Friday, September 21, 2007

Pelbagai usaha tangani kezaliman kanak-kanak

KEJADIAN keganasan terhadap kanak-kanak yang bukan lagi asing di negara ini berulang lagi dengan tragedi menyayat hati yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin. Adakah kita masih ingat tragedi kejam yang lalu? Pada 1 April 2002, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Nor Syakila Ramli Abdullah Choo dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya dicampak ke dalam longkang di Taman Tasik Permai, Ampang, Selangor.

Nurul Huda Abdul Ghani, 10, pula dibunuh dengan kejam selepas dirogol secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki di pondok pengawal pencawang elektrik TNB Tanjung Kupang di Gelang Patah, Johor pada 17 Januari 2004.

Hanya sehari selepas satu kes bunuh dan rogol kanak-kanak dilaporkan di Kedah, satu lagi kes rogol melibatkan kanak-kanak berlaku di Kampung Cendering, Kuantan pada 23 Disember 2004.

Pelbagai pihak mengesyorkan saranan dan cadangan yang baik untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang tetapi kes rogol dan bunuh kanak-kanak terus berlaku.

Walau siapa pun hendak dipersalahkan, tetapi yang penting ialah kanak-kanak di negara ini mesti dilindungi. Pasukan polis tidak berkewajipan untuk memberi perlindungan terhadap orang tertentu tetapi khidmatnya adalah untuk semua rakyat Malaysia.

Tentu sukar diterima sekiranya pasukan polis dipertanggungjawabkan ke atas semua kejadian jenayah yang berlaku.

Sebarang perbuatan yang dilakukan tanpa berhati-hati tidak semestinya menyebabkan orang yang melakukannya dipertanggungjawabkan oleh undang-undang, sekalipun perbuatan itu menyebabkan kerosakan, melainkan jika ia mempunyai kewajipan undang-undang untuk berjaga-jaga (Rogers 1994: 76) seperti ibu bapa memastikan anak dalam keadaan selamat sepanjang masa atau pemandu memandu dengan berhati-hati supaya tidak mencederakan orang lain akibat kemalangan.


Yang paling hampir dengan anak-anak kecil ialah ibu bapa dan merekalah yang sebenarnya mempunyai kewajipan untuk berjaga-jaga. Sekiranya mereka melanggar kewajipan ini dan menyebabkan kecederaan atau kematian anak-anak mereka sendiri, mereka patut bertanggungjawab sepenuhnya.

Selain itu, masyarakat juga diminta untuk turut serta dalam membantu kanak-kanak hidup dengan selamat, apatah lagi di negara sendiri.

Kerajaan telah merangka pelbagai cara dan agenda bukan sahaja untuk membangunkan potensi kanak-kanak tetapi juga memastikan keselamatan mereka.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), usaha untuk memastikan perlindungan, pemulihan dan pembangunan kanak-kanak diteruskan oleh kerajaan bagi menjaga kebajikan dan kepentingan mereka. Akta Kanak-Kanak 2001 digubal dengan menggabungkan Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991.

Penggubalan akta ini mengambil kira prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak. Akta tersebut mewajibkan pengamal perubatan, ahli keluarga dan penyedia perkhidmatan penjagaan kanak-kanak melaporkan kes penderaan kanak-kanak. Sehubungan ini, kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan meningkat daripada 1,036 pada tahun 2001 kepada 1,656 pada tahun 2005.

Sementara itu, pelbagai usaha juga diambil untuk menangani isu keganasan terhadap kanak-kanak termasuk meningkatkan penyertaan masyarakat dalam melaksanakan program pencegahan dan pemulihan.

Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditubuhkan di peringkat negeri dan daerah untuk memberi perkhidmatan terutamanya kepada keluarga dan kanak-kanak yang terdedah kepada keganasan seksual atau sebagainya di kawasan berkenaan.

Perkhidmatan tersebut termasuk aktiviti berkaitan kanak-kanak, kaunseling untuk kanak-kanak dan ibu bapa, kursus keibubapaan serta penjagaan kanak-kanak bertujuan memberi sokongan psikologi dan motivasi.

Dalam tempoh RMK-9, sejumlah 131 pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dengan keahlian aktif seramai 1,572 orang serta 135 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditubuhkan.

Di samping itu, pasukan untuk Mengesan Penderaan Kanak-Kanak dan Kanak-Kanak Terabai (SCAN) ditubuhkan di hospital daerah dan negeri untuk menyelia dan memantau kes penderaan kanak-kanak yang dirujuk kepada hospital. Sejumlah 14 pasukan SCAN ditubuhkan di hospital negeri dan 690 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan.

Akta Pusat Jagaan Kanak-Kanak 1984 yang bertujuan memastikan standard minimum penjagaan kanak-kanak di pusat penjagaan pula telah dikaji semula pada tahun 2005 bagi menetapkan langkah penguatkuasaan yang lebih ketat dan meningkatkan kualiti penjagaan kanak-kanak.

Selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, usaha diambil untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai kanak-kanak dalam penggubalan dan proses membuat keputusan. Usaha bina upaya dan memperkasa kanak-kanak mengenai isu dan hak mereka telah diambil melalui program kesedaran dengan penyertaan seramai 163 kanak-kanak dalam tempoh RMK-9.

Bagi memastikan suara mereka terus didengar, kanak-kanak juga turut dilibatkan dalam penilaian Pelan Tindakan Negara (NPA) pertama dan merangka NPA kedua bagi tempoh 2006–2020. NPA kedua mengambil kira elemen yang terkandung dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, iaitu keperluan hidup, perlindungan, pembangunan dan penyertaan kanak-kanak.

Oleh itu, rasa tidak puas hati Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan kejadian keganasan ke atas kanak-kanak yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini adalah munasabah.

Kezaliman terhadap kanak-kanak akibat kelalaian ibu bapa sepatutnya menjadi pengajaran yang besar kepada semua ibu bapa di negara ini.

- NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

No comments: