Saturday, September 1, 2007

Bioteknologi mampu rancakkan industri minyak sawit

BIOTEKNOLOGI menawarkan peluang besar untuk merancak dan merevolusikan industri minyak sawit, kata Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Sabri Ahmad.

Beliau berkata, teknologi seperti genomik, kejuruteraan genetik dan kultur tisu menawarkan pembuka jalan kepada industri untuk meningkatkan produktiviti dan memaksimumkan ciri positif minyak sawit.

“Perladangan molekul, sebagai contoh, adalah satu daripada pendekatan baru yang boleh menghasilkan farmaseutikal yang mana protein boleh dihasilkan dalam organisme transgenik dalam skala pertanian,” katanya pada Kongres Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2007 di Kuala Lumpur, kelmarin.

Peladangan molekul merujuk kepada penggunaan tanaman bagi menghasilkan biomolekul dan bukannya sebaliknya makanan dan gentian.

Tanaman dengan ciri baru diperkenalkan yang menghasilkan secara saintifik, perubatan dan industri biomolekul yang menarik, ditanam sebagai tanaman dan dituai.

Antara contoh dihasilkan menerusi peladangan molekul termasuk tanaman tembakau yang dimajukan untuk menghasilkan interleukin-10, protein pengubatan bagi rawatan penyakit Crohn.

Contoh lain ialah tanaman boleh dimakan seperti kentang dan pisang yang dibangunkan untuk digunakan dalam vaksin.

Ia boleh menyediakan langkah selamat, tidak mahal dan mudah untuk usaha perlindungan terhadap penyakit bagi berjuta kanak-kanak di negara membangun.

Sementara itu, seorang peserta industri yang enggan namanya disiarkan berkata, bioteknologi adalah bahagian penyelidikan yang mana hanya segelintir pihak dalam industri mahu menyertainya disebabkan pulangan jangka panjang yang tidak menentu dan pelaburan tinggi.

Beliau berkata, disebabkan minyak sawit bersaing dengan 16 minyak dan lemak lain, penyelidikan dan pembangunan penting bagi mengekalkan pertumbuhan dan daya saing industri berbanding minyak dan lemak yang lain.

“Ancaman berpotensi seperti kekurangan buruh dan tanah, kekurangan maklumat, kemahiran dan teknologi serta isu lain perlu ditangani menerusi penyelidikan dan pembangunan,” katanya.

Dalam pada itu, PIPOC MPOB 2007 mencatatkan rekod apabila berjaya menarik penyertaan terbesar hampir 2,000 peserta tempatan dan juga asing. Kongres terakhir pada 2005 menarik penyertaan 1,700 peserta.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Mohd Basri Wahid, berkata 518 peserta asing dan 1,326 tempatan menyertai kongres kali ini.

Katanya, 2,030 peserta mendaftar menyertai kongres berkenaan yang berakhir kelmarin dan mereka datang dari 44 negara dengan penyertaan utama dari China, Columbia, India, Jepun, Singapura, Thailand, Indonesia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, 692 syarikat mendaftar dan terbabit dalam pameran yang diadakan sepanjang kongres yang berfungsi sebagai wadah bagi mengumumkan penemuan terkini, maklumat saham, interaksi dan rangkaian di kalangan anggota industri minyak sawit. – Bernama

No comments: