UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) menerusi Jawatankuasa Kawalan Mutu Program Akademik (Jumpa) dan Pusat Pendidikan Luar (PPL) sentiasa memastikan mutu dan kualiti pendidikan ditawarkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang bernaung di bawah universiti itu mematuhi piawaian.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nik Mustapha Raja Abdullah, berkata pemantauan berterusan dilakukan Jumpa dan PPL bertujuan memastikan tahap akademik dan kebajikan pelajar diberi perhatian sewajarnya.
Katanya, UPM menekankan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan mengikuti tahap ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi dan sewajarnya ia dipatuhi semua IPTS terbabit.
“Kita amat prihatin dengan perkembangan IPTS yang bekerjasama dengan UPM dan ia penting bagi memastikan perkhidmatan terbaik.
“Sehubungan itu, kita berharap kerjasama erat antara UPM dan IPTS diperkukuhkan menerusi perkongsian pengalaman dalam pelbagai aspek termasuk pengajaran dan penyelidikan, sekali gus memacu IPTS ke arah kecemerlangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Program Kerjasama UPM-IPTS ke-9, di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM Serdang, semalam.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof Dr Khatijah Mohd Yusoff, Pengarah PPL , Prof Dr Abdul Aziz Saharee dan Pengerusi Jawatankuasa Konvokesyen Program Kerjasama UPM-IPTS ke-9, Norayini Ali.
Seramai 1,366 graduan dari 13 IPTS menerima diploma dan ijazah masing-masing yang disampaikan Nik Mustapha.
IPTS terbabit Kolej Shahputra, Kolej Uniti, Kolej Teknologi Timur, Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics (CICT), Kolej Sal, Kolej Poly-Tech Mara, Kolej Teknologi Bestari (KTB), Kolej Risda Melaka, Institut Teknologi ANS, Kolej PSDC, Kolej Chermai Jaya, Kolej Islam Johor dan Kolej Antarabangsa Labuan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment