Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
KUALA LUMPUR 14 Ogos – Sebanyak 30.5 peratus pelajar universiti di negara ini yang ditanya pendapat mereka sanggup mengambil rasuah jika diberi peluang berbuat demikian, kata Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan.
Beliau berkata, penemuan itu adalah hasil satu kaji selidik yang dijalankan oleh sebuah universiti tempatan pada tahun 2003.
Sambil menyifatkan laporan itu sebagai amat membimbangkan, beliau telah menggerakkan para pegawai BPR yang terlibat dalam Sekretariat Rakan Muda melawat institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi menerangkan kepada pelajar-pelajar mengenai bahaya gejala rasuah.
“Bagi kami, hasil kaji selidik itu adalah satu petunjuk bahawa ada sekumpulan pelajar kita amat bersikap materialistik. Mereka sanggup buat apa sahaja asalkan dapat habuan.
“Walaupun kaji selidik itu dibuat empat tahun lalu kita tetap menjadikannya sebagai panduan bagi memastikan kejayaan usaha kita dalam meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar universiti mengenai amalan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika melawat Ibu Pejabat Kumpulan Utusan di sini, hari ini.
Dalam kunjungan itu, Ahmad Said mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Khalid Mohd.
Ahmad Said berkata, pihaknya memandang berat hasil kaji selidik itu memandangkan pelajar universiti bakal menjadi pencorak kepada masa depan negara.
Beliau berkata, mungkin ada di antara mereka kelak akan menjadi pemimpin, penjawat awam dan ahli korporat yang berjaya.
“Kita tidak mahu mereka ini menjadi golongan yang bersikap materialistik hingga sanggup mengamalkan rasuah kerana yang akan menjadi mangsa kelak adalah negara dan rakyat.
“Oleh itu, kita perlu menyedarkan mereka. Saya yakin dengan adanya program seperti ini mereka akan menjadi golongan yang membenci rasuah sekali gus tidak membenarkan amalan jijik itu terus berlaku,” katanya.
Menurut Ahmad Said, selain pelajar universiti, BPR turut mengadakan program yang sama di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Bagi kami kesedaran ini mengenai gejala rasuah perlu wujud sejak mereka di bangku sekolah lagi,” katanya.
Ditanya mengenai kajian terbaru berkaitan kecenderungan pelajar universiti mengambil rasuah, beliau berkata, kajian tersebut masih berjalan.
“Kita kini dalam proses menyiapkan kajian tersebut bagi membolehkan satu perbandingan dibuat antara kajian terbaru dengan kajian yang dibuat empat tahun lalu.
“Dengan adanya perbandingan ini BPR akan dapat mengetahui keberkesanan program-program kesedaran yang kita jalankan selama ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Said berkata, BPR telah melantik 300 penolong penguasa baru bagi memantapkan lagi usaha agensi itu memerangi gejala rasuah di negara ini.
Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, pelantikan penolong penguasa berkenaan dibuat setelah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan permohonan penambahan anggota BPR pada tahun lepas.
“Buat masa ini, mereka masih menjalani latihan di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu. Saya yakin dengan kemasukan mereka, ia boleh memantapkan lagi organisasi kita,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Said mengakui amalan rasuah masih berlaku di negara ini tetapi ia tidak berleluasa.
Katanya, ia amat berkaitan dengan kesedaran orang ramai untuk melaporkan kes rasuah kepada BPR yang kini disifatkannya sebagai amat memberangsangkan.
“Saya tidak kata amalan rasuah tidak berlaku. Ia berlaku tetapi tidak sampai ke tahap berleluasa. Dengan kesedaran masyarakat yang semakin tinggi kita lihat amalan jijik ini semakin dapat dikawal,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah maklumat yang diterima setakat ini beliau berkata, sehingga bulan Jun lalu, sebanyak 5,339 maklumat telah diterima.
“Pada tahun lalu, jumlah maklumat yang diterima adalah sebanyak 11,061. Atas sebab keselamatan identiti mereka yang memberi maklumat akan dirahsiakan dan dilindungi,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment