Friday, November 23, 2007

Saintis UPM temui bahan ganti petrol, diesel

SERDANG: Seorang saintis Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menemui bahan api alternatif daripada biji buah `Egusi Melon’ yang berpotensi menghasilkan minyak petrol dan diesel.

Ketua Makmal Kajian Tenaga (AREL) dari Institut Tenaga Maju UPM Prof Madya Dr Nor Mariah Adam yang membuat penemuan itu berkata bahan tenaga berkenaan menggunakan minyak dihasilkan daripada biji buah egusi berasal dari Afrika.

Katanya penemuan kali pertama di dunia itu dijangka dapat mengurangkan kos petrol sebanyak 20 peratus dan diesel 10 peratus, malah jurangnya lebih ketara jika harga bahan api berkenaan meningkat.



“Minyak ini berpotensi untuk dijadikan minyak petrol dan diesel kerana sifatnya lebih ringan, proses penuaian minyak mudah dan ekonomik berbanding minyak sawit dan jathropa yang telah dijadikan bio-diesel,” katanya ketika menunjukkan hasil kajiannya.

Beliau berkata kajiannya mendapati lemak tepu dalam minyak egusi adalah rendah, selain bersifat mudah cair dan boleh meningkatkan pembakaran.

Katanya sebelum minyak itu dijadikan petrol dan diesel, ia perlu dicampur dengan beberapa pemangkin sesuai untuk mendapatkan stabilitinya.

Beliau berkata potensi kajiannya mempunyai masa depan cerah kerana spesies tanaman melon mudah ditanam di negara ini dan boleh mencapai tahap kematangan dalam tempoh tiga bulan.

Kajian yang dimulakannya bulan lalu melalui geran penyelidikan UPM didorong oleh inisiatif untuk mencari sumber tenaga alternatif bahan buangan setelah menyedari kos bahan api dunia semakin meningkat.

“Segalanya bermula apabila saya terbaca dalam Internet bagaimana penduduk Afrika menghasilkan minyak berkenaan untuk memasak. Dari situ timbul idea saya untuk kitar semula bagi kegunaan jentera,” kata Mariah yang banyak dibantu oleh Dr Lokman Chua dari Jabatan Kejuruteraan Kimia.

Beliau mengajukan proposal kajiannya kepada syarikat petroleum tempatan untuk kerjasama lanjutan tetapi pihak syarikat itu masih belum memberi jawapan sehingga kini.

“Bagaimanapun, jika minyak ini dijadikan petrol, saiz karburator kenderaan perlu diubahsuai terlebih dahulu manakala diesel tidak memerlukan transformasi enjin,” katanya.

Mariah berkata kajiannya adalah langkah awal dan akan memakan masa antara setahun dan dua tahun untuk disaring dalam beberapa ujian saintifik di makmal sebelum boleh dikomersialkan.

Saintis itu berkata kajiannya menjurus kepada diesel dahulu kerana tenaga itu digunakan dengan meluas dalam sektor pertanian, sementara penghasilan petrol akan dibuat kemudian kerana eksperimennya lebih rumit.

Egusi atau nama saintifiknya `Colocynthis Citrullus Lanatus’ adalah satu daripada 300 spesies keluarga Melon terdapat di kawasan tropika Afrika dan mempunyai fizikal biji sama seperti biji Labu. — Bernama