Thursday, February 28, 2008

Perihal subsidi minyak

Oleh ZULKIFLI JALIL (WARTAWAN UTUSAN)

KETIKA berucap kepada penduduk Permatang Tinggi C dan Lahad Tiang, Kepala Batas kelmarin, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi penjelasan cukup mudah dan tepat perihal subsidi minyak.

Barangkali bagi masyarakat kampung, isu kenaikan minyak dunia yang sesekali menerjah di kotak pemikiran mereka menyebabkan ada sesetengahnya ‘tidak ambil pusing’. Ini mengundang bahaya jika maklumat yang tepat dan sebenar tidak sampai kepada rakyat apabila ia diputarbelitkan oleh pembangkang.

Kerana itu, Abdullah yang turut diiringi isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah sanggup meredah kepekatan malam Kepala Batas pada Selasa lalu semata-mata mahu memastikan maklumat berkisar kenaikan harga minyak dan pemberian subsidi kerajaan diperoleh secara tepat oleh masyarakat kampung.

Di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam kelmarin – yang turut menjadi lokasi taklimat jentera pilihan raya kepada Perdana Menteri – buku kecil bertajuk Penjelasan Mengenai Subsidi dan Bantuan Kerajaan Kepada Rakyat telah diedarkan kepada orang ramai.

Berikut penjelasan yang disediakan oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal Untuk Subsidi dan Kenaikan Harga Barang.

1. Mengapa berlakunya kenaikan harga minyak mentah dunia?

Harga minyak mentah dunia berpandukan harga minyak mentah jenis West Texas Intermediate (WTI), meningkat kerana:

Permintaan minyak mentah dunia yang tinggi (85.9 juta tong sehari pada 2007) terutama dari China dan India berbanding bekalan 84.9 juta tong sehari yang mengakibatkan harga minyak mentah dunia naik.

Keadaan geopolitik tidak stabil dan tidak menentu di beberapa negara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) seperti Iran dan Iraq yang menjejaskan pengeluaran minyak mentah.

Aktiviti spekulasi pembelian minyak mentah masa hadapan (futures trading).

Sejak pertengahan tahun 2004, harga minyak mentah telah meningkat tinggi di pasaran dunia. Harga minyak mentah jenis WTI meningkat daripada purata AS$41.60 setong pada 2004 kepada AS$72.28 setong pada 2007. Pada Disember 2007, harga purata adalah sebanyak AS$91.63 setong dan terus meningkat kepada AS$92.28 setong pada Januari 2008.

Harga minyak mentah jenis tapis (minyak mentah keluaran Malaysia) terus meningkat daripada purata AS$41.48 setong pada 2004 kepada AS$78.30 pada 2007. Pada Januari 2008, harga purata terus meningkat kepada AS$96.74 setong.

2. Negara kita menghasilkan minyak. Jadi, kenapa harga minyak kita perlu naik?

Malaysia mengeluarkan minyak jenis tapis namun minyak tersebut tidak digunakan dalam negeri kerana berkualiti tinggi serta harga lebih mahal. Jadi lebih menguntungkan jika dieksport. Oleh itu, Malaysia mengimport minyak jenis lain yang harganya lebih rendah untuk kegunaan tempatan. Dengan ini, Malaysia mendapat keuntungan dengan mengeksport minyak yang lebih mahal dan mengimport minyak yang lebih murah.

Harga minyak ditentukan oleh pasaran dunia dan di luar kawalan Malaysia. Bagaimanapun OPEC memainkan peranan penting dalam menentukan tahap pengeluaran minyak dunia tetapi ia tidak mampu mempengaruhi harga pasaran minyak sepenuhnya.

Dari segi produk petroleum tempatan (petrol, diesel dan LPG), Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) hanya membekalkan 42 peratus daripada pasaran runcit petroleum. Bakinya dibekalkan oleh syarikat asing seperti Shell, Exxon-Mobil, BHP dan Chevron.

Jika harga runcit petroleum hendak dikekal rendah, kerajaan terpaksa menanggung keseluruhan subsidi minyak dan adalah tidak bijak kerajaan berbuat demikian.

Jika Petronas pula dikehendaki menanggung keseluruhan subsidi tersebut, bermakna Petronas juga terpaksa menanggung subsidi yang sepatutnya dibayar oleh Shell, Exxon-Mobil, BHP dan Chevron. Ini kerana kerajaan tidak boleh memaksa syarikat minyak asing menanggung subsidi tersebut kerana ia bukan milik kerajaan.

3. Berapakah harga petrol RON97 dan diesel di Malaysia berbanding harga di negara jiran?

Secara perbandingan, harganya jauh lebih murah daripada kebanyakan negara ASEAN. Malah ia adalah di antara terendah di dunia. Harga runcit seliter Petrol RON97 pada November 2007 di Malaysia ialah RM1.92 berbanding di Indonesia (RM2.57), Thailand (RM3.19), Filipina (RM3.45), Singapura (RM5.07), United Kingdom (RM7.03) dan Amerika Syarikat (RM2.74).

4. Bagaimanakah kerajaan memastikan harga produk petroleum lebih rendah daripada negara jiran?

Dengan memberi subsidi dan pengecualian cukai jualan kepada pengguna.

Dengan menetapkan harga sebenar produk petroleum berbanding harga runcit. Contohnya harga runcit RON97 seliter di Semenanjung ketika ini ialah RM1.92 sedangkan harga sebenarnya ialah RM3.07 - jika tidak melalui subsidi/pengecualian cukai jualan sebanyak RM1.15.

Bagi harga runcit gas memasak sekilogram pula di Semenanjung ialah RM1.75 sedangkan harga sebenar ialah RM3.80 jika tidak memperoleh subsidi sebanyak RM2.05.

5. Kenapa kerajaan perlu berhemat dalam pemberian subsidi bagi produk petroleum?

Ini kerana jumlah tanggungan subsidi kerajaan semakin besar iaitu RM16.2 bilion pada 2007. Sekiranya harga minyak mentah dunia terus meningkat, tanggungan subsidi kerajaan juga turut naik.

Apabila jumlah subsidi dan pengecualian cukai jualan semakin meningkat, wang yang ada untuk tujuan pembangunan serta subsidi sektor lain terpaksa dikurangkan.

Pemberian subsidi dan pengecualian cukai jualan yang tidak berhemat akan meningkatkan perbelanjaan mengurus kerajaan dan seterusnya memburukkan keadaan defisit akaun kerajaan. Ini akan menyebabkan kerajaan terpaksa terus berhutang bagi menampung perbelanjaan yang semakin meningkat. Sekiranya keadaan ini berterusan, beban hutang akan terus ditanggung oleh generasi akan datang.

6. Siapakah yang sepatutnya mendapat manfaat subsidi?

Tujuan kerajaan memberi subsidi adalah untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Sebaliknya, subsidi lebih banyak dinikmati oleh golongan kaya yang menggunakan kenderaan mewah berbanding golongan sasar yang hanya menggunakan kereta berkuasa kecil dan motosikal.

Harga runcit produk petroleum dalam negeri jauh lebih rendah berbanding harga runcit di negara jiran. Ini menggalakkan kegiatan penyeludupan ke luar negara yang bererti rakyat asing dapat menikmati subsidi tersebut. Dengan kata lain, wang rakyat Malaysia digunakan untuk faedah rakyat negara jiran dan penyeludup.

Subsidi produk petroleum hanya diberikan kepada pengguna kenderaan persendirian dan isi rumah serta sektor tertentu seperti sektor pertanian dan pengangkutan awam termasuk bot penumpang. Bagaimanapun, berlaku penyelewengan penjualan produk petroleum bersubsidi tersebut kepada sektor perindustrian dan ini menguntungkan pihak tidak sepatutnya menikmati subsidi berkenaan.

Jumlah penjualan diesel bersubsidi tidak setimpal dengan jumlah pendaratan ikan. Contohnya, pada 2003, jualan diesel untuk nelayan ialah 772 juta liter berbanding dengan pendaratan ikan yang dicatatkan hanya sebanyak 1.3 juta tan metrik, 2004 (1,132 juta liter, 1.4 juta tan metrik), 2005 (1,278 juta liter, 1.2 juta tan metrik), 2006 (981 juta liter, 1.3 juta tan metrik) dan 2007 (1,092 juta liter, 1.4 juta tan metrik). Ini menunjukkan wujudnya penyelewengan penjualan diesel untuk nelayan kepada pihak lain.

7. Adakah kerajaan memberi subsidi produk petroleum tambahan kepada sektor-sektor tertentu?

Ya, selain daripada subsidi produk petroleum yang telah disebutkan, kerajaan juga telah memberi beberapa subsidi tambahan kepada sektor terpilih. Ini untuk mengurangkan beban rakyat terutama mereka berpendapatan rendah dan sederhana serta memastikan harga barangan dan perkhidmatan tidak meningkat dengan mendadak.

Subsidi tambahan turut diberi kepada pengusaha kenderaan awam dan perdagangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi. Sebanyak 84 peratus pengangkutan awam dan pengangkutan barangan pengguna atau lebih 275,900 kenderaan layak menikmati harga diesel bersubsidi pada harga RM1.43 seliter. Harga ini adalah 15 sen lebih rendah berbanding harga semasa RM1.58 seliter untuk pengguna lain.

Sebanyak 20 jenis kenderaan termasuk bas sekolah, bas ekspres, bas mini, kereta sewa dan teksi layak menggunakan fleetcard di 3,121 stesen minyak di seluruh negara. Surat kelulusan dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kerajaan juga melaksanakan Sistem e-Diesel Nelayan bagi sektor perikanan. Melalui sistem ini, kerajaan menetapkan diesel bersubsidi pada harga RM1 seliter kepada kira-kira 18,000 nelayan di seluruh negara.

Selain itu, seramai 15,000 nelayan pesisir pantai yang menggunakan bot dengan enjin sangkut petrol dan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga menikmati petrol bersubsidi pada harga RM1 seliter.

Diesel bersubsidi juga diberikan kepada pengusaha bot penumpang di pedalaman Sabah dan Sarawak pada harga RM1.20 seliter.