Friday, August 3, 2007

Adil Dalam Permasalahan Guru-Pelajar

Oleh: AZRINA SOBIAN
PAPARAN selesainya kes guru mendera pelajar di akhbar baru-baru ini bukanlah bermaksud masalah tersebut telah selesai sepenuhnya. Masalah ‘penderaan’ guru terhadap pelajar sebenarnya bukan sekadar ‘penderaan’ itu sahaja tetapi mesti dilihat dari kaca mata yang lebih luas.
Guru juga manusia yang mempunyai kekurangan. Apatah lagi untuk menghadapi kerenah pelajar yang terlalu ‘kurang ajar’.
Sebagai seorang dewasa yang sempurna, guru juga perlu ada penilaian yang wajar dalam dirinya. Dia perlu tahu had yang membolehkannya menghukum pelajar.
Namun, persoalan had akan menjadi begitu kabur apabila perasaan menguasai diri. Oleh itu, guru memerlukan kekuatan tertentu agar dapat bertindak mengikut had yang dibenarkan.
Dalam hal ini, salah satu kekuatannya adalah sokongan daripada ibu bapa dan masyarakat sendiri. Kita perlu menjuruskan masalah guru-pelajar dengan adil.
Masalah ini dilihat secara keseluruhan yang memihak kepada pihak yang benar dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah sebenar.
Dalam hal ini, tindakan guru yang menghukum keterlaluan sememangnya perlu dibincangkan dan tingkah laku buruk pelajar juga perlu diberi perhatian.
Tidak lupa juga peranan Kementerian Pelajaran, ibu bapa dan masyarakat umum. Laporan-laporan penderaan pelajar di akhbar kerap kali kita baca tetapi jarang sekali kita melihat guru diberi peluang membela diri dan seterusnya memahami cabaran-cabaran yang mereka hadapi. Oleh itu, penelitian masalah ini secara keseluruhan dan mendalam sangat perlu agar ia boleh diatasi dengan sebenar-benarnya.
Elok disorot kembali kisah guru-pelajar satu ketika dahulu. Dulunya, guru adalah insan penting dalam masyarakat. Mereka dihormati dan menduduki taraf yang tinggi dalam masyarakat. Bukan lagi asing bagi ibu bapa dahulu menyerahkan anak berserta sebatang rotan untuk dididik guru tersebut.
Ibu bapa dahulu menaruh kepercayaan yang tinggi kepada guru. Walaupun meletakkan syarat, namun secara umumnya mereka membenarkan si anak dirotan. Ini mungkin juga disebabkan pemahaman mereka tentang hukum merotan yang dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu.
Begitulah tinggi dan hormatnya masyarakat dahulu terhadap guru.
Hal ini sangat berbeza sekarang. Tindakan mendidik anak dengan merotan dianggap tidak sesuai lagi. Ibu bapa kini tidak mahu merotan anak sehingga mereka ‘naik kepala’. Sikap ‘naik kepala’ ini perlu diperbetulkan.
Jika ibu bapa tidak mampu melakukannya, maka gurulah yang perlu mengambil tindakan. Tindakan ini perlu kerana ditakuti anak-anak yang pincang akhlak akan masuk ke dalam masyarakat dan akhirnya akan menejahkan masyarakat itu sendiri.
Kisah Muhammad Idris (Imam Shafie) adalah lebih menarik. Seperti mana diketahui umum, beliau merupakan seorang yang sangat cintakan ilmu dan sanggup merantau jauh untuk mendapatkan ilmu tersebut.
Dalam usaha memperoleh ilmu ini, Imam Shafie sedar bahawa salah satu syarat penting mendapat ilmu yang berkat adalah dengan menghormati gurunya. Oleh itu, beliau sangat memuliakan guru.
Terdapat satu kisah di mana semasa menuntut ilmu dengan Imam Malik, Imam Shafie begitu sayang kepada gurunya sehinggakan apabila Imam Shafie menyelak helaian bukunya, beliau melakukan dengan perlahan dan berhati-hati agar tidak mengganggu guru yang dicintainya itu.
Begitulah besarnya kecintaan Imam Shafie kepada gurunya. Menghormati dan menyayangi guru bagi beliau bukan semata-mata kerana guru itu tetapi kerana kecintaan beliau kepada ilmu dan Penciptanya. Oleh itu, benarlah kata-kata Socrates, seorang ahli falsafah Yunani bahawa tanpa ilmu yang sebenar, amalan baik adalah mustahil dan dengan ilmu sebenar, amalan baik adalah kepastian.
Socrates meletakkan ilmu sebagai keutamaan tertinggi dan kesemua kejahatan berpunca daripada kejahilan.
Dalam hal ini, kejahilan terhadap ilmu yang membawa kepincangan. Pelajar yang jahil ilmu, bersikap biadab. Guru yang kurang ilmu, bertindak menghukum membabi buta, ibu bapa yang tidak berilmu, mudah melenting dan menyalahkan orang serta masyarakat yang jahil ilmu menghukum tanpa periksa.
Berbalik kepada kisah Imam Shafie, penghormatan yang diterima gurunya, iaitu Imam Malik dan guru-gurunya yang lain, adalah juga kerana tingginya ilmu dan akhlak si guru.
Oleh kerana itu, sewajarnyalah mereka dihormati. Dalam keadaan kini, jika guru-guru ingin kembali dihormati, maka mereka perlu menunjukkan tahap ilmu dan kerja yang melebihi tahap kecemerlangan.
Ini kerana untuk memperoleh penghormatan, seseorang perlu berusaha mencapainya. Bagi ibu bapa pula, jika mereka tidak berjaya mendidik dan memperbetul tingkah laku buruk si anak lalu menyerahkan tugas ini kepada guru dan sekolah, maka fahamilah keadaan guru ini.
Sesungguhnya, anak-anak kita bukanlah satu-satunya pelajar di sekolah.
- AZRINA SOBIAN ialah Pegawai Penyelidik di Institut Kefahaman Islam Mala

No comments: