Friday, August 3, 2007

Koridor Utara idea terbaik: Dr M

(Sumber: Berita Harian Online)

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyifatkan pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sebagai percaturan amat strategik bagi merancakkan pembangunan, sekali gus mempertingkatkan tahap sosio ekonomi penduduk setempat.“Itu idea yang amat baik, boleh memacu perkembangan ekonomi dengan memberi peluang pekerjaan serta perniagaan kepada penduduk kawasan terbabit,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan dan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2007, di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Mukhriz Mahathir. Dr Mahathir juga adalah penaung MFA.Rangka kerja pembangunan NCER yang menyaksikan pelan terperinci bagi membangunkan 2.4 juta hektar kawasan meliputi Perlis hingga ke Perak Utara, termasuk Kedah dan Pulau Pinang, dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Isnin lalu.
Berdasarkan rangka kerja 2007-2025 yang disediakan peneraju yang juga penggerak inisiatif itu Sime Darby Bhd (Sime Darby), ia amat menyeluruh dengan menyentuh pelbagai aspek pembangunan yang bakal dinikmati 4.29 juta rakyat yang menghuni koridor berkenaan.Pelaburan RM177 bilion untuk Koridor Utara dalam tempoh 18 tahun yang diumumkan Abdullah itu akan melengkapkan infrastruktur supaya lebih kondusif untuk sektor swasta menanam modal di kawasan berkenaan, sekali gus mewujudkan pelbagai peluang ekonomi kepada rakyat tempatan.Selain pembangunan di wilayah selatan dan utara, kerajaan turut merancang pembangunan pantai timur dengan pelaburan besar sektor swasta, khususnya Petronas, menerusi inisiatif pembiayaan persendirian (PFI).Ditanya bila Petronas yang diberi tanggungjawab membangunkan membangunkan Koridor Pantai Ti mur akan mengemukakan pelan induk rancangan pembangunan itu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenainya.“Saya tidak tahu. Petronas belum memaklumkannya kepada saya dan saya masih menunggu,” katanya yang juga penasihat Petronas.Kerajaan memberikan Petronas tanggungjawab menerajui pembangunan Koridor Timur meliputi Kelantan, utara Terengganu dan kawasan barat Pahang. Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), negeri di wilayah timur itu akan diberikan peruntukan RM22.3 bilion.Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai perancangan sama ada akan menambah lagi rangkaian kedai roti miliknya di Langkawi, The Loaf, Dr Mahathir berkata satu cawangan akan dibuka di Pavillion, Jalan Bukit Bintang pada 20 September ini.

No comments: