Wednesday, July 2, 2008

141 kakitangan awam didakwa kerana rasuah

KUALA LUMPUR 1 Julai - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sebanyak 141 pegawai dan kakitangan awam didakwa atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997 dari 1 Januari 2007 hingga April tahun ini.

Perdana Menteri menjelaskan, seorang ialah daripada kumpulan pengurusan tertinggi, 33 kumpulan pengurusan dan profesional manakala 117 kumpulan sokongan.

''Dalam tempoh berkenaan juga, dua orang telah didapati bersalah, seorang didapati tidak bersalah, tiga orang dilepaskan tanpa dibebaskan, tiga kes ditarik balik dan 132 kes masih dalam perbicaraan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Teo Nie Ching (DAP- Serdang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Gwo Burne Loh (PKR-Kelana Jaya), Perdana Menteri berkata, setiap tindakan pendakwaan yang dijalankan oleh Peguam Negara sebagai pegawai pendakwa raya adalah berdasarkan hasil siasatan oleh agensi penguatkuasaan yang diberi kuasa menurut undang-undang yang berkaitan.

Burne Loh mahu tahu adakah Peguam Negara akan mengambil tindakan undang- undang berdasarkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video V. K. Lingam.

Menurut Abdullah, Peguam Negara telah mengarahkan agensi penguatkuasaan yang berkaitan untuk menjalankan penyiasatan ke atas hasil laporan suruhanjaya siasatan tersebut.

''Sama ada Peguam Negara akan mengambil keputusan untuk mendakwa mana-mana pihak dalam perkara ini akan bergantung kepada hasil penyiasatan.

''Peguam Negara akan meneliti hasil penyiasatan dan jika terdapat keterangan yang mencukupi, pertuduhan akan dibuat di bawah mana-mana undang-undang berkenaan," katanya.

Dalam satu lagi jawapan bertulis kepada soalan Dr. Mohamed Hayati Othman (Pas- Pendang) mengenai sijil halal yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC), Abdullah memberitahu, sejak ditubuhkan pada 18 September 2006, sebanyak 38 produk telah diberikan sijil halal untuk syarikat multinasional Thailand.

Abdullah memberitahu, sijil halal itu dikeluarkan bagi produk yang meliputi produk berasaskan lemak, minyak dan dandanan diri.

Jelasnya, peranan Bahagian Halal Hab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih diteruskan dalam pengeluaran sijil halal Malaysia.

''Pemantauan sijil halal adalah dilaksanakan oleh bahagian tersebut dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN& HEP) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

''Pemantauan dan semakan adalah secara berkala, sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh sah laku sijil serta pemantauan mengejut dijalankan berasaskan aduan orang ramai," katanya

No comments: