Saturday, September 29, 2007

Krisis cuaca dunia mesti ditangani secara serius

PERUBAHAN iklim yang mendorong banjir luar biasa di Johor Barat baru-baru ini, menyebabkan kerugian produk dan kawasan pertanian bernilai lebih RM40 juta berikutan kerosakan dan keadaan tanah yang tidak boleh digunakan lagi.

Cuaca tidak menentu turut memberi kesan kepada penghasilan sumber makanan laut dan ternakan. Sekiranya diambil perkiraan 20 peratus kerugian saja, nelayan dan penternak ikan di negara ini boleh mencatat kerugian lebih RM300 juta setahun.

Itu adalah anggaran kasar, membabitkan dua sektor pengeluaran - tetapi semuanya adalah gara-gara perubahan iklim dan cuaca yang semakin tidak menentu sejak kebelakangan ini. Isu perubahan cuaca mencapai tahap amat serius apabila pemimpin dunia menjadikan ia agenda utama pada Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Sydney, Australia, baru-baru ini.

Cadangan untuk menangani isu perubahan iklim ini turut membabitkan desakan supaya dunia mengurangkan pengeluaran karbon. Namun, pemimpin menerima Deklarasi Sydney yang menggariskan matlamat untuk menangani pelbagai isu pencemaran, terutama ke arah usaha untuk mengurangkan pengeluaran 25 peratus karbon dunia menjelang 2030.

Di Kuala Lumpur, kebimbangan mengenai perubahan iklim semakin terasa. Banjir luar biasa di Johor baru-baru ini, cuaca tidak menentu di seluruh negara dan beberapa gempa bumi yang melanda negara jiran turut dirasai.

Ia sekali gus, memberi impak kepada struktur bangunan, membuatkan semakin ramai rakyat Malaysia mula bercakap mengenai perubahan cuaca yang memberi kesan kepada persekitaran dunia hari ini.

Pada peringkat penggubal dasar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sudah memulakan kerjasama dengan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan menggariskan tindakan pemantauan ke atas usaha Malaysia dalam menangani krisis perubahan cuaca, menjelang Sidang Kemuncak Konvensyen Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), yang akan diadakan di Bali, Disember ini.

Menterinya, Datuk Seri Azmi Khalid, menegaskan Kerajaan Malaysia yang juga antara negara menandatangani Protokol Kyoto, kini serius dalam mengkaji perubahan dasar yang perlu dilakukan dalam usaha memastikan kesan perubahan cuaca ini dapat dihadapi dengan lebih terancang.

"Di Malaysia, pengeluaran karbon utama berpunca daripada jana kuasa tenaga dan sektor pengangkutan. Tetapi di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sumber tenaga baru seperti solar, minyak bio sudah mula dilaksanakan di negara ini.

"Malah, beberapa stesen minyak membekal diesel yang dicampur lima peratus minyak sawit olein sudah beroperasi sejak tahun lalu. Pada peringkat awal, minyak campuran ini digunakan oleh kenderaan beberapa agensi kerajaan terpilih," katanya kepada lebih 200 peserta yang menyertai Persidangan Perubahan Cuaca anjuran bersama kementeriannya dan UNDP, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Marcel Alers, pegawai yang memantau pembangunan dan pengurusan perubahan cuaca bagi Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF) yang berada di bawah UNDP, tidak dapat lari daripada memberi peringatan bahawa tindakan ke arah pembersihan hutan dan tanah secara besar-besaran untuk tujuan penanaman kelapa sawit turut menjadi penyumbang ke arah kemelut dialami alam sekitar hari ini.

"Kita memang mencari sumber tenaga baru untuk menggantikan sumber minyak yang menyebabkan pengeluaran karbon yang memberi kesan serius terhadap lapisan ozon bumi. Namun, tindakan untuk menggantikan petrol atau diesel dengan sumber tenaga lebih mesra alam sebenarnya, jika tidak dilakukan dengan baik dan teratur, boleh menyebabkan satu lagi krisis lebih buruk.

"Tindakan menebang hutan secara besar-besaran untuk tujuan apa sekali pun, adalah antara penyumbang terbesar kepada bencana alam yang melanda manusia hari ini," katanya.

Azmi ketika sidang media menyentuh mengenai tahap kesedaran rakyat, termasuk agensi kerajaan dan syarikat swasta negara ini yang masih tidak peka terhadap pelbagai tindakan yang boleh menyumbang kepada pencemaran dan sekali gus kepada perubahan cuaca yang semakin tidak menentu.

Alers berpendapat bahawa sikap manusia yang sememangnya degil memang sukar untuk diubah, kecuali mereka mengalami sendiri kejadian yang tidak diingini.

"Manusia hari ini hanya bercakap mengenai perubahan cuaca, tetapi pada masa yang sama tidak mengubah sikap untuk membantu mengurangkan pencemaran yang berlaku sekarang.

"Begitu juga dengan negara dunia. Memang ramai yang menjadi penandatangan Protokol Kyoto. Menandatangani protokol memang mudah, tetapi bila mereka mula melihat kos yang terpaksa ditanggung, contohnya usaha ke arah pengurangan karbon, banyak yang menangguhkan niat untuk melaksanakan perkara diperlukan," kata Alcers.

Protokol Kyoto adalah pindaan kepada perjanjian antarabangsa mengenai perubahan cuaca ditandatangani pada 1992, yang mewajibkan langkah mengehad pengeluaran gas karbon di negara yang menandatanganinya.

Matlamat utama protokol itu adalah untuk menstabilkan pengumpulan gas karbon di atmosfera di peringkat yang boleh mengelak ia memberi kesan kepada sistem iklim dunia.

Ketika ini 141 negara yang mewakili 55 peratus pengeluaran karbon dunia sudah menandatangani protokol berkenaan dan masing-masing berikrar untuk mengurangkan gas beracun itu sebanyak 5.2 peratus menjelang 2012.

Tetapi negara paling tinggi mengeluar gas pencemaran itu, Amerika Syarikat, tidak menandatangani perjanjian terbabit dengan alasan ia akan menelan belanja terlalu tinggi dan perjanjian itu mempunyai banyak kelemahan.

Antara yang menjadi penghalang ialah tindakan mewajibkan pemasangan alat menapis karbon, usaha membina sumber tenaga yang mesra alam, malah usaha untuk menyediakan teknologi baru akan menelan belanja besar.

Kos yang terlalu tinggi adalah sebab utama negara seperti Amerika dan Australia tidak menyertai protokol ini. Ia akan memberi kesan besar ke atas ekonomi sesebuah negara.

Isu perubahan cuaca mula mendapat perhatian warga dunia apabila krisis pemanasan global didedahkan sejak dekad lalu. Perubahan cuaca semakin membimbangkan apabila ada negara Afrika yang terkenal dengan panas terik mengalami salji, manakala beberapa negara Eropah mengalami musim panas luar biasa.

Di benua lain termasuk Asia, cuaca tidak menentu menyaksikan ada negara mengalami musim kemarau lebih panjang daripada biasa, ribut dan taufan lebih ganas dan kejadian gempa bumi yang semakin menggerunkan.

Malaysia tidak terkecuali. Banjir mengejut menyebabkan beberapa bandar di Johor lumpuh, manakala musim tengkujuh di Pantai Timur juga semakin tidak menentu.

Alers berkata, disebabkan pelbagai bencana alam tidak diduga sejak lima tahun terakhir ini, lebih AS$6 bilion (RM21 bilion) dibelanjakan setiap tahun bagi membantu mangsa kejadian. Terburuk setakat ini ialah kejadian ombak besar tsunami, yang bukan saja memusnahkan bandar Acheh dan kepulauan sekitarnya, bahkan turut mengorbankan ribuan nyawa lain di Malaysia, Thailand, Sri Lanka dan selatan India.

"Justeru, bagi kami di UNDP dan GEF, perkara pertama yang perlu ditangani ialah kesedaran bahawa isu perubahan cuaca bukan sekadar 'cakap-cakap', tetapi semua pihak mesti sedar ia akan turut membabitkan kos tinggi bagi memastikan kita dapat mengurangkan risiko bencana alam yang bakal berlaku.

"Kami berharap lebih banyak negara memiliki sikap seperti Kerajaan Malaysia yang mula bekerja keras ke arah usaha untuk menangani isu perubahan cuaca ini dengan lebih serius," katanya.

No comments: