Tuesday, September 11, 2007

Mansuh subsidi diesel


Ahli ekonomi syor perkenal mekanisme alternatif bantu nelayan

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memansuhkan subsidi diesel bagi menangani kes penyelewengan dan penyeludupan bahan api itu yang kini semakin berleluasa hingga menyebabkan negara mengalami kerugian besar.

Beberapa pihak termasuk ahli ekonomi sebaliknya mencadangkan kerajaan memperkenalkan mekanisme alternatif dengan memberikan bantuan dalam bentuk lain untuk meringankan beban industri tertentu, seperti sektor pengangkutan dan nelayan.

Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Datuk Prof Dr Ismail Salleh (gambar), berkata perbezaan ketara harga bahan api itu berbanding negara lain, terutama berikutan subsidi yang diberi kepada sektor tertentu, menyebabkan kegiatan penyelewengan dan penyeludupan diesel semakin berleluasa.

“Harga diesel di Malaysia paling murah berbanding negara jiran menyebabkan bahan api itu diseludup kerana mendapat permintaan tinggi terutama di kalangan penduduk berhampiran sempadan negara.

“Kerajaan perlu memikirkan mekanisme atau bantuan lain yang mudah dikawal serta dipantau dan pada masa sama menguntungkan kerajaan serta sektor yang memerlukan bantuan,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Sejak Januari hingga Jun lalu saja, kerajaan membelanjakan lebih RM2.9 bilion untuk membayar subsidi minyak termasuk petrol, diesel dan gas asli cecair (LPG).

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.3 bilion dibayar untuk subsidi diesel kepada nelayan, manakala RM620 juta dibayar untuk subsidi LPG atau lebih dikenali sebagai gas masak.

Bagaimanapun, ribuan liter diesel subsidi dilaporkan diseludup ke pasaran luar negara, termasuk Filipina dan Myanmar.

Selasa lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mematahkan cubaan sindiket menyeludup keluar 275,000 liter diesel subsidi bernilai RM500,000, dipercayai terbesar setakat ini, melalui Dermaga Prai di Pulau Pinang.

Khamis lalu, sebuah lagi kapal dikenal pasti terbabit dalam sindiket menyeludup keluar 487,000 liter diesel ke Myanmar melalui Dermaga Prai menjadikan jumlah diesel subsidi yang cuba diseludup keluar bernilai RM800,000.

Pengerusi Persatuan Nelayan Sarawak (Penesa), Jamali Basri, berkata kerajaan mungkin boleh memperkenalkan pengecualian cukai diesel kepada nelayan, jika langkah itu dilihat sebagai penyelesaian terbaik bagi menangani penyalahgunaan dan penyeludupan diesel subsidi.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu membantu nelayan dengan memberi insentif lain kerana pengecualian cukai diesel kurang menguntungkan golongan itu berbanding pemberian subsidi diesel.

“Pengecualian cukai diesel akan menyebabkan nelayan kehilangan kira-kira 60 peratus keuntungan berikutan kadar penjimatan seliter diesel hanya antara 20 hingga 30 sen.

“Justeru, insentif khas perlu diberikan bagi membantu nelayan menampung kos terbabit. Bagaimanapun Penesa berpendapat, pihak berkuasa perlu meningkatkan penguatkuasaan bagi membendung masalah ini,” katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kedah (Nekad), Jusoh Awang pula berkata, penyelewengan diesel subsidi boleh ditangani jika kerajaan memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) untuk menguruskan pengagihan bahan api itu kepada nelayan.

Beliau berkata, ketika ini urusan mengangkut diesel dari depoh ke pangkalan dikendalikan konsortium yang melalui banyak persinggahan sebelum sampai ke destinasi agihan kepada nelayan.

“Tiada pihak memantau dan mengawasi proses logistik ini yang memungkinkan penyeludupan berlaku sepanjang perjalanan ke pangkalan, terutama apabila banyak persinggahan tidak diketahui dan tidak direkodkan.

“Pemantauan lebih ketat juga perlu bagi memastikan nelayan yang memohon diesel subsidi benar-benar turun ke laut dan mendaratkan ikan,” katanya.

FAKTA NOMBOR
Subsidi bahan api Januari hingga Jun 2007

RM2.9b - Bayaran subsidi petrol, diesel dan gas asli cecair (LPG)
RM1.3b - Bayaran subsidi diesel kepada nelayan
RM620j - Bayaran subsidi LPG

No comments: