Wednesday, August 29, 2007

Pastikan pelan memartabatkan IPT jadi kenyataan

SATU lagi rancangan jangka panjang bagi bidang pendidikan negara dilancarkan. Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara bermatlamat untuk menggerakkan semua warga di institusi pengajian tinggi negara ini mencapai status kelas dunia.

Institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini baik yang lama dan baru tidak boleh berfungsi mengikut rentak tradisi hanya cukup syarat – ada pelajar, pensyarah dan bilik kuliah sahaja.

Perdana Menteri sudah menggariskan tiga langkah khas untuk membawa pembaharuan kepada IPT negara ini. Langkah ini merangkumi peningkatan tadbir urus IPT awam secara serta-merta, pelaksanaan audit prestasi akademik semua IPT awam dan swasta dan pengenalan status universiti tempatan.

Untuk itu, Perdana Menteri telah menetapkan matlamat untuk meningkatkan kualiti pelajar, keupayaan pensyarah, infrastruktur IPT dan membina rangkaian dengan institusi-institusi pendidikan tinggi ternama dunia.

Bagi menjayakan pelan yang mempunyai visi yang besar ini memerlukan sokongan guru-guru di peringkat sekolah lagi hingga kepada para pensyarah IPT. Kerjasama dua kementerian iaitu Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran amat diperlukan.

Pihak sekolah perlu berusaha bersungguh-sungguh memberikan pelajar terbaik kepada pihak menara gading, manakala IPT pula memastikan pengeluaran siswazahnya adalah yang terbaik.

Sebenarnya dalam mencapai matlamat ini, bukan saja kerajaan yang perlu memainkan peranan. Selain daripada siswazah atau mahasiswa sendiri, ahli akademik dan ibu bapa juga mesti bergiat aktif bagi meningkatkan mutu siswazah dan IPT.

Sementara itu, sektor swasta yang akan menjadi pengguna kepada siswazah juga patut menghulurkan peranan agar pelajar yang dihasilkan IPT berupaya dicorak mengikut bidang perniagaan masing-masing. Usah mengkritik usaha dan pengorbanan tenaga pengajar IPT jika swasta tidak membantunya.

Dalam tempoh tinggal 13 tahun untuk mencapai negara maju pada tahun 2020, semua pihak mengharapkan IPT untuk menjadi saluran terakhir mengeluarkan modal insan berilmu, kreatif, inovatif, bersikap progresif dan berfikiran kritis.

Sesungguhnya dengan adanya Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara ini, kita berkongsi harapan dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed supaya sektor pengajian tinggi mengalami perubahan radikal terutama menghapuskan sama sekali masalah siswazah menganggur.

Kita berdoa agar siswazah kita tidak perlu bekerja sebagai pemandu teksi seperti yang dialami siswazah di India. Adalah satu kerugian besar sumbangan pemikiran siswazah tidak dimanfaatkan pada tempat yang sesuai dengan ilmu yang dipelajari di menara gading.

Justeru, pelan ini mesti digerakkan dengan serius dan bukan untuk sekadar pelan yang indah dan hebat pada kertas sahaja.

Paling penting, apa yang dikatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi itu bahawa masalah pengangguran siswazah tidak akan wujud pada masa depan biarlah menjadi kenyataan.

No comments: