Friday, February 27, 2009

USM teraju Apex memuaskan

PULAU PINANG 26 Feb. - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin puas hati dengan perkembangan Universiti Sains Malaysia (USM) selaku peneraju utama Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex) di negara ini.

Beliau berkata, sepanjang empat bulan lalu, USM menunjukkan komitmen dan kesungguhan dengan mewujudkan Pusat Nadi Apex bagi memantau pelaksanaan serta mengukur pencapaiannya bagi memastikan ia berada di landasan yang betul.

Menurutnya, USM juga mempunyai tanggungjawab untuk menterjemahkan matlamat dan pelaksanaan Apex sejajar usaha memastikan universiti itu menjaga reputasinya sebagai antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tertua di negara ini.

''Dalam membangun dan melaksanakan struktur pentadbiran berteraskan autonomi bagi universiti bertaraf Apex, tujuh aspek utama sedang diperincikan di pelbagai peringkat iaitu perundangan, akademik, sumber manusia, kemasukan pelajar, kewangan, penyelidikan dan penjanaan pendapatan.

''Saya difahamkan, sebahagian daripada jawatankuasa tersebut telah pun digerakkan dan pelaksanaan menerusi pusat nadi itu dan yang lain adalah penting bagi mengetahui sama ada ia berjaya dilaksanakan atau pun tidak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Agenda Inisiatif Pembangunan Keusahawanan Pelajar (Sedia), Dasar Pembangunan Siswa dan Pelan Transformasi Apex di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah USM, Tan Sri Ani Arope dan Naib Canselor USM, Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak.

Mengulas lanjut beliau berkata, selain memantau pelaksanaan USM menerusi Pusat Nadi Apex, universiti itu juga perlu mengemukakan petunjuk prestasi utama (KPI) dan pada masa sama kejayaan turut dinilai melalui persekitaran USM.

''Saya percaya USM mampu untuk menggalas tanggungjawab selaku peneraju utama Apex dengan melaksanakan ia secara serius sekali gus menjadi contoh terbaik kepada universiti lain di negara ini," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pemberian peruntukan RM10 juta kepada Pusat Penyelidikan Arkeologi Global di USM yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia.

Tambahnya, peruntukan yang diberi pihak kementerian itu adalah untuk menaik taraf pusat tersebut dan pada masa sama dapat membantu melonjakkan pengajian tinggi di negara ini ke persada dunia.

USM sebelum ini dipilih sebagai universiti Apex pertama pada 3 September tahun lalu selepas mengenepikan tiga lagi universiti yang turut disenarai pendek iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Saturday, January 17, 2009

Tabu atau perlu pendidikan seks di sekolah?

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
(WARTAWAN UTUSAN)

KESESUAIAN dan kesan pendidikan seks untuk pelajar sekolah menengah di Malaysia tidak habis-habis dibincangkan dan sehingga kini masih belum ada pelaksanaan pendidikan seks secara formal di sekolah.

Di dalam sebuah laman web, seorang pengguna bertanya mengenai keburukan ajaran pendidikan seks di kalangan pelajar sekolah menengah.

Menjawab soalan tersebut, seorang pengguna lain berpendapat sambil menegaskan tiada sebarang kesan buruk mengenai pengajaran subjek itu, bahkan ia perlu dimulakan lebih awal lagi.

Kata pengguna tersebut, kesan buruk pendidikan seks bergantung kepada apa yang diajar di sekolah iaitu hanya jika remaja tidak menerima maklumat yang lengkap.

Pendedahan yang tidak menyeluruh atau terlalu minimum, tambahnya, hanya meluapkan lagi rasa ingin tahu yang akhirnya boleh meningkatkan kejadian seks bawah umur, jenayah rogol juvana dan lain-lain.

Apatah lagi, dalam usia remaja, pengaruh-pengaruh lain telah banyak mendedahkan remaja dengan seks dan sebagainya dan jika tidak dibimbing dengan baik, mereka boleh terjebak dalam ketagihan bahan lucah dan seumpamanya.

Kenyataan pengguna internet tersebut memang ada kebenarannya apatah lagi dengan berleluasanya bahan lucah yang terlalu mudah didapati oleh sesiapa pun di negara kita termasuk remaja dan kanak-kanak.

Penerbitan dan pengedaran bahan bacaan lucah telah lama diharamkan dari Malaysia, tetapi tiada siapa yang mampu mengawal akses terhadap bahan lucah dari internet.

Sementara itu, pasaran VCD dan DVD lucah di Malaysia juga amat berleluasa dan bukan berpunca daripada kurangnya penguatkuasaan tetapi akibat sikap masyarakat.

Sekiranya tiada permintaan tiadalah pasaran, itu adalah hukum ekonomi yang paling asas.

Bayangkan senario benar ini. Seorang lelaki yang sedang berjalan di Jalan Petaling di ibu kota dikerumuni bak semut oleh penjual-penjual VCD.

Tanpa segan silu mereka menayangkan gambar-gambar kulit VCD lucah tanpa menghormati teman wanita di sebelah lelaki tersebut.

Jadi dengan akses bahan lucah yang begitu mudah, bagaimana remaja boleh memendamkan rasa ingin tahu semula jadi dengan cara yang betul sedangkan soal ini masih tabu untuk perbincangan terbuka?

Remaja yang berusia di antara 11-18 tahun merupakan kelompok yang sedang mengalami perkembangan dan perubahan fizikal dan emosi khasnya berkaitan seksual.

Ini akan membuatkan mereka cenderung mendapatkan maklumat daripada sumber tidak rasmi sekiranya gagal mendapatkan maklumat formal terutama dari sekolah atau pengamal kesihatan.

Ini termasuk melalui perbincangan dengan rakan sebaya, bahan bacaan seks atau percubaan secara perlakuan mastubasi, bercumbu bahkan terus melakukan hubungan seks.

Kesannya kes-kes jenayah seksual, kehamilan bawah umur, jangkitan STD hingga kepada kes pembunuhan melibatkan pengguguran haram dan bayi-bayi comel yang mati dibuang merata-rata melibatkan remaja banyak terpampang di muka akhbar.

Antara faktor penting yang menyumbang kepada isu sosial ini ialah kurangnya pengetahuan terhadap kesihatan seks remaja.

Persoalan

Akhbar Kompas pernah melaporkan 94 peratus remaja Indonesia dahagakan maklumat mengenai persoalan dan kesihatan seks namun tidak mendapat maklumat yang tepat.

WHO pula telah menegaskan dua kepentingan utama yang diperolehi daripada kesedaran pendidikan seks.

Pertama, mengurangkan bilangan remaja yang melakukan seks haram.

Kedua, melindungi mereka yang mengamalkannya daripada jangkitan STD seperti AIDS, chlamidia, gonorea, sifilis dan sebagainya.

Pendidikan seks menjadi lebih penting apatah lagi kajian WHO mendapati remaja perempuan (berusia 14-19 tahun) lebih mudah dijangkiti STD berbanding remaja lelaki dengan kadar 2:1.

Jadi, bagaimanakah cara pendidikan seks secara formal yang paling sesuai diperlukan oleh remaja kita?

Penyelidik The Heritage Foundation berpendapat pendidikan seks yang mengambil pendekatan menahan diri daripada seks (abstinance) lebih sesuai berbanding pendekatan amalan seks selamat yang lebih banyak menyentuh soal fizikal.

Menurut Rector R.E., Pardue M. G. dan Martin S. pula program menahan diri patut mengajar tentang kepentingan asas emosi dan psikologi dalam seksualiti manusia secara semula jadi dan bukannya aspek fizikal.

Katanya, remaja patut difahamkan bahawa asas kebahagiaan seksual wujud kualiti asas perkahwinan iaitu keintiman, kasih sayang dan komitmen.

Ini kerana jika menurut cara yang benar-benar betul, aktiviti seksual akan mendorong kepada pembinaan ikatan emosional jangka masa panjang di antara dua individu.

Oleh itu, program pendidikan seks mesti menggalakkan menahan diri daripada perilaku seks sepanjang peringkat remaja dan sebaiknya sehingga berumah tangga.

Topik pendidikan mesti menegaskan bahawa remaja yang terjebak dalam seks secara kasual bukan hanya akan memberi ancaman hamil dan jangkitan STD tetapi hilang kebolehan membina perhubungan kasih sayang selepas dewasa.

Maka, pendidikan seks seharusnya diperlukan di sekolah-sekolah bagi membimbing remaja membuat persediaan ke arah membina perkahwinan dan institusi kekeluargaan yang sihat.

Walau apa pun, kajian mendapati 62 peratus warga Amerika setuju menjauhi seks haram adalah jangkaan standard kepada semua peringkat umur pelajar sekolah seluruh dunia.

Tuesday, January 13, 2009

Konsep kuasa veto dalam PBB perlu dikaji semula

Minda Pengarang:


BERIKUTAN kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak terhadap keganasan Israel disebabkan kuasa veto Amerika Syarikat (AS), Malaysia semalam mendesak Majlis Keselamatan itu segera membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serangan ketenteraannya ke atas Semenanjung Gaza dan menubuhkan Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi menyiasat dan mendakwa penjenayah perang Israel. Desakan itu terkandung dalam 10 usul dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang khas Parlimen yang diadakan bagi mengecam keganasan rejim Zionis di Gaza. Usaha berterusan Kuala Lumpur yang turut bersandarkan kepada sokongan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) - dua badan dunia yang pernah dipimpin Malaysia - diharap dapat mempengaruhi keadaan, tetapi kita tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap usaha itu. Bayangkan, sidang Majlis Keselamatan PBB pada 9 Januari lalu - yang berjaya diadakan atas desakan Malaysia dan Brazil - meluluskan satu ketetapan mengisytiharkan gencatan senjata tanpa syarat dan memaksa pihak Israel berundur dari bumi Gaza, tetapi sehingga kini masih gagal dilaksanakan, kerana AS terus menggunakan kuasa vetonya iaitu kali ke-28 dalam tempoh 36 tahun sejak 1973, untuk menyekat Majlis Keselamatan supaya tidak dapat bertindak. Pada sidang itu, semua 14 negara anggota Majlis Keselamatan PBB mengundi menyokong resolusi berkenaan melainkan AS yang mengambil keputusan mengundi berkecuali.

Kita berpendapat sudah tiba masanya konsep menggunakan kuasa veto itu dikaji semula kerana ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan negara atau politik pihak tertentu, tanpa mengambil kira jenayah dilakukan seperti mana tingkah laku Israel terhadap Palestin. Syor Malaysia supaya ditubuhkan Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi menyiasat dan mendakwa penjenayah Perang Israel seharusnya menerima sokongan dunia. Jika bekas pemimpin Serbia, Radovan Karadzic boleh dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Perang PBB atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai rakyat Muslim Bosnia ketika perang 1992-95, apa bezanya untuk melakukan tindakan sama terhadap pemimpin Israel sekarang. Masyarakat Palestin yang tertindas sejak sekian lama memerlukan pembelaan dan umat Islam sejagat sudah melihat penaklukan ke atas Afghanistan oleh tentera Russia pada 1979, konflik di Kashmir, kekejaman puak Serb di Bosnia-Herzegovina dan tindakan kejam Russia di Chechnya sebagai penganiayaan ke atas umat Islam. Kita tidak boleh mengharapkan bakal Presiden AS, Barack ‘Hussein’ Obama untuk membawa sinar baru di Palestin kerana beliau tidak dapat berbuat apa-apa, apatah lagi parti Demokrat didukung oleh pelobi kuat Yahudi di AS, tambahan pula Obama meletakkan ramai ekstremis Yahudi dalam Kabinetnya. AS mengaku sebagai negara demokrasi terulung di dunia, tetapi mengapa ia menolak keputusan pilihan raya umum di Palestin pada 2006 yang memberi kemenangan kepada parti Hamas. Apa yang kita harapkan supaya desakan Malaysia semalam mendapat reaksi positif masyarakat dunia.

Monday, January 12, 2009

AS layak digelar samseng dunia

Oleh Manja Ismail


Bush tidak hirau protes antarabangsa terhadap kezaliman rejim Israel

APABILA Barack Hussein Obama memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) November lalu, ramai terutama di kalangan pemimpin Islam di seluruh dunia, menaruh harapan bahawa pemimpin kulit hitam pertama dan berasal daripada keturunan Islam itu, mempunyai kedudukan paling baik untuk menangani isu Palestin-Israel.

Bagaimanapun mereka lupa hakikat sejarah di Rumah Putih, sekurang-kurangnya sejak lebih setengah abad lalu, bahawa tiada siapa pun dapat bertahan di Oval Office tanpa tunduk kepada telunjuk pelobi Yahudi dan Obama juga tidak terkecuali.

Tindakan rejim Tel Aviv melancarkan keganasan terbaru dan terburuk ke atas Gaza beberapa minggu sebelum Obama mengangkat sumpah Presiden adalah isyarat jelas pelobi Yahudi sama ada kepada dunia atau Obama sendiri, bahawa Rumah Putih boleh mempunyai presiden pertama dari keturunan kulit hitam atau siapa saja tetapi tidak mungkin mampu mengubah dasar AS terhadap Israel.



Pendirian berkecuali AS ketika pengundian resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang 'menuntut diadakan gencatan senjata segera, berpanjangan dan dipatuhi sepenuhnya, seterusnya membawa kepada pengunduran seluruh tentera Israel dari Gaza' minggu lalu, jelas memperlihatkan pengaruh Yahudi di Washington. Semua tahu Kongres AS dan Rumah Putih sebenarnya didalangi oleh pengaruh kaum Yahudi.

Pengaruh pelobi Yahudi bukan setakat itu, malah merangkumi hampir semua sektor penting di negara kuasa besar itu. Apabila bekas Senator AS, Paul Findley menyiapkan bukunya 'They Dare To Speak Out', beliau terpaksa menjaja manuskripnya ke merata tempat sebelum dapat dicetak kerana syarikat penerbitan AS dimonopoli oleh kaum Yahudi.

Presiden George W Bush minggu lalu, bukan saja tidak mengendahkan protes dunia terhadap kezaliman Israel di Gaza tetapi menggesa semua pihak menekan Hamas supaya menghentikan serangan roket ke negara Yahudi itu.

Pada pandangan AS, rejim Yahudi tidak bersalah dengan apa yang berlaku di Gaza sekarang walaupun tindakan Israel terang-terangan bercanggah dengan etika peperangan seperti menggunakan serbuk 'phosphorous' semalam. PBB sudah kehilangan fungsinya apabila AS sejak dulu tidak lagi menghormati resolusinya.

Isu Palestin tidak akan selesai kerana AS yang mempunyai kuasa veto tidak mahu ia diselesaikan mengikut kehendak antarabangsa. Selayaknya AS digelar samseng dunia dengan Israel sebagai 'barua'nya di Asia Barat.

Soalnya apakah kita mahu membiarkan keadaan itu terus berlaku? Jawapannya tentu tidak apalagi yang menjadi mangsanya ialah saudara seagama. Bagaimanapun AS-Israel tidak mungkin mengubah pendirian mereka selagi dunia terutama negara Islam dan Arab sendiri tidak bersatu menentang keganasan itu. Faktor inilah yang menyebabkan negara Islam sejak sekian lama menjadi bahan percaturan AS dan rejim Yahudi.

Jika rakyat Palestin sendiri tidak sekata dalam menghadapi rejim Tel Aviv, bagaimana kita boleh mengharapkan negara Islam lain. Begitupun ia bukan bermakna kita harus berdiam diri melihat jenayah kemanusiaan di Gaza sekarang. Penduduk Palestin di wilayah Gaza sudah menderita sejak sekian lama akibat pendudukan Israel, yang turut mengenakan sekatan selama 18 bulan ke atas semua pintu sempadannya.

Bantahan terhadap kezaliman rejim Yahudi dan sumbangan kepada Tabung Gaza, sekurang-kurangnya memperlihatkan kepada dunia bahawa kita rakyat Malaysia tanpa mengira agama memandang berat dengan apa yang berlaku di Gaza. Dan sebagai rakyat, kita berharap Sidang Khas Parlimen mengenai Gaza hari ini menetapkan pendirian dan inisiatif untuk menggerakkan masyarakat antarabangsa menangani konflik di wilayah itu secara berkesan.

Sidang itu adalah lanjutan daripada inisiatif lain Kuala Lumpur untuk menghentikan kekejaman berlanjutan oleh rejim Tel Aviv yang sejak 27 Disember lalu menyerang penduduk Palestin serta pelbagai kemudahan di wilayah itu, sekali gus mengancam nyawa 1.5 juta penduduknya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan memulakan ucapan, disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Turut dijadualkan berucap ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum dibahaskan oleh Ahli Parlimen dan digulung oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Kita harus percaya kekerasan dan ketenteraan masih boleh ditewaskan dengan demokrasi dan diplomasi. Demokrasi membenarkan kita bersuara, mengeluarkan pendapat malah mengkritik apa saja yang wajar. Kita berhak menyuarakan pendapat kita dan AS berhak menyuarakan pendapatnya. Justeru, sidang khas Parlimen hari ini tidak seharusnya dipenuhi ucapan retorik kosong sebaliknya diisi dengan cadangan bernas yang mampu diterima dan dilaksanakan masyarakat antarabangsa.

Lebih penting lagi, sidang khas hari ini mesti mencerminkan Parlimen Malaysia tanpa mengira perbezaan politik, bersatu dalam menyatakan pendiriannya terhadap kekejaman Israel dan sikap AS. Ini amat penting kerana hampir semua perkara di negara ini sekarang dipolitikkan.

Malah, perkembangan di Gaza pun sudah dipolitikkan apabila Pas, dalam kempennya di pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu sekarang, menyamakan hubungannya dengan Umno seperti pergerakan Hamas dan Fatah di Palestin. Walaupun dari segi saingan politik, dakwaan itu mempunyai asas, ia juga menggambarkan perpaduan umat Islam di negara ini walaupun untuk menghadapi musuh bersama, bukan agenda parti itu.

Soalnya, jika Pas dan Umno umpama Hamas dan Fatah, siapakah pula rejim Zionisnya?

Palestin diserang kerana tanah

Oleh MOHD. ARIF ATAN

JENAYAH perang oleh rejim Zionis Israel terhadap 1.5 juta penduduk di wilayah Tebing Gaza yang masuk minggu ketiga begitu meruntun jiwa rakyat Malaysia amnya dan masyarakat Melayu khasnya.

Umumnya, masyarakat Melayu begitu sensitif terhadap isu Palestin sedangkan pada masa yang sama lebih 300 juta jiwa di 23 buah negara Arab sendiri tidak peduli bangsanya 'diratah' di depan mata. Majoriti rejim dan kuasa Arab termasuk Arab Saudi bacul untuk bertindak mematahkan kebiadapan Zionis. Mengapa sehingga kini mereka tidak berpakat menghantar beramai-ramai tentera dan rakyat masing-masing menentang Israel?

Apa yang berlaku, kerajaan Emiriah Arab Bersatu tetap selesa 'bertapa' di Burj al-Arab. Mesir dan Syria pula belum bersedia membuka pintu untuk pelarian Palestin bagi tujuan perlindungan. Malah, Jordan dan Turki masih mempunyai hubungan diplomatik dengan rejim Zionis. Ironinya, Hugo Chavez pula bertindak sebagai pemimpin 'jantan' sebenar apabila menghalau Duta Israel ke Venezuela, Shlomo Cohen dan kakitangan kedutaan itu pada 6 Januari lalu.

Kita perlu benar-benar memahami situasi hujanan puluhan bedilan peluru dan mortar tentera Israel sejak 27 Disember itu secara lebih menyeluruh. Ini kerana 'banjir' darah di Semenanjung Gaza bukan sekadar tindakan kebinatangan Zionis untuk memerangi Islam.

Malah, Gaza yang luasnya hanya 360 km persegi itu juga tidak memiliki kepentingan ekonomi yang signifikan kepada Israel. Israel sebenarnya laparkan tanah atas agenda mahu meluaskan lagi wilayah Israel Raya yang mula terbina secara haram pada 1948. Walaupun keturunan bangsa Palestin telah lama menetap di tanah itu sejak 1500 tahun sebelum bani Israel datang tetapi tanah Palestin tetap didakwa hak nenek moyang mereka.

Sewaktu pemerintahan Empayar Uthmaniyyah rakyat tanah Palestin yang terdiri daripada pelbagai agama, bahasa dan bangsa hidup aman dan selamat selama lebih kurang 400 tahun. Oleh sebab itu, apa yang berlaku di Tebing Gaza mesti dijadikan iktibar betapa pentingnya kedaulatan tanah milik keluarga, bangsa dan negara dipertahankan.

Persoalannya, adakah kita mengambil iktibar daripada serangan Israel dengan memelihara hak milik dan kelangsungan tanah milik kita? Baik budi yang tidak kena pada tempatnya mesti dielak sebelum hak milik tanah yang masih berbaki di tangan kita tidak tergadai begitu sahaja.

Tindakan kerajaan negeri Perak misalnya yang begitu mudah memberikan tanah kepada bukan Melayu amat berisiko menjerumuskan bangsa Melayu ke kancah yang sama seperti yang ditempuhi oleh bangsa Palestin hari ini. Begitu juga 'kemaraan' mudah para pelabur dari Singapura yang disokong kuat di belakangnya Israel melalui wilayah pembangunan di selatan tanah air.

Hakikatnya, generasi cucu cicit kita pada masa akan datang juga tidak mustahil akan dianiaya, dihalau dan dibunuh seperti mereka di Palestin jika pemimpin dan bangsa kita gagal memahami apa yang tersirat di sebalik episod pilu tangisan dan teriakan Gaza hari ini.

Monday, December 15, 2008

Harga petrol, diesel turun kali ke-7

PUTRAJAYA 15 Dis. – Kerajaan hari ini menurunkan lagi harga petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini, kali ketujuh sejak Ogos lalu sejajar dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan berkata, petrol RON97 diturunkan daripada RM1.90 kepada RM1.80 seliter, manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing daripada RM1.80 kepada RM1.70 sen seliter.

“Penurunan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter ini adalah sejajar dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran.

“Berkuat kuasa tarikh yang sama (tengah malam ini) juga, harga petrol dan diesel bersubsidi bagi nelayan diturunkan sebanyak 13 sen seliter daripada RM1.43 kepada RM1.30 seliter seperti mana yang telah diumumkan sebelum ini,” kata Perdana Menteri.

Penurunan harga petrol dan diesel itu dibuat ketika harga minyak mentah di pasaran dunia hari ini berlegar pada kadar AS$47.35 (RM165.73) setong.

Harga minyak petrol dan diesel mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

Bagaimanapun dua bulan kemudian iaitu pada 23 Ogos, kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen menjadikannya RM2.55 seliter.

Friday, December 12, 2008

Menangani bencana tanah runtuh di kawasan tinggi


KEJADIAN tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dikaitkan dengan projek pembangunan yang menjejaskan struktur kawasan tinggi.

Ekosistem sensitif mudah terjejas, ancam penduduk jika pembangunan dibiarkan tanpa kawalan

DI sebalik timbunan tanah dan runtuhan bangunan di sekitar kawasan Bukit Antarabangsa, banyak isu yang masih belum terjawab. Dalam kekalutan bencana baru menimpa, mangsa dan penduduk masih tertanya-tanya mengenai masa depan mereka dari segi penempatan dan keselamatan harta benda.

Pihak berkuasa juga nampaknya masih belum pasti dari segi tindakan konkrit selanjutnya sama ada penempatan itu perlu dikosongkan sepenuhnya atau hanya buat seketika sehingga keadaan ekosistem menjadi lebih stabil dan kepastian dicapai dari segi tindakan susulan. Soal ganti rugi juga menjadi isu yang dibahaskan dengan hangat dalam media massa.

Dalam memahami dan menangani tragedi ini, kita perlu kembali kepada asas pengurusan ekosistem secara bersepadu. Ekosistem terbahagi kepada empat komponen utama iaitu geosfera (tanah, batuan, kontor), hydrosfera (laut, sungai, tasik, alur air, air bawah tanah), atmosfera (udara) dan biosfera (hidupan dan tumbuhan).

Ramai pakar alam sekitar membuat perumpamaan bahawa sesebuah ekosistem adalah satu jasad hidup. Komponen ekosistem adalah panca indera jasad berkenaan. Jika komponen ekosistem dicemari atau dimusnahkan samalah seperti mencedera atau menghapuskan salah satu panca indera pada jasad alam itu.

Namun demikian, pembangunan sesebuah ekosistem boleh juga diumpamakan seperti menghias atau memperelok jasad seperti kita menggunting rambut atau merampingkan badan.

Pada hemat saya, pembangunan sesebuah ekosistem boleh dibahagikan kepada lima kelas. Kelas pertama ialah ekosistem seimbang yang mudah dibangunkan kerana impak pembangunan terhadap komponen alam sekitar pada tahap minimum. Ini mungkin kerana ekosistem itu tidak mempunyai komponen unik dan ciri istimewa yang perlu dilestarikan.

Kelas kedua ialah ekosistem yang boleh terjejas dengan sesuatu projek pembangunan tetapi dapat dikawal jika tindakan pemulihan dilakukan dengan segera. Biasanya kelas kedua ini menjadi isu hangat dalam konteks kajian impak alam sekitar (EIA) terutama dari segi makna dan tahap 'terjejas'. Hal ini biasa berlaku kepada cadangan penempatan baru di kawasan hutan pinggir bandar, pembinaan insinerator atau tapak pelupusan sampah.

Kelas ketiga ialah ekosistem sensitif yang mudah terjejas tetapi tidak berbahaya kepada penduduk dan pengunjung seperti pembangunan kawasan peranginan dan aktiviti ekopelancongan di kawasan hutan simpan. Contohnya ialah pembangunan pinggir pantai dan jeti di Pulau Tioman dan Pulau Langkawi.

Kelas keempat ialah ekosistem sensitif yang mudah terjejas dan berbahaya kepada penduduk atau pengunjung apabila sesuatu pembangunan dilaksanakan. Tahap bahaya ini dikaji menerusi analisis risiko terhadap komponen alam sekitar. Antara risiko yang selalu dikaitkan dengan projek pembangunan tanah ialah banjir kilat, tanah runtuh dan pencemaran sungai. Pada hemat saya, ekosistem kawasan sekitar Bukit Antarabangsa termasuk dalam kelas empat.

Kelas kelima ialah ekosistem sensitif yang sangat terkesan dengan apa juga bentuk aktiviti pembangunan. Ekosistem itu unik, kaya dengan flora dan fauna, santuari menampung kepelbagaian biologi dan mempunyai peranan penting dari segi keselamatan serta kesejahteraan penduduk dan ekosistem sekeliling.

Contohnya ialah hutan bakau di pinggir pantai sepanjang Selat Melaka dan hutan simpan di Banjaran Titiwangsa. Seandainya hutan terbabit dimusnahkan untuk apa juga bentuk pembangunan, maka kesannya sangat ketara kepada perubahan iklim setempat, hakisan tanah, pencemaran sungai dan tadahan hujan.

Persoalannya apakah tindakan yang wajar dilakukan apabila sesuatu ekosistem mengalami kemusnahan seperti tanah runtuh sekitar Bukit Antarabangsa?

Dari segi teknikal, kita mempunyai lima pilihan. Pertama memulihkan ekosistem secara kecil-kecilan menerusi pelbagai kaedah dan teknologi. Secara peribadi saya berpengalaman memulihkan kawasan bekas tapak pelupusan sampah dan tapak buangan sisa terjadual.

Saya yakin ramai jurutera tempatan mempunyai pengalaman untuk memulihkan kawasan tanah runtuh menerusi kaedah penstabilan tanah dan penyuburan ekosistem. Kaedah ini mengambil masa dan memerlukan biaya besar.

Kedua, memulihkan ekosistem menggunakan kaedah komprehensif tetapi bukan kepada seluruh kawasan. Ia hanya membabitkan kawasan berisiko tinggi seperti tanah runtuh, aliran air bawah tanah dan kawasan lembangan.

Ketiga, memulihkan sesebuah ekosistem secara menyeluruh dengan mengubah lanskap, kontor dan fungsi kawasan terbabit. Bagi kawasan tanah tinggi misalnya perlu ditukar menjadi kawasan landai untuk mengurangkan risiko tanah runtuh dan tompokan air di sesuatu alur atau sistem pengairan bawah tanah. Proses pemulihan ini memerlukan kos tinggi dalam jangka masa antara lima hingga 10 tahun.

Keempat, membiarkan ekosistem kawasan berkenaan stabil menerusi proses alamiah tanpa perlu mengeluarkan biaya besar untuk melakukan sebarang kerja penstabilan tanah dan pemantapan ekosistem. Hal ini memakan masa puluhan tahun. Dalam konteks tapak pelupusan sampah, antara 30 hingga 50 tahun.

Kelima, mengosongkan kawasan terbabit untuk meminimumkan risiko bencana seperti tanah runtuh sehinggalah prosedur perundangan dan pampasan diselesaikan untuk membolehkan pihak berkuasa mengenalpasti langkah seterusnya.

Dalam konteks ekosistem sekitar Bukit Antarabangsa, pilihan pertama tidak lagi relevan. Saya berpendapat tragedi tanah runtuh yang berulangan sehingga mengorbankan tidak sedikit nyawa menunjukkan tindakan drastik tetapi praktikal perlu dilaksanakan segera. Pilihan ketiga paling relevan tetapi mekanisme pembiayaan perlu dikenal pasti.

Selain itu, kita juga perlu merancang supaya tragedi Bukit Antarabangsa itu tidak berulang di tempat lain. Dari segi garis panduan dan prosedur pembangunan tanah tinggi memang sudah diterima pakai pelbagai agensi penguatkuasaan.

Persoalannya ialah mengenai keberkesanan pelaksanaan dan tahap penguatkuasaan. Selain itu kita juga perlu lebih proaktif dalam mengenalpasti risiko bukan saja kepada penduduk bahkan kepada keselamatan harta benda.

Kembali kepada perumpamaan sesebuah ekosistem sebagai satu jasad, maka kawasan sekitar Bukit Antarabangsa itu seperti seorang manusia yang sudah tidak mempunyai tulang belakang atau kehilangan kedua-dua kaki.

Profesor Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar