Wednesday, August 29, 2007

Menteri akui doktor cuai

Oleh HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 28 Ogos – Kementerian Kesihatan hari ini membuat pengakuan terbuka wujud unsur kecuaian dalam kes bayi Lai Yoke Shan yang mati sel tangan kirinya kerana tersalah suntik oleh seorang doktor pelatih di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang awal bulan ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek ketika membuat pengakuan itu juga melahirkan rasa kecewa kerana doktor pakar yang bertugas di HTAR ketika itu hanya memberikan arahan melalui telefon kepada seorang doktor pelatih yang mengendalikan rawatan bayi perempuan berkenaan.

‘‘Secara terbuka kami mendapati terdapat kelemahan dalam prosedur rawatan ke atas bayi itu. Tambahan pula bayi itu dilahirkan dalam keadaan pramatang dan ini menimbulkan kesulitan kerana rawatannya agak rumit.

‘‘Mengarahkan seorang doktor pelatih untuk menjalankan rawatan itu tidak seharusnya berlaku. Doktor yang bertugas sepatutnya datang melihat sendiri pesakit dan tidak memberikan arahan melalui telefon,” kata Soi Lek pada sidang akhbar selepas sesi dialog bersama pengusaha hospital swasta di kementeriannya di sini.

Awal bulan ini, lengan tangan Yoke Shan yang ketika itu baru berusia dua minggu didapati tidak berfungsi setelah selnya mati akibat kecederaan ketika dirawat di HTAR. Tangan kanak-kanak itu kini menghadapi risiko terpaksa dipotong.

Menurut Soi Lek, Kementerian Kesihatan sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara bagi menentukan jumlah pampasan kepada ibu bapa bayi itu berikutan kecuaian yang dilakukan oleh doktor berkenaan.

No comments: