Friday, January 11, 2008

Menafsir erti derita di kem pelarian Darfur

Oleh Mohd Hamizar Hamid (Yang berkunjung ke Darfur, Sudan baru-baru ini)

BERAPA kali warga Malaysia makan daging dalam tempoh seminggu atau sebulan? Di Darfur, Sudan walaupun terkenal dengan hasil ternakan yang bermutu tinggi, beberapa penghuni khemah pelarian dapat menikmati daging lembu setahun sekali, itu pun pada Aidiladha.

Kita bersyukur di Malaysia, bukan saja boleh makan daging pada bila-bila masa, jika mahu, malah pada Hari Raya Korban pun, kadang-kala ada orang menghantar daging korban di depan pintu rumah. Malah, boleh mendapatkannya di surau atau masjid pada hari berkenaan.

Di Darfur, daging korban yang diperoleh sedikit setiap keluarga pula terpaksa dikeringkan supaya boleh disimpan lebih lama.



Di sebalik cerita mengenai kesukaran hampir 120,000 pelarian yang mendiami enam khemah di sekitar Darfur mendapatkan makanan dan minuman, pelbagai lagi kisah menyayat hati disaksikan sendiri penulis sepanjang berada di sana.

Hati penulis tersentuh apabila salah seorang penghuni khemah pelarian bersusah payah menunggu kami di pintu van dengan tangannya memegang dulang berisi beberapa cawan kecil yang sumbing semata-mata ingin menjamu kami dengan kopi panas.

Sambil hati tertanya-tanya sama ada kopi itu selamat untuk diminum atau sebaliknya disebabkan kawasan berkenaan sukar mendapat bekalan air, penulis berupaya menghabiskan secawan kecil kopi yang dihidangkan.

Bukan sumber air untuk membuat kopi atau cawan sumbing menjadi ukuran, sebaliknya apa yang menarik perhatian ialah sikap ramah ditunjukkan biarpun dunia kini maklum mereka hidup dalam kedaifan.

Sungguhpun hidup selama lebih tiga tahun sebagai pelarian di kawasan yang tandus ditambah dengan debu pasir sentiasa berterbangan, nilai kemanusiaan tetap tidak hilang di kalangan mereka yang majoritinya penganut Islam.

Nilai kemanusiaan itu belum tentu mudah ditemui di negara sendiri walaupun lebih sedulang kopi dengan mudah boleh dihidangkan berbanding sedulang kopi dihidangkan wanita dikenali sebagai Zainab itu.

Kami sedar sejak mula ditawarkan hidangan itu ketika mengunjungi khemah wanita berkenaan, betapa tinggi kos yang perlu diperuntukkan ketika mereka sendiri hidup dalam kesukaran terutama bagi memperoleh sumber air.

Tetapi, menyedari susah payah dilalui untuk menjerang air dan menyiapkan minuman ditambah usahanya menunggu kami di pintu kenderaan, ia bukan sesuatu yang sepatutnya dipersiakan.

Sebelum itu, penulis dan wartawan serta jurukamera TV3 yang menyertai misi Tabung Dapur Untuk Darfur di Sudan mengunjungi khemah didiami wanita berusia awal 20-an itu bersama ibu dan beberapa ahli keluarganya yang lain.

Biarpun sukar berkomunikasi dengan mereka ketika ditemu bual terutama segelintir warga emas kerana menggunakan dialek bahasa Arab tempatan, mereka kelihatan ceria menerima kunjungan kami ketika seluruh umat Islam dunia menyambut Aidiladha lalu.

Lebih menggembirakan mereka, kunjungan Dewan Pemuda Masjid Malaysia dan TV3 turut membawa amanah penderma Tabung Dapur Untuk Darfur bagi menjalankan ibadat korban di padang pasir yang tidak membangun dan terabai itu.

Itu pun selepas rombongan kami terpaksa menaiki kapal terbang (jenis fokker) selama hampir tiga jam untuk sampai di wilayah berkenaan, terletak hampir 1,300 kilometer dari Khartoum (perjalanan darat mengambil masa hampir dua minggu berikutan terpaksa melalui jalan berpasir).

Bertempat di khemah pelarian Sikkili Jadid dalam daerah Nyala di Darfur, ibadat korban 15 lembu hasil sumbangan rakyat Malaysia menerusi tabung berkenaan dijalankan dalam suasana cukup ringkas.

"Bagaimana saya hendak makan ubat selepas makan, sedangkan kami sendiri tidak makan," bisik seorang pelarian wanita kepada Ketua Unit Kebajikan dan Kesihatan Dewan Pemuda Masjid Malaysia (DPMM), Dr Jamnul Azhar Mulkan.

Kenyataan menyayat hati itu terungkap ketika Dr Jamnul Azhar memberikan preskripsi ubat kepada pelarian terbabit ketika mengunjungi khemah yang dijadikan klinik bergerak di khemah pelarian Outash, terletak dalam wilayah Darfur.

Biarpun diancam pelbagai jenis penyakit termasuk malaria, bilharzia (penyakit cacing Sungai Nil), kepialu, kolera, meningtis dan pelbagai jenis jangkitan kuman lain, perkara itu bukan sesuatu yang membimbangi mereka kerana apa yang lebih difikirkan adalah bekalan makanan harian.

Berdepan dengan cuaca dingin sekitar 20 Celsius pada musim sejuk ditambah dengan tiupan angin berdebu dijangka berpanjangan sehingga April ini, lebih memburukkan keadaan kesihatan kanak-kanak.

Seakan tidak berupaya melakukan apa-apa, wajah kanak-kanak yang ditutupi debu itu sekali-sekala dihinggapi lalat, bagaimanapun tidak diendahkan mereka.

Jejak menghampiri khemah pelarian di Darfur seakan terhenti apabila melihat golongan ibu berada di kawasan sekitar dengan sebahagian mereka duduk di dalam khemah masing-masing.

Konflik di Darfur, mengundang perhatian dan simpati masyarakat antarabangsa kerana berdasarkan perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lebih dua juta orang menjadi pelarian dan hampir 200,000 lagi terkorban dalam perbalahan puak bertelagah wilayah itu.

Secara umumnya, konflik bermula pada Julai 2003 di wilayah Darfur yang terletak di barat Sudan di antara pihak Janjaweed iaitu pasukan bersenjata dari puak Abbala Rizeigat dengan puak Fur, Zaghawa dan Massaleit yang terlebih dulu mendiami Darfur.