SEJAK kejatuhan Kesultanan Melaka kepada Portugis pada 1511 yang kemudian menjajah selama 130 tahun, diikuti Belanda (180 tahun) disusuli Inggeris (117 tahun) dan kemudian pendudukan Jepun (4 tahun) seterusnya sekali lagi Inggeris (12 tahun) sehingga kemerdekaan negara pada 1957 yang mengambil masa 446 tahun, rakyat Tanah Melayu ketika itu hidup terumbang-ambing mengikut percaturan kuasa asing.
Apa juga keputusan ditentukan orang lain mengikut kepentingan mereka. Ia menepati pepatah bahawa hidup dijajah ibarat melukut di tepi gantang. Walaupun tanah air ini dimiliki bangsa peribumi, disebabkan kehilangan kuasa, penjajah boleh melakukan apa saja. Hitam kata mereka, maka hitamlah jadinya, manakala kaum peribumi hanya mampu mengikut telunjuk. Bagi mereka yang dijajah, sesuatu yang nyata ialah mereka kehilangan maruah, martabat diri dan bangsa mereka.
Bagi penjajah, mereka melihat betapa pentingnya bumi Tanah Melayu ini dari konteks hasil mahsulnya, kepentingan, pelabuhan bebas dan kepentingan strategik yang lain. Malangnya, rakyat peribumi masih hidup di bawah tempurung. Mereka tidak berdaya melakukan sesuatu untuk membebaskan diri daripada belenggu penjajah.
Bagaimanapun, cahaya mula kelihatan di hujung terowong apabila rakyat mula berganding tangan dengan slogan Bersatu Kukuh, Bercerai Roboh untuk menentang Malayan Union menerusi Umno atau Pekembar (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Kesedaran politik di kalangan orang Melayu begitu bersemarak selepas mereka mula menyedari soal maruah diri yang tergadai. Dengan pimpinan Datuk Onn Jaafar diiringi dengan bersemaraknya semangat menentang penjajah dengan slogan ‘Hidup Melayu’, bergegar suara rakyat di seluruh negara untuk menghalau Inggeris dari bumi Tanah Melayu.
Perjalanan untuk mencapai kemerdekaan penuh ranjau dan duri. Pada tempoh sama juga, penduduk Tanah Melayu terpaksa menghadapi ancaman komunis diperjuangkan Parti Komunis Malaya (PKM) yang didominasi orang Cina. Mereka melancarkan penentangan bersenjata terhadap kerajaan kolonial Persekutuan Tanah Melayu dengan tujuan memerintah Tanah Melayu. Satu peristiwa membabitkan ancaman komunis ialah Peristiwa Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.
Dalam peristiwa berdarah itu, 250 tentera PKM menyerang Balai Polis Bukit Kepong, di Hulu Muar. Mereka membunuh pegawai polis bertugas, isteri dan anak mereka. Beberapa orang awam turut terbunuh. Dalam pertempuran itu, 25 terbunuh membabitkan 19 anggota polis, dua isteri polis dan dua anak keluarga polis. Empat anggota polis yang terselamat cedera parah. Keakraban polis dan masyarakat ketika itu digambarkan apabila Penghulu Ali dan anak buahnya datang membantu.
Peristiwa ini jelas menunjukkan betapa kuatnya semangat anggota polis mempertahankan bumi berdaulat daripada sebarang ancaman, walaupun nyawa keluarga dan diri mereka sendiri terpaksa dikorbankan. Ia juga menunjukkan betapa peritnya kehidupan yang terpaksa dihadapi rakyat ketika itu. Bagi komunis pula, mereka sanggup melakukan apa juga walaupun terpaksa menyerang balai polis demi perjuangan mereka untuk merampas negara ini secara kekerasan.
Komunis mengambil kesempatan merampas negara ini ketika Jepun mengaku kalah, manakala orang Melayu ketika itu belum menyusun langkah untuk menguasai bumi mereka sendiri. Dalam tempoh dua minggu, kuasa pemerintahan dirampas Tentera Bintang Tiga atau MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army). Tentera bintang Tiga ini ditubuhkan oleh PKM pada 1930. Bagaimana pun, ancaman Tentera Bintang Tiga dapat diimbangi oleh tentera Force 136 yang dianggotai orang Melayu.
Selepas PKM gagal melakukan sesuatu ketika kejatuhan Jepun, ia cuba menggunakan cara perundangan untuk mencapai tujuan mereka. Ini mereka lakukan bersama Majlis Penasihat Gabenor di Singapura pada 1945, mengekalkan hubungan dengan Kesatuan Demokratik Malaya (Malayan Demokratik Union) dan Parti Nasionalis Malaya, dan kemudian menubuhkan Kesatuan Buruh Am (General Labour Union) di Singapura dan disusuli negeri lain. Di Batu Pahat dan Muar, Johor, orang Melayu melakukan penentangan terhadap tentera Bintang Tiga PKM dengan menubuhkan pasukan parang panjang yang dipimpin Kiyai Salleh.
Pelan Brigg sempena nama Leftenan Jeneral General Sir Harold Briggs, yang dilantik sebagai Pengarah Operasi ketika Darurat pada Mac 1950, dilaksanakan yang antara lain membabitkan perpindahan 400,000 kaum Cina ke 400 kampung baru untuk mengelakkan mereka berhubung dengan anggota komunis.
Satu lagi peristiwa membabitkan komunis ialah pembunuhan Sir Henry Gurney di Bukit Frazer dalam satu serang hendap pada 6 Oktober 1951.
Pada 28 Disember 1955 PKM mengadakan rundingan dengan pemimpin parti politik tempatan yang diketuai Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Bagaimana pun, PKM enggan meletakkan senjata lalu meneruskan gerakan mereka untuk merampas Tanah Melayu secara kekerasan.
Umumnya, peristiwa yang berlaku sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 1957, banyak mencorakkan suasana dan persekitaran, termasuklah dari segi demografi dan geopolitik negara ini. Selain persekitaran negara ini ditentukan menerusi dasar pecah dan perintah Inggeris, kedudukan kependudukan majmuk rakyat negara ini juga dicorakkan oleh persekitaran dan peluang ekonomi yang wujud sebelum itu. Ini termasuk peristiwa perebutan kawasan perlombongan bijih timah yang membawa kepada kemasukan rakan kaum Cina dan ladang getah bagi kemasukan orang India.
Secebis peristiwa – pada masa pergaduhan merebut kawasan perlombongan, Yap Ah Loy membantu Tengku Kudin, seorang pembesar Melayu di Selangor. Apabila Tengku Kudin memenangi pergaduhan ini, Yap Ah Loy dilantik menjadi Kapitan Cina di Kuala Lumpur. Kemudian, Yap Ah Loy dilantik menjadi anggota Majlis Pentadbiran Negeri Selangor.
Bagi kemasukan buruh India pula, ia berlaku apabila kerajaan Inggeris membuat persetujuan dengan kerajaan India membenarkan kemasukan buruh secara terancang.
Ini adalah realiti di negara ini bahawa kaum Melayu, Cina dan India perlu hidup bersama dan bersaing sesama sendiri dalam bidang politik dan ekonomi.
Perkembangan perusahaan getah dan bijih timah yang pesat di Tanah Melayu sebelum ini memberi kesan sosial dan ekonomi akibat kemasukan imigran Cina dan India ke Tanah Melayu, sudah kian terhakis menerusi pemuafakatan yang diasaskan menerusi kerjasama dalam Parti Perikatan dan kemudian Barisan Nasional (BN). Sekiranya sebelum ini kaum ini sering memandang serong antara satu dengan lain sekarang, keadaannya sudah berbeza. Mereka hidup aman damai menerusi BN.
BN berjaya merintis jalan perpaduan walaupun keadaan sebelumnya dilihat amat rumit terutama apabila setiap kaum membentuk organisasi sosial dan budaya masing-masing.
Menyedari bahawa kemerdekaan negara juga dicapai menerusi pakatan semua parti berasaskan kaum di negara ini, semua pihak menerima hakikat negara ini adalah sebuah negara majmuk yang aman dan progresif. Ia adalah satu kekuatan yang tidak wujud di negara lain. Semangat perpaduan yang dipupuk ini seharusnya dijaga.
Bertepatan dengan itulah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memfokuskan kemuncak ucapan pelancaran sambutan kemerdekaan Malaysia ke-50 di Melaka pada 17 Ogos 2007 agar rakyat mengutamakan perpaduan. Seruan memperkasa usaha ke arah perpaduan turut diulang beliau ketika melancarkan Kongres Patriotisme Remaja di PICC, Putrajaya pada 18 Ogos 2007. Mesej menyeru kepada perpaduan juga diberi penekanan oleh Perdana Menteri ketika ucapan perasmian persidangan tahunan parti MCA pada 19 Ogos 2007.
Dalam keseronokannya mengimbas kemeriahan sambutan pelancaran perayaan 50 tahun merdeka di Melaka itu, Perdana Menteri, sejurus selepas merasmikan Kongres Patriotisme Remaja menyatakan kepada penulis dan rakan yang lain termasuk Pengarah Eksekutif Gabem, Datuk Mohamed Dahan Latif; Naib Canselor UIA, Profesor Syed Arabi Idid dan Presiden Yayasan Ekuiti Melayu, Datuk Dr Kamal Salleh bahawa beliau cukup berbangga melihat di sepanjang jalan di Bandar Melaka , semua kaum – Melayu, Cina dan India dengan jujur, ikhlas dan lantang, satu hati, satu suara, satu tujuan dan satu harapan melaungkan satu mesej – Merdeka, Merdeka, Merdeka.
Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif adalah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment