Friday, August 3, 2007

TPM: Rombak Sistem Penyelidikan Universiti

(Sumber: Utusan Online)
Oleh: ROZAMAN ISMAIL

PUTRAJAYA 2 Ogos – Sistem pentadbiran penyelidikan dan pembangunan (R&D) di universiti-universiti tempatan perlu dirombak secara menyeluruh kerana terlalu banyak kerenah birokrasi yang menghalang kemajuan ahli-ahli akademik dan para penyelidik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kekangan itu menjadikan para penyelidik begitu tertekan kerana mereka tidak dapat bertindak dengan lebih pantas dan bebas dalam menjalankan tugas masing-masing.
‘‘Hari ini tahap birokrasi masih lagi mengekang kemampuan ahli-ahli akademik dan para penyelidik.
‘‘Saya ingin melihat semua pihak melakukan satu rombakan secara menyeluruh pada sistem pentadbiran R&D terutama di peringkat universiti supaya satu sistem lebih anjal, proaktif, responsif dan mempercayai penyelidik tempatan dapat diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Akademik Negara 2006 dan Watikah Pengisytiharan Universiti Penyelidikan di sini hari ini.
Menurut Najib, antara contoh kerenah birokrasi termasuk kesukaran yang dihadapi oleh para penyelidik dan ahli akademik untuk membeli peralatan, pergi ke luar negara serta mengadakan seminar sehingga mematahkan semangat mereka.
Katanya, budaya R&D bukan sahaja dilihat daripada sesuatu yang melibatkan ahli-ahli akademik sahaja tetapi didukung oleh R&D sesebuah universiti itu sendiri.
‘‘Oleh itu, sistem R&D perlu dikaji semula supaya ahli-ahli akademik dan penyelidik dibantu dan dipermudahkan kerja-kerja penyelidikan mereka,” katanya lagi.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, sekiranya perubahan tidak dilakukan dalam pengurusan R&D, negara akan terus ketinggalan dalam bidang tersebut.
Selain itu Najib berkata, universiti-universiti terlibat juga perlu menentukan satu kaedah untuk memberi penilaian dan penghargaan dalam bentuk yang sejajar dengan idea dan inovasi mereka.
Umpamanya kata beliau, para penyelidik boleh diberikan ganjaran berupa saham atau jawatan dalam syarikat yang wujud hasil daripada penyelidikan mereka.
‘‘Para penyelidik perlu diberi ganjaran dalam syarikat tersebut atau paten yang dihasilkan patut dikongsi bersama antara penyelidik dan universiti.
‘‘Ganjaran patut diberikan kepada mereka yang ada idea, inovasi dan bukannya kepada mereka yang memegang jawatan,” tegasnya.
Menurut Najib lagi, setiap universiti juga perlu memberi tumpuan dalam mewujudkan petunjuk prestasi utama (KPI) dalam setiap R&D bagi mengukur pencapaian satu-satu penyelidikan itu.
Beliau berkata, setiap universiti hendaklah menentukan bahawa apa-apa yang dilakukan mestilah secara terancang dan pencapaiannya dapat diukur.
‘‘Kita tak boleh libatkan diri dalam R&D tanpa melihat kepada hasil yang dapat diukur, sebaliknya kita mesti menentukan ia diwujudkan pada setiap peringkat.
‘‘Sebab itulah KPI dalam R&D sangat penting kerana ia akan jadikan kita lebih kompetitif dan boleh dikaitkan dengan dana yang dikeluarkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Pada masa yang sama kata Timbalan Perdana Menteri, setiap universiti hendaklah menjalin kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, pengurusan tabung penyelidikan serta dana teroka yang lain dalam mengkomersialkan hasil-hasil R&D.
Katanya, semua strategi tersebut diharap dapat mengubah landskap bidang penyelidikan dan pembangunan negara.
Pada majlis tersebut, Profesor Diraja Ungku Aziz dipilih menerima Anugerah Akademik Negara.
Tiga lagi pemenang ialah Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Asma Ismail bagi Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk; Pensyarah Kejuruteraan Awam Universiti Malaya (UM), Dr. Aisyah Abu Bakar bagi Anugerah Pengajaran Kelompok Kejuruteraan dan Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohamed Amin Embi menerima anugerah Pengajaran Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan.
Najib turut menyampaikan Watikah Universiti Penyelidikan kepada UM, USM, UKM dan Universiti Putra Malaysia.

No comments: