Wednesday, August 29, 2007

IPTA bebas pilih naib canselor



Oleh Norfatimah Ahmad, Azman Mahmood dan Norliza Abdullah


PETALING JAYA: Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bebas memilih naib canselor dan ahli lembaga pengarah menerusi pemberian kuasa autonomi, yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam proses transformasi dan pembaharuan pengajian tinggi negara.

Selain itu, IPTA boleh membuat keputusan sendiri untuk menambah profesional asing, meningkatkan dana universiti menerusi penyediaan tabung khas dan pemilihan pelajar antarabangsa.


Menjelaskan pemberian kuasa autonomi itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed (gambar), berkata buat permulaan kuasa autonomi itu akan dinikmati satu atau dua universiti apex, iaitu kelompok universiti elit, yang akan dipilih selewat-lewatnya sebelum September tahun depan.

“Kuasa autonomi itu kemudian akan diperluaskan meliputi empat universiti penyelidikan dan semua 20 IPTA secara berperingkat sehingga 2020,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan terbitan TV3, Malaysia Hari Ini, di Sri Pentas, di sini, semalam.

Kelmarin, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika melancarkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020 dan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara 2007-2010, mengumumkan IPTA akan diberi lebih autonomi dalam beberapa perkara tertentu menerusi proses transformasi dan pembaharuan pengajian tinggi negara.

Perdana Menteri juga mengumumkan kerajaan akan mewujudkan universiti apex yang akan dipilih di kalangan IPTA terunggul dalam meningkatkan kecemerlangan akademik yang berkualiti, bertaraf global serta dihormati dan disanjungi seluruh dunia.

Mustapa berkata, selain IPTA, institut pengajian tinggi swasta (IPTS) juga berpeluang merebut status universiti apex.

“Dalam usaha melonjakkan sistem pendidikan tinggi negara, pemilihan universiti berprestij itu tidak hanya tertakluk kepada IPTA atau universiti penyelidikan, malah IPTS yang layak juga berpeluang mendapat pengiktirafan.

“Bagi menjayakan usaha ini, satu jawatankuasa khas dianggotai ahli akademik, pengamal industri dan profesional pelbagai bidang akan ditubuhkan untuk menilai kelayakan serta keupayaan IPT berkenaan,” katanya.

Pemberian autonomi itu turut membabitkan kelonggaran kuota pengambilan pelajar asing bagi peringkat ijazah pertama daripada 10 peratus sekarang kepada jumlah yang difikirkan sesuai dengan status universiti berkenaan serta program ditawarkan.

“Penyediaan tabung khas pula membolehkan universiti menjana ekonomi sendiri tanpa bergantung kepada kerajaan. Setakat ini 88 peratus daripada kos pengurusan IPTA ditanggung kerajaan.

“Bagaimanapun, kuasa autonomi itu akan diperinci bagi memastikan tahap kebebasan pihak pengurusan tidak bertentangan dengan syarat serta peraturan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti,” katanya.

Pada sidang akhbar selepas Konvokesyen ke-7 Kolej Teknologi Timur (KTT) di sini pula, Mustapa berkata, semua 20 IPTA, 36 universiti swasta dan lebih 500 kolej universiti swasta akan menjalani proses pengauditan kualiti pendidikan mulai tahun depan.

“Kita tidak mahu ketika kerajaan berusaha menjadikan negara pusat pendidikan cemerlang pada peringkat antarabangsa, ada IPT yang tidak berkualiti masih menawarkan kursus kepada pelajar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan IPT, Datuk Dr Hassan Said, berkata audit kualiti itu masih di peringkat pengumpulan data sebelum dianalisa dengan terperinci.

Analisis untuk IPTA dilaksanakan Bahagian Jaminan Kualiti kementerian berkenaan, manakala IPTS pula menjadi tanggungjawab Lembaga Akreditasi Negara (LAN) yang akan dijenama semula sebagai Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

No comments: