Oleh Dr. Abd. Hamid Mat Sain (Pakar Bedah Am dan Laparoskopik Columbia Asia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan)
MANUSIA biasa tidak lepas dari membuat kesilapan di dalam kehidupan ini. Kadangkala kesilapan yang sama itu dibuat berulang kali.
Walaupun terdapat banyak peringatan dari ajaran agama ataupun kata-kata hikmah daripada pujangga dan motivator supaya manusia tidak jatuh di dalam lubang yang sama berulang kali, tetapi masih ramai manusia yang terus-menerus melakukan kesilapan yang sama berulang kali.
Walaupun hakikatnya melakukan kesilapan itu adalah lumrah bagi seseorang manusia, tetapi melakukan kesilapan yang sama berulang kali adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh sesiapa sahaja.
Sudah beberapa kali saya mengetahui adanya kes-kes lumrah yang kerap berlaku yang sepatutnya dapat dirawat secara efektif oleh sistem kesihatan yang ada sekarang, sama ada di sektor awam mahupun swasta.
Tetapi malangnya terjadi juga kematian akibat penyakit yang lumrah sebegini.
Walaupun tidak menyangkal hakikat ajal maut di tangan Tuhan, namun mengambil kira kemajuan dalam bidang teknologi perubatan yang serba moden dan canggih kini, patutkah kita merisikokan nyawa disebabkan oleh kesilapan perubatan dan tiadanya kesedaran di kalangan orang ramai sendiri.
Kita tidak mahu kesilapan perubatan yang dianggap sebagai satu epidemik, ironinya, di negara-negara Barat, turut menular di tanah air kita sendiri, apatah lagi dalam mood kita menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50 tahun tidak lama lagi.
Salah satu penyakit yang lumrah di dalam bidang kepakaran saya adalah Apendisitis Akut. Saya pernah menulis di ruangan ini beberapa ketika dahulu mengenai penyakit ini.
Tetapi untuk manfaat bersama, elok kita perkatakan sedikit tentang penyakit yang berpotensi meragut nyawa pesakit terutama yang masih dalam lingkungan muda remaja ini.
Laporan dalam sebuah akhbar Cina pada awal minggu ini menarik perhatian. Seorang remaja mengadu sakit perut dan walaupun telah beberapa kali melakukan pemeriksaan di hospital, doktor menyatakan dia tidak menghidap sebarang penyakit.
Malangnya, dia telah disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian disebabkan oleh penyakit Apendisitis Akut.
Apa itu apendiks
Apendiks adalah satu organ kecil yang merupakan sambungan daripada salah satu bahagian daripada usus besar yang bergelar sekum yang terletak di bahagian sebelah kanan perut (abdomen) di bawah paras pusat.
Tiada siapa tahu apa fungsi sebenar struktur kecil berbentuk cacing yang terjulur keluar dari usus kanan itu. Apa yang pasti, kita boleh hidup tanpa apendiks.
Namun, jangan tersilap menduga. Jika apendiks tidak mempunyai apa-
apa peranan di dalam sistem pencernaan kita, bukan bermakna ia tidak mendatangkan apa-apa masalah.
Apendisitis Akut adalah keradangan organ apendiks yang terjadi apabila salurannya telah dimasuki oleh sedikit komponen najis. Ini akan menyebabkan pesakit berasa sakit perut.
Pada permulaannya, pesakit akan berasa sakit di sekitar bahagian tengah perut sama seperti sakit perut dari keradangan organ perut (gastrik).
Jika keadaan ini terus berlarutan dalam masa beberapa jam sahaja pesakit akan mula berasa sakit di bahagian kanan di bawah paras pusat.
Aturan atau kronologi tanda-tanda Apendisitis Akut ini harus diketahui oleh mana-mana doktor hatta doktor keluarga (General Practitioner) sekalipun.
Sungguhpun begitu para pesakit sendiri dan orang awam juga harus mempunyai sedikit sebanyak maklumat serta pengetahuan tentang penyakit ini serta tanda-tandanya demi kesihatan dan juga keselamatan diri sendiri.
Kenapakah masih berlaku kematian akibat daripada Apendisitis Akut? Apendiks yang mengalami keradangan harus dibuang dengan seberapa segera daripada cantuman usus besar/sekum.
Jika tidak, keradangan yang berlaku pada dinding apendiks itu akan berlarutan dan ini akan merosakkan struktur asalnya menyebabkan berlaku kebocoran najis daripada usus besar ke dalam rongga abdomen.
Maka berlakulah satu jangkitan kuman yang amat berbahaya di lapisan abdomen (Peritoneum) yang disebut Peritonitis Akut.
Jika pesakit masih belum dibedah semasa keadaan ini berlaku, maka kuman-kuman yang terus membiak itu serta toksin (bahan-bahan beracun) akan menyerap masuk ke dalam sistem pengaliran darah dan menyebabkan Septikemia.
Septikemia adalah keadaan di mana organ-organ penting seperti jantung dan buah pinggang telah mengalami kerosakan.
Jika keadaan ini berterusan maka organ-organ penting ini akan terus gagal berfungsi dan akhirnya, menyebabkan kematian.
Walaupun pembedahan boleh dilakukan pada mana-mana tahap sama ada Apendisitis Akut di peringkat awal, Peritonitis Akut di peringkat pertengahan ataupun Septikemia di peringkat yang amat lanjut, peluang yang paling baik untuk berjaya di dalam merawat pesakit adalah di peringkat awal.
Ramai pesakit yang dibedah pada peringkat Septikemia gagal untuk diselamatkan kerana fungsi organ-organ vital sudah tidak dapat dipulihkan.
Jadi, ia amatlah munasabah untuk melakukan pembedahan pesakit yang mengalami Apendisitis Akut ini sewaktu masih di peringkat awal.
Disebabkan oleh organ Apendiks ini adalah satu organ yang kecil, maka apabila berlaku keradangan terhadapnya, alat-alat seperti ultrasound ataupun sinar-X biasa tidak dapat mengesan penyakit ini.
Ujian darah dilakukan untuk membuktikan berlakunya keradangan di dalam badan dan secara tidak langsung membantu pakar bedah di dalam membuat diagnosis Apendisitis Akut.
Pada umumnya, diagnosis Apendisitis Akut bergantung kepada syak doktor berdasarkan kepada cerita pesakit tentang kesakitan di perut dan yang amat penting sekali adalah pemeriksaan fizikal di mana doktor akan menekan bahagian permukaan perut pesakit.
Dalam keadaan ini pesakit akan berasa kesakitan yang lebih kuat. Pada prinsipnya, diagnosis Apendisitis Akut tidak dapat disangkal selagi mana doktor tidak menekan permukaan perut pesakit dengan tangannya sendiri.
Malah pemeriksaan fizikal inilah satu-satunya perkara yang paling penting di dalam mendiagnosis Apendisitis Akut. Ia lebih penting daripada mana-mana ujian lain sama ada sinar-X, ultrasound, CT Scan, ujian air kencing ataupun ujian darah.
Maka, adalah diharapkan pesakit akan sedar bahawa sakit perut di bahagian tengah perut mungkin disebabkan oleh gastrik ataupun penyakit batu karang hempedu ataupun penyakit Apendisitis Akut di peringkat awal.
Apendisitis Akut tidak boleh disangkal sebelum doktor meletakkan tangannya di perut pesakit. Batu karang hempedu tidak dapat disangkal selagi mana ultrasound belum dilakukan.
Bagi pesakit yang muda belia dan pertama kali mengalami sakit perut di bahagian tengah harus berjumpa dengan doktor seberapa segera dan doktor wajib menekan perut pesakit di bahagian kanan bawah pusat dan jika timbul syak Apendisitis Akut maka rujukan kepada pakar bedah harus dibuat dengan segera.
Adalah diharapkan tiada lagi pesakit yang kehilangan nyawa akibat daripada penyakit Apendisitis Akut.
Sedikit mengenai rawatan
Menerusi pembedahan apendektomi secara terbuka, apendiks yang panjangnya 5 hingga 10 sentimeter (sm) akan dibuang pada peringkat pangkal.
Luka torehannya adalah di antara 3 hingga 5 sm, bergantung kepada tahap kegemukan atau obesiti pesakit. Kini, kita mempunyai teknik terkini yang dinamakan laparoskopi dengan beberapa kelebihan terutamanya bagi pesakit yang obes.
Sebanyak tiga torehan dibuat yang setiap satunya berukuran di antara 5 milimeter (mm) hingga 10mm sahaja.
Bagi sesetengah kes yang menyerupai apendisitis di mana apendisitis masih belum pasti, doktor menggunakan kaedah laparoskopi untuk membuat diagnosis.
Memandangkan apendisitis berpotensi pecah dan mengancam nyawa pesakit, pesakit yang disyaki mengalami apendisitis selalunya akan dibedah sekalipun sebelum disahkan menghidap penyakit itu.
Selain parut yang kecil dan tidak menghodohkan (kriteria yang biasanya lebih diambil berat oleh pesakit perempuan), penyembuhan menggunakan pembedahan apendektomi laparoskopi juga adalah lebih cepat.
Selain itu, tempoh tinggal di hospital juga lebih singkat iaitu di antara satu ke dua hari sahaja berbanding pembedahan terbuka yang lebih kompleks iaitu lima hari ke seminggu bagi apendisitis yang telah pecah.
Pun begitu, pembedahan apendektomi secara terbuka masih kekal gold standard di dalam rawatan apendisitis.
Setiap pesakit mempunyai apendisitis yang berbeza-beza di antara satu sama lain. Apendisitis yang melekat (kronik atau berlaku secara berulang) atau yang telah pecah lebih sukar dibedah.
Selain memotong apendiks, rongga abdomen pesakit yang dipenuhi nanah dan najis juga akan dicuci.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment