Monday, August 6, 2007

Tanggungjawab Muslim tangani krisis akhlak

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ISU keruntuhan akhlak dan masalah disiplin pelajar semakin parah akhir-akhir ini dan menjadi perbahasan hangat di kalangan pelbagai pihak. Pelbagai bentuk masalah disiplin dan akhlak pelajar seperti vandalisme, gejala buli, pergaduhan, kegiatan samseng, kes memukul guru, kes membakar sekolah dan sebagainya. Lebih mengejutkan lagi, pihak Kementerian Pelajaran mendedahkan kira-kira 76,300 atau 1.09 peratus daripada keseluruhan tujuh juta pelajar di negara ini terbabit dalam pelbagai masalah disiplin. Perlu diinsafi rentetan peristiwa demi peristiwa yang berlaku di kalangan pelajar kini mendukacitakan, sekali gus ia menjadi isyarat jelas bahawa indeks keruntuhan akhlak di kalangan pelajar negara berada di paras berbahaya.

Sewajarnya apa yang berlaku diberi perhatian serius oleh pelbagai pihak bertanggungjawab seperti ibu bapa, masyarakat dan kerajaan dalam mendepani kemelut yang meruncing. Islam juga perlu menginsafi apakah corak pendidikan dan asuhan yang sudah dan sedang dicurahkan kepada anak muda masih tidak mencukupi, lantaran itu mereka begitu mudah terjerumus ke kancah yang akhirnya bukan saja memudaratkan diri mereka sendiri, malah mengancam kesejahteraan masyarakat dan kestabilan negara. Umat Islam juga wajib menilai diri apakah fenomena yang berlaku kerana mereka sudah melupakan tanggungjawab masing-masing dalam mendidik generasi muda yang bakal mewarisi takhta kepemimpinan masa akan datang.

Oleh itu, adalah tidak wajar kita memandang remeh terhadap apa yang berlaku dan seterusnya menganggap ia masih belum serius dan dalam keadaan terkawal. Kita mesti berwaspada dan berhati-hati serta sentiasa beringat sepanjang masa. Jangan pula apabila masalah menjadi serius dan parah, barulah kita mahu mengambil tindakan susulan pada hal ia sudah terlambat bak kata orang tua, “Sudah terantuk baru terngandah.” Untuk itu, umat Islam tidak usah lagi menuding jari menyalahkan siapa yang bertanggungjawab terhadap krisis akhlak dan masalah disiplin yang berlaku di kalangan pelajar. Masih belum terlambat untuk kita merenung kembali sebarang kekhilafan mahupun kekurangan yang terselit sehingga melupakan tanggungjawab sebenar yang dituntut Islam dalam mendidik generasi muda dengan didikan sempurna. Islam menganjurkan umatnya mendidik anak dengan didikan ilmu dunia dan akhirat. Tugas mendidik bukanlah satu tugas yang mudah, namun ia mesti dipikul setiap Muslim dalam komuniti masyarakat Islam. Perlu ditegaskan, skop didikan bukan sekadar memberi makan pakai secukupnya, malah turut mencakupi bimbingan ke arah kebaikan dan kebahagiaan sebenar. Dengan kata lain, mendidik ialah satu tugas bermatlamatkan melahirkan generasi Muslim yang menepati ciri dinyatakan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman! Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya; dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatan mereka, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela; kemudian sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampau batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; dan mereka yang tetap memelihara solatnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” – (Surah al-Mukminun, ayat 1 - 11)Tanggungjawab mendidik adalah tanggungjawab masyarakat seluruhnya. Masyarakat, golongan pemerintah dan rakyat sama-sama mempunyai peranan tersendiri dalam proses pendidikan.Tanggungjawab pemerintah dalam mendidik dapat dilihat melalui usaha mereka mewujud dan menubuhkan pelbagai institusi pendidikan pada peringkat yang menawarkan program pendidikan duniawi dan ukhrawi. Di samping itu, kerajaan juga bertanggungjawab menyediakan tenaga pendidik mahir dalam pelbagai bidang untuk menaburkan bakti khidmat kepada generasi Islam. Rasulullah SAW sering kali mengingatkan umat Islam mengenai tanggungjawab terhadap orang di bawah jagaan atau seliaan mereka. Selanjutnya, ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya dalam tugas mendidik generasi muda, bahkan ibu bapa adalah pendidik pertama kepada anak mereka. Tambahan, tanggungjawab mendidik paling besar sebenarnya terhimpun di bahu mereka berdua yang bakal mencorakkan jenis pendidikan, perwatakan dan pemikiran anak mereka. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiada bayi yang dilahirkan melainkan dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dan bersih dari dosa). Maka kedua ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” – (Hadis riwayat Bukhari)

Penulis ialah Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia

No comments: