Friday, August 17, 2007

Cabaran IPTS isi kemerdekaan

Oleh Mohd Shukri Ab Yajid


Sektor pendidikan swasta perlu dinilai semula tentukan hala tuju

PENDIDIKAN adalah sektor penting kepada negara sejak dulu kerana ia menyediakan modal insan yang diperlukan bagi pembangunan dan kejayaannya. Modal insan yang terdidik dan terlatih juga menjadikan negara lebih mudah menghadapi sebarang cabaran mendatang.

Seiring dengan peredaran masa, pelaburan besar dalam bidang pendidikan kini menjadi antara faktor penyumbang kepada kejayaan negara. Kerajaan jelas memberi penekanan serius terhadap kepentingan pendidikan sebagai penjana kemajuan negara apabila turut memberi galakan dan dorongan kepada penyertaan sektor swasta dalam bidang pendidikan.

Penyertaan sektor swasta dalam bidang ini sebenarnya bukanlah baru. Mengimbas kembali sejarah perkembangan pendidikan swasta di negara ini sejak 50 tahun lalu, kewujudannya bermula atas sebab khusus.

Sebelum merdeka, kewujudan kebanyakan institusi pendidikan swasta lebih berbentuk institusi keagamaan seperti sekolah pondok, agama dan mubaligh. Ketika itu institusi pendidikan swasta mempunyai dua peranan iaitu menyediakan pendidikan agama dan mengadakan kelas malam bagi membantu pelajar tercicir atau yang tidak lulus peperiksaan Malaysia Certificate of Education (MCE) dan Higher School Certificate (HSC).

Bagaimanapun, peranan ini berubah sejak 1970-an apabila pengusaha pendidikan swasta mula menawarkan kursus pra universiti dan kemudiannya berkembang pada dekad berikutnya dengan pengendalian kursus pengajian peringkat sijil, diploma dan kelayakan profesional. Pembangunan pendidikan swasta semakin pesat selepas penggubalan Akta Pendidikan 1996 dan Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996.

Kini, selepas 50 tahun negara merdeka, penilaian semula patut dibuat untuk melihat sama ada sektor pendidikan swasta, terutama institusi pengajian tinggi, secara keseluruhannya mempunyai wawasan dan hala tuju yang selari dengan cabaran terkini serta masih relevan dalam konteks sekarang supaya institusi itu dapat terus memainkan peranan lebih besar sesuai dengan tuntutan dan keperluan negara.

Institusi pendidikan swasta, terutama institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), sebenarnya boleh memainkan peranan membangunkan ekonomi negara menerusi pembangunan modal insan. Pertumbuhan IPTS sebenarnya menyediakan peluang sama rata untuk rakyat mendapat akses dan ekuiti dalam pendidikan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti ekonomi negara.

Bagaimanapun, selepas 50 tahun merdeka, masih banyak isu pendidikan yang perlu ditangani. Apatah lagi dengan perubahan fokus terhadap bidang pendidikan, yang bukan saja membabitkan isu akses dan ekuiti, malah pendekatan modal insan untuk mempertingkat ekonomi serta isu globalisasi yang perlu dihadapi, lebih-lebih lagi dalam usaha kerajaan menjadikan Malaysia hab kecemerlangan pendidikan.

Dalam hal ini, IPTS juga berperanan besar memacu pengantarabangsaan pendidikan dengan memperluaskan pelaburan ke luar negara dan pada masa sama menarik pelaburan pendidikan dari negara asing.

Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM) dan kolej sekutunya, Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) misalnya, bukan saja membina institusi pengajian di dalam negara, malah mengembangkan operasi ke rantau yang sesuai diterokai di samping melaksanakan program pesisir sebagai strategi pelaburannya.

Langkah ini bertujuan menyumbang kepada peningkatan akses dan ekuiti serta membangunkan penjenamaan global pendidikan Malaysia, bukan saja dalam pasaran tempatan malah juga antarabangsa.

Satu lagi fakta amat penting ialah pendidikan memainkan peranan cukup bermakna dalam proses integrasi masyarakat di Malaysia selama ini. Memandangkan hampir separuh pelajar yang mengikuti pendidikan tertiari ketika ini berada di IPTS, maka penting untuk melihat semula peranan yang boleh sumbangkan oleh institusi berkenaan dalam proses integrasi antara kaum.

Ini kerana seolah-olah wujud keadaan di mana majoriti pelajar di IPTS terdiri daripada kaum tertentu, demikian juga di IPTA. Bagi menangani cabaran ini, penyatuan fikiran di kalangan pembuat dasar kerajaan di Kementerian Pengajian Tinggi diperlukan kerana tanpa keseragaman dasar untuk IPTA dan IPTS, matlamat sukar dicapai.

Tidak dinafikan ketika ini kementerian itu jelas bersungguh-sungguh menggerakkan ruang untuk IPTS menyumbang. Sebagai contoh, pelaksanaan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) merangkumi IPTA serta IPTS.

Ia bermakna usaha ke arah matlamat itu sudah ada. Namun ia hendaklah dipercepat dan diperkasa supaya kita tidak perlu menunggu sehingga 50 tahun lagi untuk mencapainya. Tambahan pula, penerimaan masyarakat terhadap IPTS sudah mula berubah sejak 10 tahun lalu.

Jika dulu masyarakat melihat IPTS sebagai ‘second class provider’ tetapi sekarang mereka sudah semakin menerima hakikat bahawa IPTS setanding dengan institusi pendidikan lain. Ia terbukti dengan ramainya pelajar mendapat keputusan cemerlang, terutama pelajar Melayu, kini memilih untuk memasuki IPTS berbanding sebelum ini yang hanya mengharapkan memasuki IPTA.

Bahkan ada di kalangan mereka sejak awal lagi membuat pilihan untuk melanjutkan pelajaran di IPTS walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Berdasarkan pengalaman KUTPM dan PTPL sendiri, pelajar cemerlang dengan keputusan 12A dan 10A juga memilih menyertai program kami.

Antara faktor utama mendorong pelajar berbuat demikian ialah mereka boleh memilih dan mengikuti bidang pengajian yang diminati berbanding IPTA yang sangat kompetitif. Selain perubahan tanggapan masyarakat, statistik kajian jejak graduan yang dibuat kebanyakan IPTS mendapati majikan juga sudah menerima baik graduan dikeluarkan institusi berkenaan.

Misalnya, 95 peratus graduan KUTPM serta 93 peratus graduan PTPL berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Statistik ini adalah bukti kukuh penerimaan majikan terhadap graduan keluaran IPTS. Rahsia kejayaan itu terletak pada penawaran program berkualiti yang berpotensi tinggi dalam pasaran kerjaya.

Dalam perkataan lain, peranan IPTS amat besar dalam membantu kerajaan dari segi penjanaan modal insan yang diperlukan bagi memenuhi hasrat pembangunan negara, terutama dalam bidang kritikal.

Keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kemampuan IPTS di Malaysia juga semakin bertambah berbanding dulu, bererti usaha kita memasar dan membina jenama sektor pendidikan negara dalam pasaran global sejak 10 tahun lalu, sudah mula menampakkan impak.

Bagaimanapun, IPTS juga perlu mengubah perspektif mereka. Pengusaha IPTS sendiri perlu bekerja keras untuk memberi perspektif baru bahawa pendidikan swasta juga berkongsi tanggungjawab untuk membangunkan negara dan terus bekerja lebih keras membuat penambahbaikan bagi memastikan Malaysia mencapai matlamat menjadi hab kecemerlangan pendidikan.

Salah satu cabaran dalam pembangunan IPTS ialah pembabitan institusi pendidikan Bumiputera yang bertaraf global. Walaupun ramai usahawan Bumiputera menceburi sektor pendidikan ketika ini tetapi hasil kejayaannya masih belum begitu besar. Dalam konteks ini, ada tiga perkara penting perlu difahami mereka yang bercadang menjadi usahawan dalam bidang pendidikan.

Pertama, pendidikan bukan suatu sektor yang boleh memberi pulangan dalam jangka pendek. Oleh itu, usahawan sektor pendidikan mesti mempunyai perspektif jangka panjang. Kedua, sehingga kini tiada sebarang skim khas disediakan kerajaan untuk menggalakkan usahawan Bumiputera menceburi sektor pendidikan.

Oleh itu, mesti ada satu `road map' merangkumi kesepaduan polisi membabitkan semua pihak terbabit dan perlu ada pelan strategik untuk mencapai objektif dikehendaki. Ketiga, operasi sektor pendidikan menuntut faktor modal insan.

Pengusahanya mesti mempunyai kelayakan setara, kesabaran minat dan kecintaan terhadap bidang ini. Sehubungan itu, komitmen mesti sentiasa dipertingkat sejajar dengan cabaran yang semakin besar dari semasa ke semasa.

IPTS akan terus memainkan peranan semakin besar dan penting dalam sistem pendidikan Malaysia pada masa depan. Berasaskan perkembangan sekarang yang menyaksikan perubahan persepsi masyarakat dan majikan terhadap IPTS, jelas membuktikan ia bukan lagi sekadar pelengkap kepada bidang pendidikan sedia ada, sebaliknya memainkan peranan penting yang setara dengan institusi pendidikan lain.

Tambahan pula dengan senario globalisasi dan penekanan terhadap amalan pembelajaran sepanjang hayat, IPTS akan terus meniti kemajuan membanggakan pada masa depan dan menjadi penyumbang besar kepada pembinaan modal insan negara.

INTI PATI


Sektor pendidikan swasta perlu menilai semula sama ada institusi itu dapat terus memainkan peranan lebih besar sesuai dengan tuntutan dan keperluan negara.


Pertumbuhan IPTS menyediakan peluang sama rata untuk rakyat mendapat akses dan ekuiti dalam pendidikan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti ekonomi negara.


IPTS perlu melihat semula peranan yang boleh sumbangkan dalam proses integrasi antara kaum.


IPTS berperanan besar memacu pengantarabangsaan pendidikan dengan memperluaskan pelaburan ke luar negara dan pada masa sama menarik pelaburan pendidikan dari negara asing.

Penulis adalah Presiden Kolej Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (KUTPM) serta Presiden Kumpulan Kolej PTPL.

No comments: