Oleh: MOHD. SHAUKI ABD. MAJID
HARI Kemerdekaan menjadi ‘hari paling berharga dan bersejarah’ bagi setiap negara, termasuk Malaysia.
Maha Suci Allah menganugerahi umat manusia di seantero dunia ini dengan nikmat kemerdekaan dan kebebasan agar kita menjadi umat yang bertakwa, yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Sekiranya kita menyedari hakikat kemerdekaan sebagai titik permulaan terhadap kebebasan dalam erti yang sebenar-benarnya, maka sewajarnya kita bersyukur akan nikmat Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Dan (ingatlah mereka, wahai Muhammad) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika Dia menjadikan dalam kalangan kamu seorang Nabi, dan Dia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang- orangnya) dan Dia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa pun daripada umat-umat (yang ada pada masa itu).” (Surah al-Maidah: 20)
Inti pati daripada seruan Nabi Musa a.s yang menyeru bangsanya mengingati nikmat kemerdekaan yang dianugerahi oleh Allah s.w.t supaya kita yang hidup zaman ini memperbaiki diri dan mempergunakan kebebasan kita secara bijak dan wajar daripada penjajahan mental dan moral. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum kepada keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya jika mereka tidak mahu berusaha mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri (maksud al-Quran, surah al-Ra’d ayat 11).
Kita wajar menempatkan diri kita sesuai dengan kemampuan dan keahlian masing- masing. Manakala, bagi generasi muda, dituntut meningkatkan ilmu pengetahuan sebagai bekalan bagi mempertahan dan memperkasakan kemajuan yang ada, di samping meningkatkan pembangunan bangsa dan negara pada masa hadapan.
Rasulullah s.a.w mentamsil para pemilik ilmu (orang yang berilmu) seperti lembah yang dapat menampung air yang bermanfaat terhadap alam sekitar.
Dalam konteks kesyukuran terhadap nikmat Allah ini, secara realitinya kita dapat bandingkan dengan negara-negara lain di dunia yang sentiasa terdedah kepada pelbagai ancaman seperti bencana banjir, gempa bumi, kemarau, runtuhan salji, letupan gunung berapi, peperangan, kelaparan serta kemiskinan.
Oleh demikian, kita sepatutnya memetik gugusan hikmah tersebut agar kita tidak lupa diri dan sentiasa mensyukuri nikmat keamanan, kekayaan, dan kedamaian yang dilimpah dan dianugerahkan kepada negara kita ini dan seterusnya berusaha mendekatkan diri kepada-Nya.
Mensyukuri nikmat kemerdekaan dan tidak mengkufurinya bererti kita mengisi dan memaknakan kemerdekaan ini dengan segala usaha yang berpaksikan keadilan bagi menuju kemajuan. Ini sesuai dengan cita-cita kemerdekaan yang sebenar-benarnya, iaitu mewujudkan negara yang berdaulat dan makmur dalam limpahan rahmat dan keredaan Allah s.w.t. Kini kita hidup dalam suasana kemerdekaan, dan hakikatnya nasib kita berada di tangan kita sendiri.
Oleh demikian, sebagai pewaris kemerdekaan, kita memiliki tanggungjawab untuk memupuk subur dan memeliharanya agar obor kemerdekaan yang dinyalakan oleh para pejuang terdahulu tidak menjadi pudar. Caranya ialah turut mengisi dan memaknakan kemerdekaan dengan melakukan kerja-kerja yang bermanfaat dalam melestarikan pembangunan fizikal dan pembangunan rohani sebagai mana yang digariskan dalam wawasan negara.
Kestabilan ekonomi, kekayaan hasil bumi, dan kebebasan rakyat mencari rezeki di setiap inci muka bumi negara ini merupakan anugerah Allah s.w.t yang tidak ternilai dan kita wajib bersyukur.
Antara Islam dan syukur itu, terjalin hubungan yang tidak mungkin terpisah. Dapat disimpulkan bahawa kedua-duanya merupakan dua sisi daripada sekeping syiling atau sehelai wang kertas.
Memang sewajarnya setiap Muslim wajib mensyukuri nikmat yang telah diterima daripada Maha Pencipta dan kemerdekaan adalah antara nikmat yang amat berharga dalam suasana dan wajah dunia yang seringkali tercalar oleh kekejaman sesama manusia, keserakahan perebutan kuasa, dan berleluasanya penjajahan minda.
– MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment