Friday, February 27, 2009

USM teraju Apex memuaskan

PULAU PINANG 26 Feb. - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin puas hati dengan perkembangan Universiti Sains Malaysia (USM) selaku peneraju utama Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex) di negara ini.

Beliau berkata, sepanjang empat bulan lalu, USM menunjukkan komitmen dan kesungguhan dengan mewujudkan Pusat Nadi Apex bagi memantau pelaksanaan serta mengukur pencapaiannya bagi memastikan ia berada di landasan yang betul.

Menurutnya, USM juga mempunyai tanggungjawab untuk menterjemahkan matlamat dan pelaksanaan Apex sejajar usaha memastikan universiti itu menjaga reputasinya sebagai antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tertua di negara ini.

''Dalam membangun dan melaksanakan struktur pentadbiran berteraskan autonomi bagi universiti bertaraf Apex, tujuh aspek utama sedang diperincikan di pelbagai peringkat iaitu perundangan, akademik, sumber manusia, kemasukan pelajar, kewangan, penyelidikan dan penjanaan pendapatan.

''Saya difahamkan, sebahagian daripada jawatankuasa tersebut telah pun digerakkan dan pelaksanaan menerusi pusat nadi itu dan yang lain adalah penting bagi mengetahui sama ada ia berjaya dilaksanakan atau pun tidak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Agenda Inisiatif Pembangunan Keusahawanan Pelajar (Sedia), Dasar Pembangunan Siswa dan Pelan Transformasi Apex di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah USM, Tan Sri Ani Arope dan Naib Canselor USM, Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak.

Mengulas lanjut beliau berkata, selain memantau pelaksanaan USM menerusi Pusat Nadi Apex, universiti itu juga perlu mengemukakan petunjuk prestasi utama (KPI) dan pada masa sama kejayaan turut dinilai melalui persekitaran USM.

''Saya percaya USM mampu untuk menggalas tanggungjawab selaku peneraju utama Apex dengan melaksanakan ia secara serius sekali gus menjadi contoh terbaik kepada universiti lain di negara ini," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pemberian peruntukan RM10 juta kepada Pusat Penyelidikan Arkeologi Global di USM yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia.

Tambahnya, peruntukan yang diberi pihak kementerian itu adalah untuk menaik taraf pusat tersebut dan pada masa sama dapat membantu melonjakkan pengajian tinggi di negara ini ke persada dunia.

USM sebelum ini dipilih sebagai universiti Apex pertama pada 3 September tahun lalu selepas mengenepikan tiga lagi universiti yang turut disenarai pendek iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).