Tuesday, September 11, 2007

Angkasawan uji ketahanan makanan tradisional di ISS

KUALA LUMPUR: Angkasawan pertama negara akan menjalankan pelbagai eksperimen sains hayat mengenai sel bakteria dan protein di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) termasuk ujian saintifik beberapa jenis makanan tradisional.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Prof Datuk Dr Mazlan Othman, berkata ujian itu dapat memberi manfaat kepada negara selain menjadi bahan rujukan kepada saintis dan ahli akademik pada masa depan.

Katanya, makanan tradisional yang bakal diuji di ISS termasuk nasi briyani, rendang tok, sate ayam, tempe goreng dan kuih bangkit.

“Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) kini pada peringkat akhir menguji tahap ketahanan makanan berkenaan terhadap bakteria supaya mematuhi piawaian ditetapkan stesen berkenaan.

“Ada pihak mungkin memandang sinis usaha kita (membawa makanan tradisional) kerana mereka tidak memahami tujuan kerajaan yang mahu mendekatkan ilmu sains kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, sains bukan bersifat elit dan hanya tertumpu kepada penyelidikan berprofil tinggi, sebaliknya sebahagian penyelidikan yang dibuat angkasawan pertama negara itu boleh dikongsi sama, mudah difahami dan menarik minat masyarakat.

Mazlan berkata demikian selepas melancarkan Pameran Mini Angkasa Petrosains, di sini, semalam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim.

Katanya, ujian saintifik makanan tradisional adalah sebahagian penyelidikan yang disediakan kepada angkasawan pertama negara apabila berada di ISS, yang akan turut melakukan penyelidikan mengenai sains tulen seperti kesan mikrograviti dan radiasi.

“Kesan mikrograviti dan radiasi yang berbeza di angkasa lepas boleh menjadi faktor menarik untuk mengkaji perbandingan tindak balas sel di bumi dan dalam persekitaran di angkasa lepas,” katanya.

Ditanya siapa calon angkasawan yang bakal terpilih, Mazlan berkata, Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr Faiz Khaleed berkelayakan dan bersedia menjayakan misi pertama negara itu.

“Siapa yang terpilih saya serahkan pada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis yang menentukannya,” katanya.

Seorang daripada dua calon akhir angkasawan negara itu dijangka berlepas ke ISS pada 10 Oktober depan, tiga hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

No comments: