Monday, September 10, 2007

VSS kurang sesuai dalam perkhidmatan awam’

CUEPACS pada dasarnya menolak cadangan pelaksanaan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada kakitangan awam bermasalah kerana berasakan ia bakal memberi peluang kepada majikan mengugut kakitangan terbabit dan menimbulkan budaya tidak sihat dalam sektor awam.

Presidennya, Omar Osman, berkata ia bukan bermakna Cuepacs ingin melindungi kakitangan bermasalah daripada dikenakan tindakan termasuk buang kerja, sebaliknya berpendapat VSS bukan pendekatan sesuai digunakan dalam perkhidmatan awam tambahan pula apabila ia sekadar menjurus kepada kelompok kakitangan bermasalah.







“Swasta menggunakan VSS dengan menawarkannya kepada semua kakitangan mereka bagi tujuan mengurangkan kos pengurusan dan sebagainya, bukan untuk menghukum kakitangan bermasalah. Jika kerajaan menggunakan VSS, perkara seumpama itu perlu diambil kira.

“Namun, saya berpendapat peraturan sedia ada yang digunakan dalam Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sudah mencukupi dan menjadi panduan kepada semua majikan bertindak terhadap kakitangan mereka yang bermasalah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, peraturan itu perlu dilihat semula dan diperjelaskan supaya kaedah mengambil tindakan yang lebih tepat dapat dijalankan ke atas kakitangan bermasalah terutama yang membabitkan kes kemerosotan prestasi, masalah kesihatan serta pegawai yang tidak boleh diambil tindakan tatatertib.

Katanya, walaupun sudah dijelaskan bentuk masalah disiplin yang boleh diambil tindakan buang kerja atau dibersarakan merangkumi lima sebab, peruntukan bagi kes persaraan demi kepentingan perkhidmatan awam selama ini tidak digunakan secara meluas lantaran kurang penjelasan secara menyeluruh kepada semua majikan.






“Bahagian Sumber Manusia (BSM) perlu prihatin mengenai perkara ini dan sekiranya semua majikan sedia maklum apa tindakan yang boleh diambil bagi kakitangan yang tidak menunjukkan prestasi baik, isu VSS tidak perlu ditimbulkan lagi. Semuanya sudah lengkap dalam peraturan sedia ada.

“VSS hanya akan menimbulkan konflik kerana sekiranya pekerja bermasalah ditawarkan skim itu tidak bersetuju dan tetap ingin meneruskan perkhidmatan, ia pasti akan menimbulkan suasana tidak selesa dalam jabatan terbabit,” katanya.

Omar bersetuju perlu ada satu mekanisma lain yang lebih sesuai diguna pakai dalam sektor awam bagi memastikan pegawai bermasalah atau kurang memberi sumbangan kepada jabatan masing-masing boleh diambil tindakan selepas semua proses pemulihan tidak memberi sebarang kesan positif.

Beliau berkata, selama ini, ramai majikan yang kurang faham peranan mereka dalam melaksanakan tindakan tatatertib ke atas pegawai bermasalah sehinggakan ada kes tertangguh bertahun-tahun, malah ada yang terlepas begitu saja.

Justeru, beliau mencadangkan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan pegawai khas yang mahir berkenaan kaedah tindakan tatatertib ditempatkan di semua daerah untuk memudahkan rujukan segera dilakukan oleh majikan setiap agensi kerajaan.

“Jawatankuasa pemantau juga perlu ada bagi melihat pelaksanaan tindakan tatatertib mengikut apa yang sudah digariskan dalam peraturan dan memastikan tidak ada majikan menyalahgunakan kedudukan mereka untuk menganiayai pekerja bawahan.

“Contohnya, sistem penilaian prestasi diamalkan kini juga kurang sesuai kerana ada majikan membuat pemarkahan tanpa berbincang dengan kakitangan terbabit malah ada yang dibuat tanpa penilaian terperinci,” katanya.

Beliau berkata, apa yang perlu dititikberatkan oleh JPA pada masa kini ialah menyediakan satu garis panduan secara jelas supaya pekerja yang tidak menunjukkan prestasi baik dapat dikenakan tindakan termasuk buang kerja.

Katanya, setakat pengetahuannya ada kira-kira 12,000 kakitangan bermasalah yang berada dalam kelompok tidak boleh dikenakan tindakan tatatertib tetapi perlu diberi perhatian kerana akan memberi kesan tidak baik kepada kepentingan perkhidmatan awam.

No comments: