Thursday, August 7, 2008

Kesungguhan membanteras rasuah

Oleh NORAMTAZ ABDULLAH

PERBUATAN rasuah boleh berlaku di semua peringkat dalam sesebuah organisasi dari bawah hingga teratas. Namun kita jarang menyangka bahawa seorang ketua pengarah dan timbalan sesebuah jabatan boleh terlibat sama. Mereka seharusnya menjadi role model kepada kakitangan yang lain. Mereka juga dibayar gaji yang lumayan selain mendapat elaun-elaun tertentu. Yang kedua apabila perbuatan ini telah menular dalam sesebuah organisasi dan berpaksikan sistem rangkaian kerja atau sindiket yang rapi lagi ketat, maka perbuatan ini amat susah dikesan pihak yang berwajib.

Dengan tercetusnya penangkapan beberapa individu baru-baru ini maka ada yang bertanya dan juga mempersoalkan mengapa sekarang hal ini baru terbongkar. Mengapa pihak yang berwajib sebelum ini gagal bertindak? Adakah disebabkan mereka tidak ada kuasa atau tidak cukup kuasa atau adakah mereka dihalang untuk bertindak oleh pihak-pihak tertentu?

Berkenaan soal mengapa sekarang dan tidak dahulu lagi diambil tindakan adalah soal akademik. Yang penting tindakan tegas telah pun diambil. Memanglah bagi yang tertangkap setakat ini kurang "bernasib baik" berbanding mereka terlepas daripada siasatan. Jika sekiranya benar bahawa fenomena rasuah telah melanda jabatan-jabatan kerajaan sejak dulu lagi, maka perkara itu boleh dipastikan menerusi siasatan secara terperinci selepas beberapa kes dibongkar baru-baru ini.

Pihak berwajib termasuk Badan Pencegah Rasuah (BPR) mesti menyemak dan memfailkan semua kes atau laporan yang telah dibuat berkaitan dengan kakitangan sesebuah jabatan kerajaan.

Hasil semakan pasti akan memberi petunjuk sejauh mana benarnya kakitangan awam terlibat dalam jenayah rasuah. Kegagalan untuk berbuat demikian boleh menjejaskan imej serta ketelusan, keikhlasan dan keadilan pihak kerajaan.

Dengan tindakan yang tegas yang telah diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan angkara ini, orang ramai menjadi lebih yakin dan berpuas hati terhadap kesungguhan kerajaan membanteras rasuah, tanpa pilih kasih, pangkat atau bulu.

Adalah diharap bahawa tindakan ini akan menjadi lambang kesungguhan kerajaan khususnya agensi-agensinya yang dipertanggungjawabkan dalam memerangi perbuatan rasuah. Dan yang lebih penting lagi usaha tersebut mesti dilakukan secara berterusan dan bukannya hangat-hangat tahi ayam atau bertindak mengikut musim. Kuasa yang diberikan kepada pihak BPR dan langkah menstrukturkan semula organisasi itu akan membolehkan pihak penguat kuasa menjalankan tugasnya dengan sempurna, cekap dan cepat. Masyarakat di semua lapisan juga mesti memberi kerjasama kepada BPR dalam usaha membantu memerangi musuh negara