak merdeka peranan dan status wanita telah mempamerkan banyak perubahan – ke arah terbatas kepada cabang memberangsangkan.
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu disokong pula oleh perbandingan statistik wanita di era merdeka dan selepas merdeka, dalam bidang pendidikan.
Pada tahun 1959, statistik dua tahun selepas merdeka menunjukkan bahawa terdapat hanya 77 graduan wanita atau bersamaan 10.7 peratus daripada kesemua jumlah pengambilan pelajar di Universiti Malaya (UM). Disebut UM kerana hanya universiti berkenaan wujud pada zaman berkenaan.
Hari ini, selepas negara merdeka 50 tahun, seiring dengan penambahan bilangan universiti, walaupun statistik terkini tidak diperoleh, dapat dilihat dengan jelas bahawa senarionya ialah jumlah pelajar wanita melebihi lelaki.
Dan jika bilangannya majoriti, maka yang akan menjadi graduan juga secara automatik adalah kumpulan majoriti. Kadar mahasiswa dan mahasiswi pada masa sekarang ialah 61.39 dengan kata lain 61 wanita, 39 lelaki.
Sementara itu, penglibatan wanita dalam bidang pekerjaan turut menunjukkan trend yang meningkat daripada 30.8 peratus pada tahun 1957 kepada kira-kira 46 peratus bagi tempoh tahun 2000 hingga 2006.
Dari segi untuk membuat keputusan pula sungguhpun wanita yang menjadi pemimpin itu kecil bilangannya, tetapi wanita lebih ramai daripada lelaki. Ini jika dibuat perbandingan mengenai bilangan pengundi berdaftar.
Wanita merupakan 5.2 juta atau 50.2 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar, diperoleh sehingga Mac 2007.
Logiknya pula, wanita merupakan separuh daripada penduduk Malaysia iaitu seramai 13 juta orang dengan membentuk hampir 5 juta keluarga.
Daripada jumlah tersebut, 63.4 peratus atau kira-kira 8.3 juta adalah dalam kumpulan umur bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun.
Hampir 36 peratus bekerja sama ada dalam sektor awam, swasta, bekerja sendiri sebagai majikan atau pekerja keluarga tanpa gaji.
Perlu diingatkan, apabila bekerja mereka turut tersenarai sebagai ‘penyumbang’ kepada ekonomi keluarga dan negara pada amnya.
Hampir 36 peratus daripada tenaga kerja di negara ini terdiri daripada kaum wanita. Selebihnya perangkaan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan bahawa kira-kira 4.7 juta berada di luar pasaran buruh dan tidak bekerja. Majoriti wanita yang berada di luar pasaran buruh adalah suri rumah tangga iaitu hampir 3 juta orang.
Mereka yang berada di luar pasaran buruh juga sebenarnya menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di negara ini. Suri rumah ini menyumbang kira-kira 45 peratus dalam kerja-kerja tanpa bayara.
Sumbangan ini jika dinilai dari segi wang ringgit, ia dianggarkan berjumlah hampir RM55 bilion berasaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2006. Apa erti angka-angka itu semua? Jelas sekali, jawapan tipikal ialah ia merupakan satu jumlah yang besar dan bermakna.
Pada lapis lain, bukankah angka-angka itu sesuatu yang boleh diharapkan untuk satu kepercayaan tentang pencapaian wanita, dulu dan kini, sebelum serta sesudah merdeka.
Kalau ia sesuatu yang perlu dipercayai, barangkali itu puncanya wanita dilabel nadi kepada pembangunan, memberi nyawa kepada sebuah negara yang benar-benar merdeka.

No comments: