Wednesday, August 8, 2007

Angkasawan Malaysia akan ke Marikh?

Oleh ZAMZURINA AHMAD

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Anda mungkin tidak percaya. Manusia akan ke planet Marikh yang berjarak 78.3 juta kilometer dengan perjalanan setahun pergi dan setahun kembali ke bumi.
Lebih mendebarkan apabila angkasawan negara yang berjaya ke angkasa lepas pada 10 Oktober ini turut ditawarkan oleh kerajaan Rusia untuk menyertai misi ke planet itu.
Jika misi tersebut berjaya yang tidak dinyatakan tarikhnya, mereka bakal menjadi manusia pertama menjejak planet merah itu.
Setiausaha Parlimen Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Datuk Dr. Mohd. Ruddin Abdul Ghani berkata, tawaran daripada kerajaan Rusia itu telah disampaikan kepada kedua-dua calon angkasawan negara baru-baru ini.
Beliau berkata, kerajaan amat mengagumi persetujuan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr. Faiz Khaleed yang sedang menjalani latihan bersama Agensi Angkasawan Eropah di Star City, Moscow dengan tawaran berkenaan.
“Kita sangat kagum apabila kedua-dua calon angkasawan itu sanggup menyahut cabaran.
‘‘Tidak ramai yang mampu melaksanakan misi tersebut kerana penerokaan ke alam angkasa memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang baik serta jati diri yang tinggi,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Pengurusan Kualiti Antarabangsa 2007 anjuran Agensi Nuklear Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, manusia pertama yang sampai di bulan, Neil Armstrong, manusia mungkin akan mengambil masa lebih 20 tahun lagi untuk menjejakkan kaki ke Marikh.
Katanya, cabaran mendarat di planet itu lebih sukar daripada halangan yang dihadapi oleh Apollo 11 pada 1969 untuk mendarat di bulan.
Ini kerana sinaran radiasi di Marikh berbahaya kepada manusia dan memerlukan pembangunan satu bentuk perlindungan bagi keselamatan angkasawan, kata Armstrong.
Kapal angkasa pertama ke Marikh ialah Mariner 4 dari Amerika Syarikat (AS) pada 1965 manakala objek pertama berjaya mendarat di permukaan planet itu ialah Mars 2 dan Mars 3 dari Rusia pada 1971.
Ketua Pengarah Angkasa, Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman ketika dihubungi berkata, manusia mampu sampai ke Marikh sekiranya mempunyai roket yang berteknologi tinggi serta kepakaran.

No comments: