Penyertaan masyarakat pelbagai kaum bukti kejayaan pelopor industri amanah
KEMERDEKAAN membawa pengertian yang amat besar kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) walaupun ia hanya ditubuhkan 21 tahun selepas negara menikmati kemerdekaan.
Dalam tempoh hampir 30 tahun penubuhannya, seperti organisasi lain yang ditubuhkan kerajaan sebagai alat penting Dasar Ekonomi Baru (DEB), banyak pengalaman dan cabaran dilalui PNB dalam memikul tanggungjawab berat membantu meningkatkan pencapaian ekonomi Bumiputera.
PNB berbangga kerana berpeluang untuk turut sama terbabit secara langsung membantu kerajaan menstruktur semula masyarakat Malaysia menerusi pemilikan saham Bumiputera dalam sektor korporat dan memberi ruang kepada profesional Bumiputera untuk menyumbang secara langsung dalam penciptaan dan pengurusan kekayaan negara.
Usaha PNB bermula dengan pengambilalihan sebanyak mungkin saham syarikat yang berpotensi dan berdaya maju dari 1978, selaras matlamat 30 peratus pegangan ekuiti Bumiputera.
Untuk memastikan setiap lapisan masyarakat Bumiputera yang rata-ratanya pada masa itu jauh ketinggalan dari segi pencapaian ekonomi dapat melabur dalam syarikat terbabit, PNB melancarkan dana unit amanah yang pertama pada 20 April 1981, iaitu Skim Amanah Saham Nasional (ASN).
Ciri unik dana unit amanah yang diuruskan PNB iaitu seperti pelaburan harga tetap serendah RM10 dan kecairan seperti simpanan bank, berjaya menarik minat dan menimbulkan keyakinan kepada setiap lapisan masyarakat Bumiputera untuk melabur dalam ASN.
Hasilnya, lebih 800,000 pemegang akaun di kalangan masyarakat Bumiputera melabur sebanyak RM540 juta unit amanah dalam tahun pertama ASN dilancarkan, satu pencapaian yang tidak diduga ketika itu.
Bukan saja setiap lapisan masyarakat Bumiputera secara tidak langsung menjadi pemegang saham dalam syarikat yang sebelum ini mungkin tidak pernah diimpikan, malah sikap suka menabung berjaya disemaikan.
Sejak itu, PNB tidak lagi menoleh ke belakang, bahkan terus menerus melipatgandakan usaha dengan melancarkan produk tabung unit amanah yang menawarkan ciri lebih menarik dan kompetitif serta mengadakan program pendidikan berterusan dan dinamik mengenai pelaburan selain pengurusan kewangan.
Kini, selepas hampir 30 tahun beroperasi, PNB sudah mengumpul dan mengurus dana bernilai lebih RM100 billion. Lebih kurang RM70 bilion daripada jumlah itu adalah pelaburan yang dibuat oleh lebih lapan juta pemegang akaun, iaitu kira-kira 90 peratus adalah pelabur Bumiputera. Bermula dengan hanya satu dana iaitu ASN, PNB kini mempunyai 29 dana termasuk dua dana amanah hartanah.
Walaupun banyak cabaran dihadapi PNB seperti kegawatan ekonomi pada akhir 1980-an dan 1990-an, setiap tahun sejak 1981 hingga kini, pengagihan pendapatan unit amanah terus menerus dibayar kepada setiap pelabur.
Sehingga kini sejumlah RM55 bilion pendapatan sudah diagihkan. Pengagihan pendapatan ini membolehkan pelabur menabung untuk pelbagai keperluan asas seperti pendidikan anak dan simpanan hari tua.
Di samping itu, walaupun tujuan utama PNB ditubuhkan adalah untuk kepentingan Bumiputera, PNB juga memberi peluang kepada pelabur bukan Bumiputera dengan membenarkan mereka melabur dalam sesetengah produk yang dilancarkan.
PNB bersyukur kerana masyarakat bukan Bumiputera juga memberikan sambutan memberangsangkan kepada dana seperti Amanah Saham Malaysia (ASM) dan Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 dengan setiap kali unit baru dibuka, ia habis dijual dalam masa singkat. Ia memberi gambaran bahawa masyarakat bukan Bumiputera juga memberi kepercayaan kepada PNB untuk menguruskan dana mereka.
Untuk memastikan penyertaan dalam skim yang diuruskan PNB untuk masyarakat termiskin, PNB melancarkan Skim Amanah Saham Bumiputera-Program Pembangunan Rakyat Termiskin (Skim ASB-PPRT) pada 1992 bagi memberi peluang kepada golongan ini melabur dalam Skim ASB dan menikmati pengagihan kekayaan korporat.
Semuanya bukanlah suatu yang mudah untuk dicapai, tetapi bukan juga sesuatu yang mustahil jika kita dapat memerdekakan fikiran kita dan yakin dengan kemampuan diri kita. Oleh itu, PNB sentiasa merancang dan melaksanakan strategi mantap mengikut suasana masa dan keadaan ekonomi dunia.
Antara langkah strategik diambil PNB ialah membeli saham yang memberikan kepentingan kawalan dalam syarikat peneraju ekonomi serta menggalakkan kegiatan penyatuan dan penstrukturan semula syarikat kumpulan PNB dalam usaha menambah nilai syarikat terbabit.
Masyarakat Bumiputera menerusi PNB, kini menguasai syarikat besar seperti Malayan Banking Berhad, Sime Darby Berhad, Kumpulan Guthrie Berhad, Golden Hope Plantations Berhad, UMW Holdings Berhad, NCB Holdings Berhad, Island & Peninsular Berhad, Chemical Company of Malaysia Berhad dan banyak lagi.
Dari segi pembangunan modal insan pula, PNB sudah melantik profesional Bumiputera yang berpengetahuan dan berpengalaman sebagai pengarah nominee dalam syarikat yang PNB mempunyai pegangan saham majoriti.
Lebih daripada itu, PNB akan memastikan profesional Bumiputera yang berkelayakan tinggi dan berpengalaman dilantik sebagai pengurusan tertinggi dalam syarikat yang dikuasai PNB. Sudah terbukti mereka ini bukan setakat jaguh kampung, malah ada antara mereka berjaya membawa syarikat yang mereka terajui melabur dengan jayanya di luar negara selain mengambil alih syarikat luar negara.
Dalam usaha PNB mengukuhkan kedudukannya sebagai pelopor industri unit amanah di negara ini, PNB juga melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa dengan mengambil alih Singapore Unit Trusts Limited dan membuka pejabat global pertama di London serta dalam perancangan untuk membuka beberapa pejabat di beberapa pusat kewangan dunia.
Selain pengagihan pendapatan, PNB percaya bahawa pendidikan adalah elemen amat penting untuk menaikkan taraf ekonomi rakyat. Oleh itu, sejak pelancaran tabung amanah yang pertama, sebagai memenuhi tanggungjawab sosial, PNB mengadakan program pendidikan yang progresif dan dinamik secara percuma dan berterusan.
Bermula dengan memberi fokus kepada kempen di televisyen, akhbar dan majalah, di samping wakil PNB sendiri turun padang bertemu dengan masyarakat, kini, PNB melaksanakan program yang menjurus kepada pendidikan pelaburan bersepadu untuk melahirkan masyarakat celik pelaburan.
Tiada lapisan masyarakat yang ketinggalan daripada menerima manfaat daripada program itu, daripada kanak-kanak dan pelajar sekolah rendah hingga kepada golongan profesional.
Sebagai contoh, siri Along untuk kanak-kanak, Kelab Pelaburan Bijak PNB untuk pelajar sekolah menengah, Kuiz Pelaburan PNB untuk pelajar sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan badan beruniform, dan ‘World Investment Challenge’ untuk golongan profesional, pengurus dana dan pengamal kewangan dari seluruh pelosok dunia.
PNB juga sudah menubuhkan ‘PNB Investment Institute’ untuk golongan profesional. Program ‘Minggu Saham Amanah Malaysia’ yang diadakan setiap tahun pula dianjurkan untuk setiap lapisan masyarakat dan mendapat sambutan sangat baik, dengan dikunjungi lebih sejuta pengunjung.
Sebagai warga korporat, PNB berasa terharu dapat memberi sumbangan kepada rakyat, khasnya masyarakat Bumiputera dalam memerdekakan pemikiran mereka, bukan saja mengenai kepentingan pelaburan dan pengurusan kewangan, malah lebih penting lagi keyakinan bahawa masyarakat Bumiputera, berkeupayaan menjadi peneraju dalam bidang yang kita ceburi.
Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman adalah Presiden dan Ketua Eksekutif PNB
Monday, September 10, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment