Wednesday, July 2, 2008

Usah ghairah berhutang dengan kad kredit

Oleh WAN MARZUKI WAN RAMLI

MENURUT laporan akhbar, jumlah individu muflis kerana hutang kad kredit pada tahun lalu ialah 1,873 orang.

Pemilik kad kredit di negara ini gagal menjelaskan tunggakan pinjaman yang mencecah RM21.6 bilion sehingga September tahun lalu. Daripada jumlah itu, sebanyak RM591 juta adalah pinjaman tidak berbayar (NPL).

Nampaknya trend menggunakan kad kredit di kalangan golongan muda kini sudah menjadi satu kemestian bagi menunjukkan status dan gaya hidup moden tanpa menyedari mereka bakal menjadi 'hamba' hutang seumur hidup.

Kesemuanya itu gara-gara gagal menguruskan penggunaannya dengan baik dan berhemah.

Mutakhir ini penggunaan kad kredit untuk urusan pembelian minyak di stesen minyak seluruh negara meningkat antara 15 hingga 20 peratus sejak penstrukturan semula subsidi minyak diumumkan bulan lepas.

Penggunaan kad kredit paling ketara adalah bagi urusan pembelian diesel yang kini mencecah 95 peratus, berbanding sebelum ini hanya 80 peratus. Ke- banyakan pengguna diesel adalah kenderaan perdagangan.

Berkuat kuasa 4 Jun lalu, harga petrol dan diesel mencatatkan kenaikan masing-masing 40.6 peratus dan 63.3 peratus. Pembelian petrol menggunakan kad kredit pula meningkat kepada 75 pe- ratus daripada 55 peratus.

Malah, laporan menyebut penduduk kawasan luar bandar yang sebelum ini jarang menggunakan kad kredit mencatat peningkatan hingga 30 peratus.

Kita akui ramai rakyat beralih kepada penggunaan kad kredit sama ada kerana kekurangan tunai berikutan kenaikan kos sara hidup atau cuba berjimat menggunakan wang tunai.

Hutang kad kredit boleh dibayar pada akhir bulan meskipun dihambat dengan kadar faedah.

Di stesen minyak pula adalah lebih selesa menggunakan kad kredit kerana mereka boleh terus mengisi minyak tan- pa perlu ke kaunter yang kadang-kadang terpaksa beratur, terutama apabila ramai pelanggan.

Seperti juga pasar raya atau premis perniagaan lain, pengusaha stesen minyak turut membayar komisen sekurang-kurangnya satu peratus kepada bank apabila pelanggan menggunakan kad kredit.

Beban pengusaha stesen minyak pula sudah dikurangkan berikutan keputusan kerajaan menaikkan margin komisen jualan petrol kepada 12.19 sen seliter manakala diesel 7 sen seliter mulai, berbanding 9.5 sen dan 4.5 sen sebelum ini.

Dalam keghairahan menggunakan kad kredit, ramai pula yang tidak sedar kadar faedah yang dikenakan 1.5 peratus sebulan atau 18 peratus setahun iaitu satu jumlah cukup tinggi. Caj akan dikenakan jika individu mengeluarkan wang tunai menggunakan kad kredit di ATM.

Mengikut statistik Bank Negara Malaysia (BNM), sebanyak 15,000 kes muflis dicatatkan pada 2006 dan jumlah itu menurun sedikit kepada 13,353 tahun lalu.

Sindrom berhutang boleh menyebabkan individu terjebak kepada masalah lebih besar bukan saja kepada individu terbabit malah keluarga mereka.

Masalah hutang yang serius boleh menyebabkan individu mengalami masalah tidak mendapat kenaikan pangkat jika berkhidmat dengan sektor awam dan sektor swasta.

Apabila masalah hutang sudah kronik timbul gejala sosial lain seperti keruntuhan rumah tangga, anak terbiar, pelajaran terabai dan pelbagai masalah lain.

Satu program pendidikan dan kesedaran mengenai kaedah menguruskan kewangan perlu diperkenalkan bagi me- ngelak rakyat, terutama generasi muda boros berbelanja.

Ini kerana kelulusan mudah bagi permohonan kad kredit dan pinjaman juga banyak mendorong gaya berbelanja di luar kemampuan yang akhirnya menyebabkan kesukaran menguruskan kewangan peribadi.

Usahlah terjebak dalam terjebak dalam hutang kad kredit. Eloklah kita ikuti pepatah Melayu iaitu 'ukur baju di badan sendiri' dengan berbelanja mengikut kemampuan sendiri dan bukan melebihi pendapatan.

No comments: