Wednesday, August 29, 2007

Galeri Seri Endon bawa batik ke antarabangsa

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Galeri Seri Endon yang dirasmikan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah hari ini bakal membuka ruang kepada pembuat batik terutamanya dari desa untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Yayasan Budi Penyayang (YBP), Nori Abdullah berkata, pembukaan galeri itu menjadi landasan ke arah mengembangkan industri batik di dalam dan luar negara.

‘‘Galeri inisiatif YBP ini bakal membuka peluang kepada pengusaha kraf negara memasarkan produk masing-masing mengikut reka corak terkini.

‘‘Ia boleh membantu produk mereka ke peringkat global dan sekali gus mendapat permintaan tinggi daripada penggemar batik,’’ katanya semasa berucap pada majlis perasmian Galeri Seri Endon di sini hari ini.

Galeri itu mempamerkan hasil ciptaan sembilan pemenang rekaan fesyen tempatan dan seni batik yang pernah dipertandingkan bagi merebut Piala Seri Endon.

Ia turut menjalankan penyelidikan terhadap cita rasa pelanggan untuk terus memartabatkan batik tempatan selain menerima maklum balas orang ramai tentang industri itu.

Tambah Nori, galeri itu juga bakal mewujudkan pasaran produk batik dan menggalakkan inovasi dalam rekaan, bahan dan teknologinya.

‘‘Kita nampak matlamat akhirnya untuk membawa batik negara ke satu tahap pengiktirafan, penonjolan dan jualan yang tinggi,’’ ujarnya.

Selain itu jelasnya, batik juga akan dimajukan sebagai produk cenderamata atau hiasan untuk dibawa pulang oleh pelancong asing.

‘‘Batik boleh dijadikan satu produk yang dapat mengukuhkan jalinan muhibah antara negara.

‘‘Penyelidikan dan pembangunan akan dilakukan dengan lebih gigih dan kesesuaian batik akan dipelbagaikan lagi untuk memenuhi kehendak pembeli yang berlainan,’’ katanya.

No comments: