Monday, December 15, 2008

Harga petrol, diesel turun kali ke-7

PUTRAJAYA 15 Dis. – Kerajaan hari ini menurunkan lagi harga petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini, kali ketujuh sejak Ogos lalu sejajar dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan berkata, petrol RON97 diturunkan daripada RM1.90 kepada RM1.80 seliter, manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing daripada RM1.80 kepada RM1.70 sen seliter.

“Penurunan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter ini adalah sejajar dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran.

“Berkuat kuasa tarikh yang sama (tengah malam ini) juga, harga petrol dan diesel bersubsidi bagi nelayan diturunkan sebanyak 13 sen seliter daripada RM1.43 kepada RM1.30 seliter seperti mana yang telah diumumkan sebelum ini,” kata Perdana Menteri.

Penurunan harga petrol dan diesel itu dibuat ketika harga minyak mentah di pasaran dunia hari ini berlegar pada kadar AS$47.35 (RM165.73) setong.

Harga minyak petrol dan diesel mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

Bagaimanapun dua bulan kemudian iaitu pada 23 Ogos, kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen menjadikannya RM2.55 seliter.

Friday, December 12, 2008

Menangani bencana tanah runtuh di kawasan tinggi


KEJADIAN tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dikaitkan dengan projek pembangunan yang menjejaskan struktur kawasan tinggi.

Ekosistem sensitif mudah terjejas, ancam penduduk jika pembangunan dibiarkan tanpa kawalan

DI sebalik timbunan tanah dan runtuhan bangunan di sekitar kawasan Bukit Antarabangsa, banyak isu yang masih belum terjawab. Dalam kekalutan bencana baru menimpa, mangsa dan penduduk masih tertanya-tanya mengenai masa depan mereka dari segi penempatan dan keselamatan harta benda.

Pihak berkuasa juga nampaknya masih belum pasti dari segi tindakan konkrit selanjutnya sama ada penempatan itu perlu dikosongkan sepenuhnya atau hanya buat seketika sehingga keadaan ekosistem menjadi lebih stabil dan kepastian dicapai dari segi tindakan susulan. Soal ganti rugi juga menjadi isu yang dibahaskan dengan hangat dalam media massa.

Dalam memahami dan menangani tragedi ini, kita perlu kembali kepada asas pengurusan ekosistem secara bersepadu. Ekosistem terbahagi kepada empat komponen utama iaitu geosfera (tanah, batuan, kontor), hydrosfera (laut, sungai, tasik, alur air, air bawah tanah), atmosfera (udara) dan biosfera (hidupan dan tumbuhan).

Ramai pakar alam sekitar membuat perumpamaan bahawa sesebuah ekosistem adalah satu jasad hidup. Komponen ekosistem adalah panca indera jasad berkenaan. Jika komponen ekosistem dicemari atau dimusnahkan samalah seperti mencedera atau menghapuskan salah satu panca indera pada jasad alam itu.

Namun demikian, pembangunan sesebuah ekosistem boleh juga diumpamakan seperti menghias atau memperelok jasad seperti kita menggunting rambut atau merampingkan badan.

Pada hemat saya, pembangunan sesebuah ekosistem boleh dibahagikan kepada lima kelas. Kelas pertama ialah ekosistem seimbang yang mudah dibangunkan kerana impak pembangunan terhadap komponen alam sekitar pada tahap minimum. Ini mungkin kerana ekosistem itu tidak mempunyai komponen unik dan ciri istimewa yang perlu dilestarikan.

Kelas kedua ialah ekosistem yang boleh terjejas dengan sesuatu projek pembangunan tetapi dapat dikawal jika tindakan pemulihan dilakukan dengan segera. Biasanya kelas kedua ini menjadi isu hangat dalam konteks kajian impak alam sekitar (EIA) terutama dari segi makna dan tahap 'terjejas'. Hal ini biasa berlaku kepada cadangan penempatan baru di kawasan hutan pinggir bandar, pembinaan insinerator atau tapak pelupusan sampah.

Kelas ketiga ialah ekosistem sensitif yang mudah terjejas tetapi tidak berbahaya kepada penduduk dan pengunjung seperti pembangunan kawasan peranginan dan aktiviti ekopelancongan di kawasan hutan simpan. Contohnya ialah pembangunan pinggir pantai dan jeti di Pulau Tioman dan Pulau Langkawi.

Kelas keempat ialah ekosistem sensitif yang mudah terjejas dan berbahaya kepada penduduk atau pengunjung apabila sesuatu pembangunan dilaksanakan. Tahap bahaya ini dikaji menerusi analisis risiko terhadap komponen alam sekitar. Antara risiko yang selalu dikaitkan dengan projek pembangunan tanah ialah banjir kilat, tanah runtuh dan pencemaran sungai. Pada hemat saya, ekosistem kawasan sekitar Bukit Antarabangsa termasuk dalam kelas empat.

Kelas kelima ialah ekosistem sensitif yang sangat terkesan dengan apa juga bentuk aktiviti pembangunan. Ekosistem itu unik, kaya dengan flora dan fauna, santuari menampung kepelbagaian biologi dan mempunyai peranan penting dari segi keselamatan serta kesejahteraan penduduk dan ekosistem sekeliling.

Contohnya ialah hutan bakau di pinggir pantai sepanjang Selat Melaka dan hutan simpan di Banjaran Titiwangsa. Seandainya hutan terbabit dimusnahkan untuk apa juga bentuk pembangunan, maka kesannya sangat ketara kepada perubahan iklim setempat, hakisan tanah, pencemaran sungai dan tadahan hujan.

Persoalannya apakah tindakan yang wajar dilakukan apabila sesuatu ekosistem mengalami kemusnahan seperti tanah runtuh sekitar Bukit Antarabangsa?

Dari segi teknikal, kita mempunyai lima pilihan. Pertama memulihkan ekosistem secara kecil-kecilan menerusi pelbagai kaedah dan teknologi. Secara peribadi saya berpengalaman memulihkan kawasan bekas tapak pelupusan sampah dan tapak buangan sisa terjadual.

Saya yakin ramai jurutera tempatan mempunyai pengalaman untuk memulihkan kawasan tanah runtuh menerusi kaedah penstabilan tanah dan penyuburan ekosistem. Kaedah ini mengambil masa dan memerlukan biaya besar.

Kedua, memulihkan ekosistem menggunakan kaedah komprehensif tetapi bukan kepada seluruh kawasan. Ia hanya membabitkan kawasan berisiko tinggi seperti tanah runtuh, aliran air bawah tanah dan kawasan lembangan.

Ketiga, memulihkan sesebuah ekosistem secara menyeluruh dengan mengubah lanskap, kontor dan fungsi kawasan terbabit. Bagi kawasan tanah tinggi misalnya perlu ditukar menjadi kawasan landai untuk mengurangkan risiko tanah runtuh dan tompokan air di sesuatu alur atau sistem pengairan bawah tanah. Proses pemulihan ini memerlukan kos tinggi dalam jangka masa antara lima hingga 10 tahun.

Keempat, membiarkan ekosistem kawasan berkenaan stabil menerusi proses alamiah tanpa perlu mengeluarkan biaya besar untuk melakukan sebarang kerja penstabilan tanah dan pemantapan ekosistem. Hal ini memakan masa puluhan tahun. Dalam konteks tapak pelupusan sampah, antara 30 hingga 50 tahun.

Kelima, mengosongkan kawasan terbabit untuk meminimumkan risiko bencana seperti tanah runtuh sehinggalah prosedur perundangan dan pampasan diselesaikan untuk membolehkan pihak berkuasa mengenalpasti langkah seterusnya.

Dalam konteks ekosistem sekitar Bukit Antarabangsa, pilihan pertama tidak lagi relevan. Saya berpendapat tragedi tanah runtuh yang berulangan sehingga mengorbankan tidak sedikit nyawa menunjukkan tindakan drastik tetapi praktikal perlu dilaksanakan segera. Pilihan ketiga paling relevan tetapi mekanisme pembiayaan perlu dikenal pasti.

Selain itu, kita juga perlu merancang supaya tragedi Bukit Antarabangsa itu tidak berulang di tempat lain. Dari segi garis panduan dan prosedur pembangunan tanah tinggi memang sudah diterima pakai pelbagai agensi penguatkuasaan.

Persoalannya ialah mengenai keberkesanan pelaksanaan dan tahap penguatkuasaan. Selain itu kita juga perlu lebih proaktif dalam mengenalpasti risiko bukan saja kepada penduduk bahkan kepada keselamatan harta benda.

Kembali kepada perumpamaan sesebuah ekosistem sebagai satu jasad, maka kawasan sekitar Bukit Antarabangsa itu seperti seorang manusia yang sudah tidak mempunyai tulang belakang atau kehilangan kedua-dua kaki.

Profesor Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar