Wednesday, August 8, 2007

Kejayaan ASEAN membanggakan

SINGAPURA 7 Ogos – ASEAN yang akan merayakan ulang tahun ke 40 esok, boleh berbangga dengan kejayaan semasa dalam mengelakkan peperangan berlaku di kalangan negara anggota tetapi usaha lebih gigih diperlukan untuk memastikan kehidupan yang lebih sempurna bagi rakyatnya.
Pertubuhan negara- negara Asia Tenggara telah ditubuhkan sebagai satu blok yang mewakili barat ketika perang dingin tapi kini kesemua 10 negara anggotanya terdiri dari negara pelbagai fahaman termasuk Vietnam dan Laos yang berpegang kepada fahaman komunis.
ASEAN telah dipuji sebagai penggerak kepada kerjasama ekonomi serantau dan berjaya mengekang ketegangan geopolitik dengan menganjurkan persidangan tahunan forum keselamatan Asia Pasifik yang turut melibatkan kuasa-kuasa dunia.
“Tanpa ASEAN, blok serantau itu pastinya masih lagi sebuah negara mundur seperti tahun-tahun 1960an, yang terlalu bergantung kepada perjanjian dua hala, menurut seorang penganalisis Fakulti Pengajian Antarabangsa di Singapura, Hiro Katsumata.
“Keamanan di Asia Tenggara berjaya dikekalkan tetapi kita masih mendengar kritikan tentang kegagalan dalam isu-isu seperti hak asasi manusia, layanan pekerja asing lebih baik, pemuliharaan alam sekitar dan penentangan pengedaran wang haram,” kata Setiausaha Agung ASEAN, Ong Keng Yong, dalam satu forum di Singapura Isnin lalu yang diadakan mendahului ulang tahun sempena penubuhan ASEAN pada 8 Ogos 1967.
Sehingga ini, masih ramai yang belum dapat merasai kesan penubuhan ASEAN dalam kehidupan seharian mereka.
“Ia adalah sesuatu yang menyedihkan namun dalam satu kajian yang dilakukan, apabila orang ramai ditanya tentang ASEAN hanya satu jawapan yang keluar iaitu kesesakan lalu lintas,” kata seorang diplomat ASEAN.
Menurut Penolong Pengarang Kumpulan sebuah akhbar Nation Group Media dari Thailand, Kavi Chongkittavorn, ASEAN selalu dilabel sebagai sebuah organisasi yang eksklusif dan kini perlu lebih memainkan peranan sebagai organisasi yang mengambil kira suara rakyat.
“Masyarakat di Asia Tenggara wajar berbangga menjadi sebahagian dari masyarakat ASEAN dan haruslah berpegang teguh kepada perjanjian yang dimeterai oleh menteri-menteri luar ASEAN minggu lalu iaitu membantu mana-mana rakyat dari negara ASEAN yang terlibat dengan konflik di seluruh dunia,” kata Kavi lagi.
Tambah beliau lagi, perjanjian supaya diperluaskan kemasukan visa secara percuma antara negara anggota akan turut memberikan kesan yang lebih berkesan.
Piagam ASEAN yang dirangka sebelum ditanda tangani pada Sidang kemuncak ASEAN bulan November ini akan memberi penekanan tentang pentingnya penubuhan sebuah badan hak asasi manusia.
– AFP

No comments: