Wednesday, August 8, 2007

ATASI KELEMAHAN MUTU PENYIASATAN, PENDAKWAAN

SATU lagi kes berat berakhir dengan hakim terpaksa membebaskan tertuduh tanpa dipanggil membela diri akibat kelemahan pendakwaan kes.
Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Abdul Halim Aman membebaskan dua pemuda daripada tuduhan membunuh seorang lelaki yang dikatakan cuba mencuri getah sekerap.
Kita harus menghormati keputusan hakim itu yang memerlukan keterangan kes dan bukti-bukti yang jelas bagi membantunya membuat pengadilan. Tetapi jika apa yang diperlukannya tidak cukup, beliau terpaksa mengetepikan kes dakwaan itu, juga atas nama keadilan.
Kita tertanya-tanya mutu pendakwaan hinggakan hakim dengan jelas menegur amalan kerja ‘kes janji siap’ yang dijalankan oleh pegawai penyiasat kes bunuh itu.
Dalam konteks perundangan, tindakan pegawai penyiasat tidak melaksanakan siasatan secara menyeluruh, cukup mengecewakan.
Kita tidak perlu mempertikaikan proses keadilan di mahkamah, tetapi harus mencari jalan untuk mengatasi kelemahan pendakwaan.
Beberapa kes jenayah berat yang menjadi tumpuan masyarakat telah berakhir dengan pembebasan pihak tertuduh kerana kelemahan pendakwaan. Pihak berkenaan tahu di mana kelemahan dan kekurangan kes pendakwaan mereka.
Jadi bukan sahaja pihak polis perlu bertanggungjawab dalam hal ini, tetapi juga pihak peguam pendakwa raya.
Peguam Negara pernah berkata, bukan mudah untuk mendakwa pihak tertuduh jika kes pendakwaan belum cukup kuat. Sebab itu, ada kes-kes tertentu, terpaksa memakan masa yang lama sebelum dapat membawa pihak tertuduh ke muka pengadilan.
Malah ada kes-kes jenayah terutamanya rasuah dan penyelewengan terpaksa digugurkan kerana kes untuk mendakwa pihak tertuduh tidak kuat.
Pun begitu, jika adapun perbicaraan dilaksanakan, tetapi terdapat pendakwaan yang masih gagal mensabitkan seseorang dengan tuduhan jenayah.
Jadi ada baiknya jika pegawai penyiasat dan pendakwa raya mengkaji dengan terperinci mutu kerja masing-masing sebelum membawa kes ke mahkamah.
Peguam Negara dan Ketua Polis Negara perlu melihat semula mutu kerja anak-anak buah supaya hakim dapat membuat pengadilan yang terbaik.
Penyiasatan dan pendakwaan kes mesti dibuat dengan cepat, tepat dan betul supaya tidak dipertikaikan kemudian hari.
Persepsi masyarakat terhadap keadilan mahkamah juga perlu dipelihara agar kepercayaan mereka tidak terhakis. Mahkamah memerlukan bukti-bukti dan keterangan yang kukuh dan jelas melebihi tahap keraguan sebelum orang yang kena tuduh dipanggil membela diri.
Jadikanlah kritikan hakim terhadap mutu kerja penyiasatan yang tidak terperinci dan amat tidak memuaskan sebagai pengajaran dan ‘ditanda’ dengan titik noktah.

No comments: